#1632: Keadaan Roh Di Alam Barzakh

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Semoga sentiasa dalam keadaan sihat selalu dan dlindungi serta dirahmati Allah SWT. Saya ingin bertanya, semasa di alam roh atau pun alam barzakh, adakah sesama roh itu akan bertemu serta berkomunikasi di antara satu sama lain? Dan adakah ia kenal andai kata itu keluarganya? 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

      وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ ۖ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”

(Surah al-Isra’: 85)

Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di di dalam tafsirnya, Taysir al-Karim al-Rahman berkata: Ayat ini menunjukkan tentang kelemahan manusia iaitu dalam sesetengah perkara mereka tidak mampu untuk mencapai dan mengetahuinya. Disebabkan itu, Allah memerintahkan Nabi Muhammad SAW agar menjawab persoalan mengenai roh ini dengan menyerahkan urusannya kepada Allah.

Kedua, kami terangkan dahulu makna ruh. Ruh ialah jisim nurani, sejenis cahaya yang hidup dan bergerak dari alam yang tinggi. Tetapi tabiatnya berbeza dengan tabiat jisim yang dapat dikesan oleh pancaindera kerana tabiat jisim biasanya dapat berjalan dalam jasad yang kasar sebagaimana air yang mengalir dalam bunga mawar, minyak dalam buah zaitun, dan api dalam bara.

Jisim yang biasa tidak dapat diganti, dipisah-pisah mahupun dipecah-pecahkan, bahkan memberi kehidupan kepada jasad dengan segala kaitannya selagi jasad kasar itu wajar menerima curahan cahaya daripadanya dan selagi tidak ada hal-hal yang menghalang alirannya. Jika tidak demikian, matilah jasad itu. Pendapat ini adalah yang dipilih oleh al-Razi dan Ibn al-Qayyyim dalam kitabnya yang masyhur, al-Ruh.

Ruh juga bukanlah jisim dan bukan pula jenis jasmani. Ia berkaitan dengan tubuh sebagai pembimbing dan pengatur sahaja. Ini pendapat hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dan juga Abu Qasim al-Raghib al-Asfahani. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4020)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau menjelaskan tafsir ayat tersebut dengan katanya:

إِنَّ أَرْوَاحَ الْأَحْيَاءِ وَالْأَمْوَاتِ تَلْتَقِي فِي الْمَنَامِ فَتَتَعَارَفُ مَا شَاءَ اللَّهُ مِنْهَا، فَإِذَا أَرَادَ جَمِيعُهَا الرُّجُوعَ إِلَى الْأَجْسَادِ أَمْسَكَ اللَّهُ أَرْوَاحَ الْأَمْوَاتِ عِنْدَهُ، وَأَرْسَلَ أَرْوَاحَ الْأَحْيَاءِ إِلَى أَجْسَادِهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya ruh orang yang hidup dan ruh orang mati bertemu dalam mimpi. Mereka saling mengenal sesuai yang Allah kehendaki. Ketika masing-masing hendak kembali ke jasadnya, Allah menahan ruh orang yang sudah mati di sisi-Nya, dan Allah melepaskan ruh orang yang masih hidup ke jasadnya.”(Lihat Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Qur’an, 21/298; al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/260; Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 4/56 dan Zad al-Masir oleh Ibn al-Jauzi 4/20

Said bin Jubair Rahimahullah pula berkata:

إِنَّ اللَّهَ يَقْبِضُ أَرْوَاحَ الْأَمْوَاتِ إِذَا مَاتُوا، وَأَرْوَاحَ الْأَحْيَاءِ إِذَا نَامُوا، فَتَتَعَارَفُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَتَعَارَفَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menahan ruh-ruh orang mati apabila mereka mati dan ruh-ruh orang hidup apabila mereka tidur. Mereka akan bertemu dan berkenalan mengikut kehendak Allah.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/260)

Justeru, berdasarkan nas menunjukkan mereka boleh berta’aruf dan berkenalan mengikut kehendak Allah SWT, begitu juga mereka bertemu. Walaupun begitu, sebaik-baik isu ini sifatnya tawaquf dengan merujuk kepada dalil kerana ia termasuk dengan perkara ghaibi. Wallahu a’lam.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *