#1637: Lembu Dibiar Berkeliaran

Soalan :

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada masalah tentang lembu-lembu berkeliaran. Najis lembu banyak di keliling rumah dan telah beritahu pada tuan lembu, tetapi tuan lembu akan suruh tuan rumah buat pagar. Sedangkan lembu mereka dibiar sehingga najis merata-rata di jalan dan di rumah. Saya tidak mahu membalas mudharat dengan mudharat. Mohon pandangan tuan tentang isu ini.

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa pemilik lembu hendaklah menambat dan mengawal lembu yang dipeliharanya. Mereka juga  tidak boleh sama sekali menceroboh hak jiran.

Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاَللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ

Maksudnya: “Dan siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan jirannya.”

 Riwayat al-Bukhari (6475) dan Muslim (47)

Al-Hafiz Ibn Hajar – setelah menyebut beberapa riwayat yang lain berkaitan memuliakan jiran dan berbuat baik kepadanya, – berkata: “Perintah ‘memuliakan’ berbeza-beza mengikut perbezaan individu dan keadaan. Terkadang berupa fardhu ‘ain dan terkadang berupa fardhu kifayah, dan terkadang pula mustahab. Namun, semuanya termasuk akhlak yang mulia. (Lihat Fath al-Bari, 29/144) 

Dalam riwayat lain, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يُؤْذِ جَارَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka jangan sakiti jirannya.”

Riwayat al-Bukhari (6018) dan Muslim (47)

Memuliakan jiran bukan hanya terbatas kepada melayannya sebagai tetamu apabila berkunjung ke rumah dan juga bersedekah kepadanya jika fakir, tetapi ia lebih umum daripada itu, iaitu antaranya berihsan kepadanya tanpa menyakitinya. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 152)

Dalam hadith lain, daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالْجَارِ، حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُهُ

Maksudnya: “Jibril sentiasa berwasiat kepadaku agar berlaku baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu akan mewarisi hartaku.”

Riwayat al-Bukhari (6015), Muslim (2625), Abu Daud (5152), al-Tirmizi (1943) dan Ahmad (6496)

Imam al-Nawawi menukilkan kata-kata daripada al-Qadhi ‘Iyadh bahawa makna hadith ini adalah sesiapa yang beriltizam dengan syariat Islam maka wajib ke atasnya untuk memuliakan atau berlaku baik kepada jiran dan tetamunya. Semua ini menunjukkan akan kepentingan hak berjiran serta galakan memeliharanya. Ini kerana, Allah SWT telah berpesan atau mewasiatkan agar berlaku baik kepada mereka melalui firman-Nya di dalam al-Quran dan juga hadith Nabi SAW. (Lihat al-Minhaj ‘ala Syarh Sahih Muslim, 2/18)

Namun begitu, jika lembu tersebut dilepaskan untuk meragut di tanah ragut, maka dibolehkan. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

الْمُسْلِمُونَ شُرَكَاءُ فِي ثَلاَثٍ فِي الْكَلإِ وَالْمَاءِ وَالنَّارِ

Maksudnya: “Orang Islam itu (di dalam sanad yang lain menyebut manusia) berkongsi pada tiga perkara, air, padang rumput, dan api.”

Riwayat Abu Daud (3477), Ibn Majah (2472) dan Ahmad (23132). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Sunan Abi Daud.

Al-Khattabi menjelaskan: “Maknanya, rumput yang tumbuh di mawat al-ardh (tanah mati dan tidak dikelola), atau air yang mengalir di tempat-tempat milik umum.” (Lihat A’lam al-Sunan, 2/12)

Justeru, sifat bertanggungjawab oleh tuan lembu amatlah penting. Maka, hendaklah beliau menambat lembunya atau memeliharanya dalam bentuk feedlot atau sekurang-kurangnya di tanah lapang dan di padang ragut yang luas dan selamat dari mengganggu jiran. Inilah sebaik-baiknya dalam membina hidup berjiran supaya tidak berlaku bermasam muka, kata-mengata yang akhirnya membawa kepada perbalahan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلِّفْ بَيْنَ قُلُوبِنَا ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِنَا ، وَاهْدِنَا سُبُلَ السَّلَامِ ، وَنَجِّنَا مِنْ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ ، وَجَنِّبْنَا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ

Maksudnya: “Ya Allah, satukanlah hati kami. Perbaikilah keadaan kami. Tunjukkanlah kami jalan-jalan keselamatan. Selamatkanlah kami daripada kegelapan menuju cahaya. Jauhkanlah kami dari perbuatan keji yang zahir mahupun yang tersembunyi.”

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *