#1641: Beli Rekod Perubatan

Soalan :

Assalamualaikum Dato’ Seri. Nak tanya, apa hukum beli rekod perubatan?

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Terlebih dahulu kami nyatakan maksud rekod perubatan. Rekod perubatan pesakit adalah kompilasi maklumat berkaitan pemeriksaan tahap kesihatan dan rawatan yang diberi kepada seseorang pesakit. 

Ia termasuklah data-data penyakit yang dialami pada masa kini dan lampau serta rawatan yang diberikan oleh anggota kesihatan yang terlibat dalam rawatan / penjagaan kesihatan kepada pesakit berkenaan. 

Tujuan Rekod Perubatan Pesakit diwujudkan adalah bagi merekodkan fakta atau maklumat berkaitan sejarah kesihatan pesakit dengan menekankan kepada perkara-perkara yang mengakibatkan kemasukan atau lawatan ke kemudahan kesihatan untuk kesinambungan penjagaan pada masa depan. 

Sehubungan itu, rekod perubatan merupakan dokumen yang sah di sisi undang-undang dan semua maklumat rawatan yang didokumenkan akan digunakan sebagai bahan bukti di mahkamah. Ia juga menjadi maklumat penting untuk tujuan kajian, penyelidikan dan penyediaan laporan statistik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.  

Kami nyatakan mengikut perundangan berkenaan dengan data peribadi.

AKTA PERLINDUNGAN DATA PERIBADI 2010 (AKTA 709)

7 Prinsip Perlindungan Data Peribadi yang wajib dipatuhi di bawah s. 5(1) dalam Akta ini demi menjaga keutuhan data peribadi:

Pertama – Prinsip Am di mana seseorang pengguna tidak dibenarkan memproses data peribadi seseorang lain tanpa kebenarannya. Pengertian proses di sini harus dimengertikan sebagai mengendalikan data melalui cara atau kaedah automatis atau pengkomputeran atau apa-apa proses lain

Kedua – mesti mematuhi Prinsip Notis dan Pilihan di mana makluman dan tujuan awalan dimaklumkan kepada subjek data berkenaan 

Ketiga – ialah Prinsip Penzahiran tujuan data peribadi seseorang subjek itu demi mengenal pasti maksud yang baginya data peribadi itu hendak dizahirkan.

Keempat – Prinsip Keselamatan – apabila memproses data peribadi mana-mana subjek, mengambil langkah supaya data tersebut selamat, tidak diubahsuai, disalahguna atau diberikan kepada pihak-pihak yang tidak berkenaan. 

Kelima – Prinsip Penyimpanan: sesuatu data peribadi itu tidak dibenarkan disimpan di dalam sesuatu pemprosesan lebih daripada had masa yang diperlukan 

Keenam – Prinsip Integriti Data – setiap data peribadi dipastikan supaya tepat, lengkap, tidak mengelirukan dan terkini menepati maksud sesuatu data itu disimpan dan diproses 

Ketujuh – Prinsip Akses: seseorang hendaklah diberi hak akses kepada data peribadinya yang dipegang oleh seseorang pengguna data dan juga boleh membetulkan datanya itu supaya terkini.

Oleh yang demikian, rakyat Malaysia khususnya perlu menyedari hak-hak mereka mengikut prinsip-prinsip yang terdapat di dalam Akta ini.

Orang ramai boleh mengemukakan sebarang aduan yang berkaitan APDP 2010 (Seksyen 709) sekiranya merasakan sebuah organisasi atau seseorang telah melanggar salah satu daripada 7 Prinsip Perlindungan Data Peribadi.

Dalam menjawab persoalan ini, jika terpaksa membeli rekod perubatan peribadi bagi diri sendiri atau keluarga yang menghendakinya maka, hukumnya dibolehkan. Sebaliknya, jika membeli rekod perubatan orang lain tanpa izinnya lebih-lebih lagi ia dianggap sebagai maklumat rahsia peribadi maka hukumnya haram kerana menceroboh hak privasi dan peribadi seseorang. 

Permasalahan ini kembali kepada isu niat dan maksud seseorang itu. Sabda Rasulullah SAW sebagai mana hadith Saidina Umar ibn al-Khattab RA:    

 وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى 

Maksudnya: “Dan sesungguhnya setiap orang akan mengikut apa yang diniatkan.” 

Riwayat Muslim (1907)  

Dan kaedah menyebut:

الْأُمُور بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: Setiap perkara bergantung kepada niatnya (Lihat al-Ashbah wa al-Nazair li Subki, 1/54)

Semoga dengan jawapan di atas kita dapat memahami hak-hak peribadi seseorang yang perlu dihormati. Ingatlah, apabila kita menutup aib seseorang maka Allah SWT akan menutup aib kita. Semoga kita menjadi hamba-Nya yang soleh. Amin.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *