#1642: Masjid Dibina Berdekatan Satu Sama Lain

Soalan :

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah 3 masjid berdekatan jaraknya di antara satu hanya 100 meter dan azan kedengaran sebelah-menyebelah bertalu-talu dari suara pembesar suara. Dibina dan tempat beramal solat 5 waktu dan Jumaat serta solat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha dan lain-lain aktiviti agama Islam. Mohon pencerahan.

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan terlebih dahulu takrif masjid. Masjid dalam bahasa Arab ialah nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syaraknya ialah mana-mana tempat permukaan bumi. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

وَجُعِلَتْ لِي الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا

Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud).”

Riwayat al-Bukhari (438)

Manakala dari sudut istilah atau ‘urf masjid itu ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. (Lihat Mu’jam Lughah al-Fuqaha’, hlm. 428 dan Ahkam al-Sajid bi Ahkam al-Masajid, hlm. 26-27)

Al-Zajjaj berkata:

وكل موضِع مُتَعَبَّدٍ فيه فهو مسجد

Maksudnya: “Setiap tempat yang diibadatkan padanya dinamakan dengan masjid.” Beliau kemudian menyebutkan hadith seperti di atas. (Lihat Ma’ani al-Quran, 1/196)

Dalam menjawab persoalan di atas, perlu dilihat kepada beberapa faktor:

  • Faktor kepadatan penduduk

Jika sekiranya penduduk yang padat dan perlu kepada tempat solat yang lain, maka kemunasabahan tersebut boleh dipertimbangkan.

  • Faktor masjid kecil

Sedangkan jemaah ramai dan memerlukan tambahan surau bagi menampung jemaah. Maka ketika itu juga boleh dipertimbangkan.

  • Faktor keselamatan

Sebagai contoh, ia diseberangi oleh jalanraya atau highway yang sibuk dan sukar untuk melintas. Ini banyak terjadi di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur dan lain-lain.

Persoalan utama juga ialah bagaimana masjid yang dibina perlu mendapat kelulusan berkuasa agama setempat. Ini kerana tindakan pemerintah bermatlamatkan maslahat kepada rakyat serta menjaga dan memelihara syiar agama. Kaedah menyebut:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat.”  

Kalau kita lihat negara yang kepadatan tinggi penduduknya, kita dapati masjid banyak yang dibina berdekatan seperti di Mesir dan beberapa negara Arab. Tetapi, di Malaysia perkara ini berlaku satu dua kes di sebahagian negeri yang telah diberi pengecualian oleh pihak pemerintah atau penguasa agama. 

Dalam pengamatan kami, Wilayah Persekutuan lebih terbuka kerana kepadatan penduduk serta kawasan yang sukar untuk diperolehi. Justeru, terdapat masjid yang jarak antara satu sama lain amat dekat. Sebagai contoh, Masjid Negara dengan masjid Bukit Aman. Begitu juga, dengan masjid Pos Malaysia. Begitu juga, antara Masjid Jamek dan Masjid India. Begitu juga dengan Surau Jumaat di Bank Muamalat. Dan banyak lagi contoh-contoh yang lain. 

Tetapi tempat-tempat yang dinyatakan tadi atau masjid sentiasa dipenuhi oleh jemaah terutamanya solat Jumaat. Justeru, hal ini kembali kepada hikmah dan kebijaksanaan pemerintah. 

Semoga pencerahan ini memberi kefahaman yang baik kepadakita. Paling penting dan utama hendaklah kita menjadi salah seorang yang sentiasa mengimarahkan masjid.Firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”

(Surah al-Taubah: 18)

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *