#1644: Hukum Melakukan Ibadah Korban

Soalan :

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum asal dalam melakukan ibadah korban?

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Berkenaan hukum melakukan ibadah korban, terdapat beberapa pandangan ulama’ dalam isu ini. Imam al-Nawawi berkata: Para ulama’ berbeza pendapat tentang kewajiban korban ke atas orang yang berkemampuan. Sebahagian besar ulama’ berpendapat bahawa korban itu sunat bagi orang yang mampu. Jika tidak melakukannya tanpa sebarang keuzuran, maka dia tidak berdosa dan tidak harus menggantikannya. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa korban itu wajib ke atas orang yang mampu. (Lihat al-Minhaj, 13/110)

Antara ulama’ yang berpendapat wajibnya ibadah korban kepada yang mampu ialah Imam Abu Hanifah, al-Qadhi Abu Yusuf dalam salah satu pendapatnya, Rabi’ah, al-Laith bin Sa’ad, al-Auza’i, al-Thauri dan Imam Malik dalam salah satu pendapatnya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 5/77)

Mereka berdalilkan – antaranya – dengan sabda Nabi SAW:

مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ، فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

Maksudnya: “Barangsiapa yang memiliki kelapangan (rezeki) dan tidak melakukan ibadah korban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami.”

Riwayat Ibn Majah (3123) dan Ahmad (14/24)

Namun majoriti ulama’ berpendapat bahawa hukum menyembelih korban adalah sunat muakkad. Pendapat ini merupakan pendapat ulama’ Syafi’iyyah, Hanabilah, pendapat yang paling kuat daripada Imam Malik dan salah satu pendapat daripada Abu Yusuf. Ini juga merupakan pendapat Saidina Abu Bakar, Saidina ‘Umar, Bilal, Abu Mas’ud al-Badri, Suwaid bin Ghafalah, Sa’id bin al-Musayyib, ‘Atho’, ‘Alqamah, al-Aswad, Ishaq, Abu Thaur dan Ibn al-Munzir. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 5/77)

Mereka berdalilkan – antaranya – dengan sabda Nabi SAW:

إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِى الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّىَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ

Maksudnya: “Jika masuk bulan Zulhijjah dan salah seorang daripada kamu ingin menyembelih korban, maka hendaklah dia tidak memotong sedikit pun daripada rambut dan kukunya.”

Riwayat Muslim (1977), Abu Daud (2791), al-Tirmizi (1523), al-Nasaie (4361), Ibn Majah (3150) dan Ahmad (26654)

Berkenaan hadith ini, Imam al-Nawawi menukilkan bahawa Imam al-Syafi’i menyebut: “Dalil di atas menunjukkan bahawa hukum korban itu tidak wajib. Kerana dalam hadith digunakan lafaz ‘أَرَادَ’ (sesiapa yang mahu). Seandainya menyembelih korban itu wajib, maka cukuplah Nabi SAW menyatakan, “Maka hendaklah dia tidak memotong sedikit pun daripada rambut dan kukunya sehinggalah dia melakukan korban.” (Lihat al-Majmu’, 8/217)

Imam al-Nawawi kemudian menyebut: Menurut Mazhab Syafi’i dan mazhab majoriti ulama’, hukum korban adalah sunat muakkad bagi yang senang untuk melakukannya (mempunyai kelapangan rezeki) dan ia tidak wajib.” (Lihat al-Majmu’, 8/217) Di tempat yang lain, beliau turut menjelaskan: “Jika seseorang meninggalkannya tanpa uzur, dia tidaklah berdosa dan tidak perlu qadha’ (mengganti). (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 13/109)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji pula dalam menjelaskan hal ini menyatakan: Hukum melakukan ibadah korban adalah sunat muakkad (sunat yang amat dititik beratkan). Hukumnya (boleh) menjadi wajib dengan dua sebab:

Pertama: Apabila seseorang mengisyaratkan kepada binatang-binatang yang sesuai untuk korban kepunyaan-nya. Seperti dia menyatakan: “Ini ialah korbanku” atau “Aku akan korbankan kambing ini.”  Dengan itu, dia wajib melakukannya.

Kedua: Apabila dia mewajibkan ke atas dirinya untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan korban. Seperti dia berkata: “Wajib ke atasku korban kerana Allah SWT.” Ketika itu, korban menjadi wajib ke atasnya sebagaimana jika dia mewajibkan mana-mana ibadat lain ke atas dirinya kerana perbuatan tersebut merupakan nazar yang wajib ditunaikan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/355)

Penutup

Sebagai kesimpulan, berdasarkan nas dan kenyataan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa hukum ibadah korban adalah sunat muakkad. Ini sepertimana pandangan majoriti ulama’ termasuk mazhab Syafi’i. Meskipun begitu, sewajarnya bagi seseorang melakukan ibadah korban dan tidak meninggalkannya sekiranya berada dalam keadaan berkemampuan.

Akhir kalam, kami nukilkan di sini kenyataan Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti: “Janganlah meninggalkan ibadah korban jika seseorang itu mampu untuk menunaikannya. Ini kerana Nabi SAW sendiri memerintahkan: “Tinggalkanlah perkara yang meragukanmu dan ambillah perkara yang tidak meragukanmu.” Selayaknya bagi mereka yang mampu untuk tidak meninggalkan ibadah korban. Ini kerana dengan berkorban, ia akan lebih menenangkan hati dan melepaskan tanggungan. Wallahu a’lam. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 5/618)

Syeikh Mustafa al-‘Adawi pula berkata: “Orang yang masih berada dalam fitrah yang sejahtera, tentunya ketika diberi nikmat akan dibalas dengan syukur. Maka kebaikan yang banyak, yang telah diberi ini perlulah dibalas dengan: “فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ” (Dirikanlah solat kerana Rabbmu; dan lakukanlah korban). (Lihat Tafsir Juz ‘Amma, Mustafa al-‘Adawi, hlm. 293)

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *