#1647: Sertu Atau Samak Rumah Selepas Banjir?

Soalan :

Assalamualaikum Dato’ Seri. Rumah saya pernah terkena banjir dan sebelah rumah saya adalah non-Muslim dan membela anjing. Bila air naik, air yang banjir itu bercampur dengan air jiran saya tersebut, perlukah saya samak rumah saya?

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya, para ulama berbeza pendapat mengenai hukum kenajisan anjing. Ulama’ dalam kalangan mazhab Hanafi berpendapat, anjing bukanlah dianggap sebagai najis ‘ain, akan tetapi air lebihan yang diminumnya dan lembapannya adalah dikira sebagai najis. Selain itu, ulama dalam kalangan mazhab Maliki pula berpendapat, anjing adalah suci ‘ain. Mereka berhujah bahawa hukum asal sesuatu itu adalah suci. Justeru, setiap haiwan yang hidup — sekalipun anjing dan babi — adalah suci, termasuklah peluhnya, air matanya, hingusnya dan air liurnya juga dihukumkan sebagai suci, kecuali apa-apa yang keluar dari haiwan itu berupa telur, hingus, air mata atau air liur selepas ia mati tanpa disembelih sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Maka, ketika itu ia dikira sebagai najis dan hukum ini hanya terpakai pada haiwan yang bangkainya dianggap najis. Manakala ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan Hanbali pula berpendapat, anjing adalah najis ‘ain. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 35/129).

Imam al-Nawawi menjelaskan lagi mengenai hal ini bahawa menurut mazhab Syafi‘i, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Manakala al-Zuhri, Malik dan Daud pula berpendapat, anjing adalah suci kerana diwajibkan untuk membasuh bekas yang dijilat oleh anjing disebabkan oleh ta‘abbudi iaitu semata-mata mematuhi perintah Allah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568)

Dalam isu berkenaan air yang banjir itu bercampur dengan air banjir jiran yang membela anjing, ia telah pun dibahaskan oleh ulama-ulama terdahulu dalam Bab Bersuci (taharah). 

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa pada dasarnya air boleh dikategorikan kepada tiga iaitu yang mensucikan, suci dan najis. Maka, apabila membahaskan berkenaan air banjir, ia termasuk dalam kategori kedua iaitu air yang suci yang mana terdiri dari atas (langit) dan juga air bumi. Air langit terdiri dari air hujan dan salji. Sedangkan air bumi terdiri dari air laut, air sungai, air musyammas (yang terkena cahaya matahari), air yang berubah kerana tidak mengalir atau disebabkan hal-hal yang tidak dapat dielakkan seperti terkena tanah dan sebagainya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/150-160)

Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili pula menyatakan bahawa jika air berubah dari sudut warna, bau dan rasa sama ada disebabkan debu tanah, tanah kibrit, lumut dan kesemua yang susah untuk dijaga darinya, maka ia kekal suci. Begitu juga, sekiranya air tersebut digunakan untuk berwuduk atau mandi atau menghilangkan najis, maka ketika itu, air tersebut tidak lagi berada dalam keadaan suci. (Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafi’i, 1/38) 

Abdullah Bin Abd al-Rahman Bafadhal mengatakan:

وَلاَ يَضُرُّ تَغَيُّرٌ بِمُكْثٍ وَتُرَابٍ وَطُحْلَبٍ، وَمَا فِي مَقَرِّهِ وَمَمَرِّهِ

Maksudnya: “Tidak menjadi masalah, apabila perubahan air kerana tidak bergerak, dalam waktu yang lama disebabkan debu, lumut dan apa yang menetap dalam tempat menetapnya air dan tempat mengalirnya air.” (Lihat al-Muqaddimah al-Hadramiyyah, hlm. 21)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Syafi’i al-Muyassar (1/80) menyatakan bahawa terdapat tujuh jenis air yang boleh digunakan untuk bersuci yakni air hujan, air sungai, air mata air, air laut, air perigi, air sejuk dan air salji. Hal ini disebabkan kesemua air tersebut merupakan air mutlak dan air banjir juga termasuk dalam kategori itu kerana lazimnya ia merupakan limpahan daripada air sungai, air hujan dan seumpamanya. Dalam pada itu, Ibnu Qudamah dalam al-Mughni mengatakan bahawa dibolehkan untuk bersuci menggunakan setiap jenis air seperti air yang panas, sejuk, tawar, masin, di laut, sungai,sumur dan seumpamanya. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُمْ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً لِيُطَهِّرَكُمْ بِهِ

Maksudnya: “Dan Allah SWT menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengan hujan itu.”

(Surah al-Anfal: 11)

Selain itu, diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا كَانَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يَحْمِلِ الْخَبَثَ

Maksudnya: Apabila air itu mencapai dua Qullah maka tidak akan mengandung kotoran (najis).

Riwayat Abu Dawud (63), al-Tirmizi (67) dan al-Nasaie (52). Hadith ini dinilai sahih berdasarkan kitab Sahih al-Tirmizi (67)

Justeru dalam isu ini, apabila seseorang mengalami situasi banjir seperti itu, maka kami katakan bahawa air tersebut merupakan air yang suci dan tidak perlu di samak rumah saudara disebabkan oleh air banjir yang bercampur dengan air banjir rumah jiran yang membela anjing.

Apa yang kita basuh itu lebih kepada untuk mencuci bekasan selut dan tanah, bukan kerana najis, melainkan zat ‘ain najis ada di situ. Saya berdoa kepada Allah SWT, semoga Allah SWT beri kefahaman kepada kita berkenaan agama kita. 

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *