#1648: Batas Aurat Isteri Dengan Keluarga Suami

Soalan :

Saya dan isteri sekarang duduk di rumah keluarga saya. Saya ingin berpindah kerana rumah keluarga saya ramai adik beradik lelaki hingga membuatkan isteri saya berasa tidak selesa bab aurat dan privasi. 

Saya pernah ingin berpindah tetapi mak saya tidak mengizinkan sehingga bergaduh, saya pernah menjelaskan saya ingin berpindah kerana isteri tidak selesa bab aurat tapi mak saya tidak mengendahkannya. 

Apa yang saya tahu dalam Islam lelaki mesti mendahului mak dahulu sebelum isteri, adakah saya berdosa jika tidak mengendahkan cakap mak saya demi menjaga kehormatan isteri saya? 

Mak saya juga suka reka cerita untuk memburukkan situasi dan memfitnah kepada adik beradik. Dan adakala mak saya berasa dengki bila saya membawa isteri saya balik rumah mak mertua saya seminggu sekali kerana merasa saya melebihkan keluarga mertua, bagi saya itu adil saya membawa isteri saya balik rumah mak mertua seminggu sekali kerana kami sedang duduk bersama mak saya. Apa yang saya perlu buat dalam situasi saya?

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ۝ وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya :Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…”

(Surah al-Nur : 30-31)

Menurut Imam Ibn Kathir, ayat ini adalah merupakan perintah Allah SWT kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya menjaga pandangan mereka daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Janganlah melihat melainkan hanya kepada perkara yang diharuskan oleh syarak sahaja dan menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara yang diharamkan. Begitu juga, Allah SWT memerintahkan juga kepada orang-orang perempuan yang beriman agar turut sama menundukkan (menjaga) pandangan dan memelihara kemaluan mereka (daripada perkara-perkara yang diharamkan). Dan bagi membezakan mereka daripada sifat serta perbuatan wanita Jahiliyyah. (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, 4/2342-2344)

Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksudnya: “{Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri dan anak-anak perempuan kamu serta kepada para isteri orang mukmin sekalian, hendaklah menghulurkan JILBAB mereka ke seluruh tubuh badan mereka kerana dengan itu mereka akan mudah dikenali (sebagai wanita mukminah) dan mereka selamat daripada gangguan. Dan sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang}.”

(Surah al-Ahzab: 59)

Al-Sa’di Ketika menafsirkan ayat ni menyatakan : Ayat ini, yang dikenali sebagai Ayat Hijab, adalah perintah daripada Allah kepada Nabi-Nya untuk memerintahkan wanita secara umum, dengan memulakan dengan isteri-isteri dan anak-anak perempuannya, kerana mereka lebih dekat daripada yang lain, dan kerana sesuatu perintah sepatutnya dimulakan dengan keluarganya sendiri sebelum orang lain.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.671)

Firman Allah SWT lagi:

وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ ذَلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ

Bermaksud: “Apabila kamu bertanya atau meminta sesuatu keperluan kepada mereka (isteri-isteri Nabi SAW), maka hendaklah di sebalik tabir. Cara demikian adalah lebih mensucikan hati kamu dan hati mereka …” 

(Surah Al-Ahzab: 53)

Sebuah Hadis yang diriwayatkan daripada Abi Sai’d al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلَا يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلَا تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ

Maksudnya: “Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh dua orang lelaki berada (tidur) dalam satu selimut demikian juga dengan wanita dilarang berbuat demikian.” 

Riwayat Muslim:338.

Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyarankan : “Ini adalah larangan  jika tidak ada penghalang di antara keduanya, dan di sini menunjukkan tentang haramnya menyentuh aurat orang lain di mana saja pada tubuhnya dan ini adalah perkara yang disepakati oleh para ulama. Ramai orang yang bersikap longgar dalam perkara ini dengan berkumpulnya ramai orang di dalam bilik mandi. Oleh itu, orang yang hadir di dalamnya wajib menjaga penglihatan, tangannya, dan lain-lain daripada melihat aurat orang lain, dan juga menjaga auratnya daripada dipandang oleh orang lain dan dipegang oleh tangan orang lain atau bagian tubuh lainnya. (Lihat Riyadh al-Salihin,hlm.457)

Batas Aurat Perempuan Dengan Lelaki Ajnabi

Pada asasnya, menutup aurat adalah wajib, tidak kira sama ada lelaki atau perempuan. Dan agama Islam sangat menekankan kepada penganutnya agar menjaga batas-batas yang telah ditetapkan. 

Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyatakan bahawa batas aurat bagi seorang perempuan yang merdeka semasa dalam solat, mahupun luar solat (iaitu dengan lelaki ajnabi) adalah seluruh badannya melainkan muka dan kedua telapak tangan sama ada bahagian luar atau bahagian dalam sehingga pergelangan kedua-duanya. Kemudian, beliau telah menukilkan daripada Ibn Abbas R.A dan selainnya yang mengatakan :

مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَجْهُهَا وَكَفَّاهَا وَإِنَّمَا لَمْ يَكُونَا عَوْرَةً؛ لِأَنَّ الْحَاجَةَ تَدْعُو إلَى إبْرَازِهِمَا وَإِنَّمَا حُرِّمَ النَّظَرُ إلَيْهِمَا؛ لِأَنَّهُمَا مَظِنَّةُ الْفِتْنَةِ

Maksudnya : “Apa yang zahir daripadanya (perempuan itu) ialah muka dan telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat kerana terdapatnya keperluan (hajat) untuk mendedahkannya. Adapun diharamkan untuk melihat pada kedua-duanya kerana biasanya  kedua-duanya akan membawa kepada timbulnya fitnah.”

(Lihat Asna al-Matalib, 1/176)

Imam al-Kasani al-Hanafi juga menyebutkan bahawa muka dan kedua telapak tangan wanita bukanlah aurat ia adalah kelonggaran yang telah diberikan oleh Allah SWT berdasarkan kepada firmanNya di dalam surah al-Nur ayat 31. Selain itu, diharuskan bagi mereka mendedahkan muka dan kedua telapak tangannya kerana mereka berhajat kepada jual beli, mengambil dan memberi. Oleh itu, secara adatnya, semua perkara itu tidak mungkin dapat dilakukan melainkan dengan mendedahkan muka dan juga kedua telapak tangan. (Lihat Badai’ al-Sanai’, 5/121-122)

Demikianlah juga, Imam al-Dardir menyatakan bahawa aurat wanita dengan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuhnya melainkan muka dan kedua telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat sekalipun diwajibkan ke atas perempuan berkenaan untuk menutup kedua-duanya kerana dikhuatiri timbulnya fitnah. Imam al-Sawi mengulas kenyataan tersebut dengan mengatakan harus melihat kedua-duanya (muka dan telapak tangan) serta tidak ada beza antara melihat bahagian luar atau bahagian dalam, selagimana bukan dengan tujuan untuk bersedap-sedap (syahwat). Sekiranya tidak, haram untuk melihatnya. (Lihat Hasyiah al-Sawi ‘ala al-Syarh al-Saghir, 1/289)

Justeru, kita ketahui bahawa batas aurat seorang wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya (ajnabi) ialah seluruh tubuhnya melainkan muka dan kedua telapak tangannya.

Kembali kepada persoalan di atas, perlu dijelaskan kepada ibu bapa isu yang sebenar dan memberi penerangan kepada mereka berkenaan dengan aurat antara ipar supaya mereka faham dan tidak ambil mudah berkenaan aurat. 

Selain itu sebagai seorang suami perlu menjaga hak isteri dengan menyediakan tempat tinggal yang bersesuaian mengikut uruf setempat serta terlindung daripada penglihatan orang luar sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT :

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ

Maksudnya : Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu).

(Surah Al-Talaq : 6)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً،وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً،وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah : 201)

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *