#1649: Penjelasan Hukum Forex Trading

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah saya minta penjelasan berkenaan hukum Forex Trading?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan terlebih dahulu dengan perbincangan berkenaan jual beli secara umum. Hukum asal bagi sesuatu perdagangan atau jual beli di dalam Islam adalah diharuskan selagi tidak mempunyai unsur riba. Firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Riba adalah kata terbitan bagi kata kerja (رَبَا – يَرْبُو) yang bermaksud lebihan, pertambahan dan perkembangan. Dari sudut syara‘ pula bermaksud kontrak yang dimeterai sebagai pertukaran barangan tertentu, tanpa mengetahui kesamarataannya menurut ukuran syara’ ketika akad, atau penyerahan salah satu barangan tersebut atau kedua-duanya dilewatkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/65)

Terdapat beberapa jenis riba yang telah disebutkan oleh fuqaha’, antaranya:

  • Riba al-Fadhl: Iaitu riba yang terjadi disebabkan berlaku jual beli barangan yang sama, dan terdapat pertambahan pada salah satu barang tersebut. Seperti jual beli emas dengan emas, atau perak dengan perak.
  • Riba al-Nasi’ah: Iaitu riba yang berlaku disebabkan terdapat syarat penangguhan dalam penyerahan barang ataupun duit pembayaran secara sengaja, kemudian dikenakan caj tambahan.
  • Riba al-Yadd: Iaitu riba yang berlaku disebabkan lewat menyerahkan barang walaupun tidak diletakkan syarat penangguhan.

(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/69)

Para fuqaha’ telah menyenaraikan beberapa barang yang boleh berlaku riba jika jual beli yang dilakukan tidak berlandaskan hukum syara’, seperti emas, perak, gandum, barli, kurma dan garam. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ

Maksudnya: “Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serah terima (tunai).”

Riwayat Muslim (1587)

Berdasarkan hadith di atas juga, para fuqaha’ mengeluarkan beberapa syarat bagi membolehkan jual beli barangan yang sama berlaku secara sah menurut syara‘:

  1. Mestilah sama kuantiti (التَمَاثُلُ).
  2. Mestilah berlaku penerimaan (التَقَابُضُ), tanpa tangguhan.

Jika syarat pertama tidak dipatuhi, maka akan berlakunya Riba al-Fadhl kerana kuantiti salah satu barang melebihi kuantiti yang lainnya. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

فَمَنْ زَادَ، أَوِ اسْتَزَادَ، فَقَدْ أَرْبَى، الْآخِذُ وَالْمُعْطِي فِيهِ سَوَاءٌ

Maksudnya: “Sesiapa menambah atau meminta tambahan, maka dia terjebak dengan riba. Orang yang mengambil tambahan tersebut dan orang yang memberinya sama-sama berada dalam dosa riba.”

Riwayat Muslim (1584)

Imam al-Nawawi berkata bahawa pertukaran yang melibatkan jenis yang sama seperti pertukaran emas dengan emas, maka tidak boleh berlaku tambahan dari mana-mana pihak yang berurusniaga. (Lihat al-Majmu‘, 10/83)

Jika syarat kedua pula tidak dipatuhi, maka boleh berlakunya Riba al-Nasi’ah sekiranya terdapat caj tambahan selepas tamat tempoh yang ditetapkan, dan juga boleh berlaku Riba al-Yadd sekiranya dilewatkan pemberian salah satu barang atau dilewatkan kedua-duanya.

 

Hukum Forex Trading

Kembali melihat kepada persoalan yang diajukan, Forex atau juga dikenali sebagai Foreign Exchange Trading merupakan perdagangan pertukaran matawang asing dengan cara membeli satu matawang pada harga yang rendah dan menjualnya semula selepas ada kenaikan harga bagi memperolehi keuntungan. Secara mudahnya, ia adalah salah satu bentuk urusniaga yang melibatkan pertukaran antara matawang dengan matawang yang lain.  

Matawang moden adalah sesuatu yang mempunyai nilai dan digunakan untuk tujuan jual beli pada masa kini, hukumnya adalah sama seperti emas dan perak yang dahulunya digunakan sebagai medium untuk jual beli pada zaman dahulu.

Hal yang demikian kerana matawang berkongsi sifat yang sama dengan emas dan perak, iaitu kesemuanya mempunyai nilai. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan bahawa ‘illah riba pada emas dan perak adalah kerana ia merupakan perkara yang mempunyai nilai secara umumnya, ini sepertimana yang disahihkan oleh Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu‘. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/369)

Dr Wahbah al-Zuhaili berkata: “‘Illah riba pada emas dan perak adalah keraa keduanya mempunyai nilai secara umumnya, dan diqiaskan dengan keduanya kesemua matawang lain yang digunakan (untuk urusniaga) sebagai ganti kepada emas dan perak.” (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 3/107)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan berkenaan Perdagangan Pertukaran Matawang Asing oleh Individu Secara Lani (Individual Spot Forex) melalui platform elektronik. Keputusan daripada muzakarah tersebut, hukum Forex Trading ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang.

(Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, hlm. 87)

Difatwakan juga di dalam al-Majma‘ al-Fiqhi al-Islami (22/229) bahawa hukum Forex Trading adalah haram. (Lihat Majallah al-Majma‘ al-Fiqhi al-Islami, 22/229)

Antara sebab utama pengharaman Forex Trading adalah:

Pertama: Terdapat padanya unsur riba yang jelas, kerana tiadanya kesamarataan (التَمَاثُلُ).

Kedua: Adanya pihak ketiga (platform Forex) yang bertindak memberi leverage (atau mudah difahami sebagai pinjaman) kepada trader (peminjam) terlebih dahulu, kemudian mengambil komisen daripada peminjam tersebut. Ini disebutkan sebagai jual beli berserta pinjaman (البَيْعُ وَالسَّلَفُ) yang mempunyai larangan secara jelas. Di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَحِلُّ سَلَفٌ وَبَيْعٌ

Maksudnya: “Tidak halal pinjaman disertakan dengan (syarat) jual beli.”

Riwayat Abu Dawud (3504), al-Tirmizi (1234), Ahmad (6671), al-Nasa’ie (4611), dan Ibn Majah (2188)

Al-Qarafi menyebutkan persepakatan ummat bahawa diharuskan jual beli dan pinjaman secara berasingan, dan haram kedua-duanya jika disekalikan, kerana ia adalah laluan riba. (Lihat Al-Furuq, 3/266)

Ketiga: Terdapat unsur gharar (ketidakpastian) pada jual beli tersebut. Nabi SAW telah melarang jual beli yang mempunyai unsur ini seperti di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, katanya:

نَهَى رَسُولُ اللهِ ﷺ عَنْ بَيْعِ الحَصَاةَ، وَعَنْ بَيْعِ الغَرَرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada jual beli dengan cara melempar kerikil, dan daripada jual mempunyai unsur gharar.”

Riwayat Muslim (1513)

Keempat: Trader menjual matawang yang masih belum menjadi miliknya. Forex Trading berlaku dengan dua perkara utama yang dikenali sebagai Open Position (contoh: trader membeli matawang EUR dan menjual USD) dan Close Posititon (contoh: trader menjual EUR dan membeli USD).

Ketika Open Position, trader menjual matawang USD yang dimilikinya dan membeli EUR, akan tetapi tidak berlaku serah terima (التَقَابُضُ) selagi mana dia tidak berpindah kepada Close Position. Apabila berpindah kepada Close Position pula, trader tersebut menjual semula EUR yang dibeli, meskipun belum berlaku serah terima, dan membeli semula USD.

Diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ ‏

Maksudnya: “Janganlah kamu jual apa yang bukan milik kamu.”

Riwayat al-Nasa’ie (4613), al-Tirmizi (1232), dan Abu Dawud (3503)

Di dalam Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 yang diwartakan untuk mengendalikan Forex Trading, hanya Bank Negara Malaysia yang diberikan kuasa penuh untuk mentadbir akta tersebut. Seksyen 4 (1) menyebutkan bahawa trader yang melakukan urusniaga Forex dengan selain daripada Authorised Dealer akan dikenakan tindakan undang-undang.

 

Kesimpulan

Kami berpandangan bahawa Forex Trading ini adalah haram dan harus dielakkan. Hal yang demikian kerana dua syarat asas (التَمَاثُلُ) dan (التَقَابُضُ) yang diletakkan oleh fuqaha’ juga tidak dipenuhi.

Sebaiknya, lakukanlah urusan jual beli dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syara‘.

Semoga Allah SWT selamatkan kita dari terjebak kepada urusan ribawi. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

1 thoughts on “#1649: Penjelasan Hukum Forex Trading

  1. Miru Jowo says:

    Baca..Tak faham mana tapi dapat lah isi nya yang Haram tu dekat pelaksanaan dia la kan? Maksudnya jika boleh improve yang close position tu secara real time dan tak ambil leverage jadi akan dibolehkan ka?

    Kesamarataan tu maksudnya apa? Harga berubah ubah ka?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *