#1657: Memakai Hijab di Rumah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin mengetahui mengenai penggunaan hijab di dalam rumah. Apakah hukumnya jika tidak memakai hijab atau menutup kepala menggunakan selendang, tuala dan sebagainya. Adakah benar malaikat akan melaknat wanita yang tidak menutup kepala di dalam rumah, walaupun dia tinggal berseorangan atau hanya dengan suami? Adakah hadith dalil mengenai hal ini? Saya sangat berharap Dato’ Seri dapat membantu.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

(Surah al-Nur: 31)

Syeikh al-Maraghi menyebut bahawa wanita-wanita tidak boleh untuk memperlihatkan perhiasan yang sepatutnya mereka sembunyikan dan juga tidak boleh mendedahkan aurat kepada orang selain yang telah disebutkan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 18/97)

Pengarang kitab Asna al-Mathalib menyebut:

وَعَوْرَةُ الْحُرَّةِ فِي الصَّلَاةِ وَعِنْدَ الْأَجْنَبِيِّ) وَلَوْ خَارِجَهَا (جَمِيعُ بَدَنِهَا إلَّا الْوَجْهَ، وَالْكَفَّيْنِ) ظَهْرًا وَبَطْنًا

Maksudnya: “Aurat wanita yang merdeka di dalam solat dan juga di hadapan ajnabi (lelaki yang bukan mahram) demikian juga (aurat mereka) di luar solat adalah keseluruhan badan mereka melainkan muka dan dua tapak tangan zahir dan batin.” (Lihat Asna al-Matalib, 1/176)

Ini bererti wajib seorang perempuan itu menutup keseluruhan badannya kecuali muka dan dua tapak tangan di hadapan lelaki lelaki bukan mahram dan tidak diwajibkan hal tersebut di hadapan mahram.

Justeru, syarat menutup aurat tersebut adalah jika di hadapan orang. Manakala sighah ‘وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ’ adalah jika di hadapan orang. Sebaliknya, jika berseorangan maka tidak mengapa.

Berkenaan adakah benar malaikat melaknat wanita yang tidak menutup kepala di dalam rumah, maka ia tidaklah sebegitu. Ini kerana, untuk mengatakan bahawa doa keburukan malaikat, maka ia mesti ada dalil. Dari segi hadis-hadis sahih, maka ia tidaklah menunjukkan ke arah itu.

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kefahaman agama dan seterusnya mampu mengikutinya dalam semua aspek kehidupan kita sama ada di rumah mahu pun di luar rumah. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً،وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً،وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah : 201)

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *