#1661: Pengertian Hari al-Nahr

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan Hari Nahar dan bilakah Hari Nahar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Nabi SAW.

Daripada Abdullah bin Qurth R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَعْظَمَ الأَيَّامِ عِنْدَ اللَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى يَوْمُ النَّحْرِ ثُمَّ يَوْمُ الْقَرِّ ‏

Maksudnya: “Hari yang paling agung disisi Allah SWT adalah Hari Nahar, kemudian Hari Qarr.”

Riwayat Abu Daud (1765)

Al-Nahr (النَّحْر) bermaksud penyembelihan (الذَّبْح). Justeru, 10 Zulhijjah dinyatakan sebagai Hari al-Nahar di dalam bulan Islam kerana pada hari tersebut telah disyariatkan kepada seluruh umat Islam yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah penyembelihan haiwan korban.

Hari al-Nahr ialah hari 10 Zulhijjah (Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban). Pada hari itu, jemaah haji memulakan lontaran di Jamratul Kubra. Pada hari itu juga, jemaah haji disunatkan melakukan ibadah korban di mana pelaksanaan ibadah korban itu afdhal dilaksanakan di Mina.

Hari al-Nahr juga disebut sebagai hari Haji Akbar. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَفَ يَوْمَ النَّحْرِ بَيْنَ الْجَمَرَاتِ فِي الْحَجَّةِ الَّتِي حَجَّ، فَقَالَ: أَيُّ يَوْمٍ هَذَا؟ قَالُوا: يَوْمُ النَّحْرِ، قَالَ: هَذَا يَوْمُ الْحَجِّ الْأَكْبَرِ

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW berdiri pada hari al-Nahr (10 Zulhijjah) di antara jamrah-jamrah pada waktu Baginda SAW menunaikan Haji, lalu Baginda SAW bertanya: “Hari apakah ini?”.  Mereka menjawab: “Hari al-Nahr (hari 10 Zulhijjah).” Nabi SAW bersabda: “Ini adalah hari Haji Akbar.”

Riwayat Abu Daud (1945). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij Sunan Abi Daud (1945) menyatakan bahawa sanadnya sahih.

Hadith daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, katanya:

وَقَفَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ النَّحْرِ بَيْنَ الجَمَرَاتِ فِي الحَجَّةِ الَّتِي حَجَّ بِهَذَا، وَقَالَ: «هَذَا يَوْمُ الحَجِّ الأَكْبَرِ

Maksudnya:Pada hari al-Nahr (Hari Raya Adha) , Nabi SAW kekal berada (yakni tidak berganjak) di (tempat-tempat melontar) jamrah-jamrah, pada haji yang sedang Baginda tunaikan. Baginda bersabda: “Ini adalah hari Haji Akbar.”

Riwayat al-Bukhari (1742)

Hal ini kerana, majoriti amalan haji berada pada hari ini. Pada hari ini, jemaah haji melakukan amalan berikut:

  • Melontar jamrah al-‘aqabah
  • Menyembelih
  • Mencukur atau menggunting rambut
  • Tawaf
  • Sa’ie

Hari Nahar juga disebut sebagai hari raya bagi umat Islam. Hadith daripada ‘Uqbah bin ‘Amir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَوْمُ عَرَفَةَ وَيَوْمُ النَّحْرِ وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ عِيدُنَا أَهْلَ الإِسْلاَمِ، وَهِيَ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ.

Maksudnya:Hari Arafah, hari Nahr dan hari-hari Tasyriq adalah hari raya kami orang Islam. Ia adalah hari makan dan minum.”

Riwayat Abu Daud (2419), al-Tirmizi (773), al-Nasa’ie (3004) dan Ahmad (17379). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Sunan Abi Daud (2419).

Hari al-Nahr ini termasuk hari raya terbesar bagi umat Islam dan terbaik. Ia berurutan setelah menyempurnakan haji. Ketika orang Islam menyempurnakan hajinya, maka mereka akan diampuni. Sesungguhnya haji disempurnakan dengan hari Arafah dan wukuf di Arafah. Ia termasuk salah satu rukun haji yang agung, sepertimana hadith daripada ‘Abd al-Rahman bin Ya’mur, bahawa Nabi SAW bersabda:

الحَجُّ عَرَفَةُ

Maksudnya: “Haji adalah Arafah.

Riwayat al-Tirmizi (814)

Benarlah firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

(Surah Al-Kausar: 2)

Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, jelaslah bahawa Hari al-Nahr merupakan salah satu daripada hari-hari kebesaran di dalam Islam. Hal ini jelas sebagaimana yang telah disebut di dalam hadith Baginda Nabi SAW. Justeru, perbanyakkanlah ibadah pada hari itu dengan amalan-amalan seperti melakukan ibadah korban, bersedekah, ziarah-menziarahi dan bertakbir membesarkan Allah SWT.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *