#1665: Waktu Pelaksanaan dan Penyembelihan Dam Tamattu‘

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah benar kata-kata sesetengah orang bahawa ada diantara orang yang mengerjakan Haji Tamattu’ tidak dikenakan Dam? Bagi orang yang dikenakan Dam pula, bilakah masa yang sesuai untuk melaksanakan Dam Tamattu‘?

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Nabi SAW.

Haji Tamattu’ ialah haji yang dilakukan selepas seseorang itu melakukan umrah pada bulan-bulan haji. Imam al-Nawawi berkata: “Haji tamattu’ ialah seseorang itu berihram umrah dari miqat negerinya dan menyelesaikan umrahnya, kemudian dia melakukan niat ibadah haji dari Makkah. Dinamakan tamattu’ kerana dia dapat melakukan larangan ihram antara haji dan umrah. Dia halal melakukan semua larangan haji apabila selesai umrah sama ada menyembelih binatang hady atau tidak. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 134)

Firman Allah SWT:

فَمَن تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ

Maksudnya:Maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati.

(Surah al-Baqarah: 196)

Ibn Kathir berkata: “Ayat ini bermaksud jika kamu mampu untuk menunaikan ibadah haji, maka bagi mereka yang di antara kamu yang melakukan haji tamattu’ dengan melakukan umrah terlebih dahulu kemudian melakukan haji, termasuk di dalamnya orang yang berniat ihram untuk keduanya pada masa yang sama, atau yang pertama kali berniat ihram untuk umrah dan kemudian setelah selesai melakukan umrah, dia berniat ihram untuk haji. Ini disebut dengan haji tamattu’ secara khusus, dan ia maaruf dalam kalangan para fuqaha’. Maka hendaklah dia menyembelih haiwan hadyu berdasarkan apa yang dia mampu, dan yang paling sedikit adalah seekor kambing. Namun, boleh juga menyembelih lembu kerana Rasulullah SAW telah menyembelih lembu untuk isteri-isterinya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/399)

Dam Tamattu‘ adalah dam yang dikenakan sekiranya seseorang itu mengerjakan ibadah umrah pada suatu musim haji iaitu dia telah mengerjakan tawaf dan sa‘ie untuk ibadah tersebut. Kemudian dia berihram pula untuk ibadah haji pada tahun tersebut tanpa lebih dahulu keluar dari Makkah hingga sejauh yang membolehkan dia solat qasar. Maka orang tersebut dikira telah melakukan ibadah secara tamattu’. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/328)

Berkenaan waktu sembelihan bagi dam haji tamattu’ dan qiran, para fuqaha’ berbeza pendapat berkenaan waktu sembelihannya:

Pendapat pertama: Jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa waktu sembelihannya bermula pada hari Nahar dan tidak sah dilakukan sebelumnya.

Pendapat Kedua: Mazhab Syafi’i berpendapat bahawa dibolehkan menyembelihnya setelah ihram haji dilakukan. Begitu juga setelah selesainya tahallul umrah dan sebelum ihram daripada haji mengikut pendapat yang paling sahih dalam mazhab.

Ibn Qudamah berkata: “Adapun waktu menyembelih haiwan hadyu adalah pada hari al-Nahar (hari raya qurban). Ini adalah pendapat Malik dan Abu Hanifah, kerana sebelum hari al-Nahar tidak boleh menyembelih qurban, maka tidak boleh juga menyembelih hadyu tamattu, sebagaimana tidak bolehnya menyembelihnya sebelum tahallul umrah. al-Syafi’i berkata, dibolehkan menyembelihnya setelah melakukan ihram haji dalam satu pendapat, dan juga sebelumnya setelah dia bertahallul daripada ihram umrah. Dalam hal ini, terdapat dua kemungkinan. Alasan dibolehkannya adalah kerana sembelihan itu merupakan dam yang berkaitan dengan ihram dan dapat diganti dengan puasa, maka ia boleh dilakukan sebelum hari al-nahar, sepertimana dam memakai wangian atau memakai pakaian berjahit. Begitu juga kerana ia dapat digantikan sebelum hari al-Nahar, maka semestinya menyembelih hadyu boleh dilakukan sebelumnya, sebagaimana fidyah-fidyah lainnya” (Lihat al-Mughni, 3/247)

Imam al-Nawawi berkata, “Kesimpulan berkenaan waktu yang dibolehkan menyembelih haiwan hadyu ada tiga cara; Salah satunya, setelah bermulanya ihram umrah, dan yang paling sahih adalah setelah selesai daripada umrah dan ketiga ialah setelah bermula ihram haji.” (Lihat al-Majmu, 7/184)

Justeru, dalam hal ini, bagi orang yang dikenakan dam Tamattu‘ dan qiran, maka dia boleh melaksanakannya pada bila-bila masa selepas Tahallul Umrah sebagaimana pendapat dalam mazhab al-Syafi’i. Namun begitu, yang afdhalnya (yang paling baik) dan sebagai langkah keluar daripada khilaf ialah dengan menyembelih haiwan hadyu pada Hari al-Nahar (Hari Raya Haji) dan hendaklah penyembelihan itu dilakukan di dalam kawasan Tanah Haram Makkah.

Kesimpulan

Kami berpandangan, ibadah Haji yang merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima dan ia haruslah ditunaikan dengan sebaiknya. Di dalam sebuah hadith yang menerangkan asas-asas yang membentuk rukun Islam, Baginda SAW menyebut salah satunya iaitu:

وَحَجِّ الْبَيْتِ

Maksudnya: “Dan mengerjakan haji di Baitullah (Makkah).”

Riwayat Bukhari (8); Muslim (16, 21); Tirmizi (2609)

Justeru, kami mengambil kesempatan ini untuk menasihati para jemaah agar melangsaikan dam jika terlibat dengannya dan mudah-mudahan dengan dam yang telah kita tunaikan tersebut dapat membebaskan jiwa kita daripada dosa-dosa maksiat seterusnya meningkatkan keimanan kita kepada Allah SWT.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *