#1667: Haji Tamattu‘ dan Syarat Dam

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Mengapakah orang yang mengerjakan Haji Tamattu‘ dikenakan Dam dan apakah syarat-syarat dikenakan dam bagi orang yang mengerjakan Haji Tamattu’?

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Nabi SAW.

Dalam ibadah haji yang kita laksanakan, terdapat peraturan-peraturan yang kita perlu penuhi dan larangan-larangan yang wajib kita jauhi dalam usaha bagi mendapatkan kesempurnaan ibadah haji tersebut.

Firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ ۚ فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۖ وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ بِهِ أَذًى مِّن رَّأْسِهِ فَفِدْيَةٌ مِّن صِيَامٍ أَوْ صَدَقَةٍ أَوْ نُسُكٍ ۚ فَإِذَا أَمِنتُمْ فَمَن تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۚ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ فِي الْحَجِّ وَسَبْعَةٍ إِذَا رَجَعْتُمْ ۗ تِلْكَ عَشَرَةٌ كَامِلَةٌ ۗ ذَٰلِكَ لِمَن لَّمْ يَكُنْ أَهْلُهُ حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadah Haji dan Umrah kerana Allah, maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah dam yang mudah didapati, dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadah Haji, (bolehlah dia melakukannya kemudian wajiblah dia) menyembelih dam yang mudah didapati. Kalau dia tidak dapat (mengadakan dam), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kembali (ke tempat masing-masing). Semuanya itu adalah sepuluh (hari) yang cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid al-Haram (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah, dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksa-Nya (terhadap orang-orang yang melanggar perintah-Nya).” 

(Surah al-Baqarah: 196)

Ibn Kathir berkata: “Ayat ini bermaksud jika kamu mampu untuk menunaikan ibadah haji, maka bagi mereka yang di antara kamu yang melakukan haji tamattu’ dengan melakukan umrah terlebih dahulu kemudian melakukan haji, termasuk di dalamnya orang yang berniat ihram untuk keduanya pada masa yang sama, atau yang pertama kali berniat ihram untuk umrah dan kemudian setelah selesai melakukan umrah, dia berniat ihram untuk haji. Ini disebut dengan haji tamattu’ secara khusus, dan ia maaruf dalam kalangan para fuqaha’. Maka hendaklah dia menyembelih haiwan hadyu berdasarkan apa yang dia mampu, dan yang paling sedikit adalah seekor kambing. Namun, boleh juga menyembelih lembu kerana Rasulullah SAW telah menyembelih lembu untuk isteri-isterinya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/399)

Haji Tamattu‘ dan Syarat Dam

Merujuk kepada persoalan di atas, orang yang mengerjakan Haji Tamattu‘ dikenakan dam kerana dia mengerjakan Umrah dan Haji dalam bulan-bulan Haji pada tahun yang sama. Dikatakan juga kerana ia bertamattu‘ (bersedap-sedap dengan menanggalkan Ihram setelah berihram) dalam bulan-bulan Haji dan tidak keluar ke Miqatnya atau ke suatu tempat yang jaraknya sekurang-kurangnya 2 marhalah dari Tanah Haram itu untuk berniat Ihram Haji.

Imam al-Nawawi berkata: “Para ulama’ mengatakan tentang firman Allah (فَمَن تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ) iaitu disebabkan oleh umrah, kerana sesungguhnya dia menikmati larangan-larangan ihram antara haji dan umrah itu kerana sudah selesai daripada tahallul umrah. Mereka berkata bahawa ‘al-tamattu‘ di sini bermaksud kesenangan dan manfaat. Ia diertikan sebagai ‘mengambil kesempatan daripadanya’ iaitu memperoleh manfaat daripadanya, dan al-mata’ (sesuatu yang dinikmati) adalah segala sesuatu yang dapat diambil manfaat daripadanya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 7/184)

Beliau berkata lagi: Wajib bagi yang melakukan haji qiran dan tamattu’ membayar dam seekor kambing atau yang lebih atas daripadanya. Sifatnya sama seperti sifat haiwan korban. Sah baginya membayar dam dengan 1/7 daripada unta atau 1/7 daripada lembu. Jika dia tidak mendapati haiwan hady pada tempat tersebut atau dia mendapatinya tetapi harganya lebih daripada harga pasaran, maka dia wajib berpuasa tiga hari pada musim haji dan tujuh hari apabila pulang ke negerinya. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 138)

Manakala syarat-syarat dikenakan dam bagi orang yang mengerjakan Haji Tamattu‘ adalah seperti berikut:

  1. Dia bukan daripada penduduk Makkah dan tinggal di tempat yang jauhnya dua marhalah atau lebih dari Tanah Haram.
  2. Dia mengerjakan Haji dan Umrah dalam bulan-bulan Haji pada tahun yang sama.
  3. Dia tidak berniat ihram Haji di Miqat bagi penduduk negerinya atau bagi penduduk dari arah mana dia datang masuk ke Tanah Haram untuk mengerjakan Haji.
  4. Dia tidak berniat Ihram Haji dari tempat yang jaraknya 2 marhalah atau lebih dari Tanah Haram.

Imam al-Nawawi berkata: “Sesungguhnya kewajipan bagi yang melakukan haji tamattu’ membayar dam adalah dengan empat syarat:

  • Dia tidak kembali ke miqat negerinya kerana ihram haji.
  • Dia berihram dengan umrah pada bulan-bulan haji.
  • Dia melakukan haji pada tahunnya.
  • Dia tidak menghadiri Masjid al-Haram iaitu dia bukan penduduk Tanah Haram dan penduduk tanah haram ini ialah mereka yang kurang daripada 2 marhalah.

Jika dia luput daripada syarat-syarat ini maka dia tidak perlu membayar dam sekalipun dia dikira melakukan haji tamattu’ mengikut pendapat yang paling sahih. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa hajinya itu dikira sebagai haji ifrad. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 138-139)

 

Kesimpulan

Kami ingin menasihati mereka yang mengerjakan haji agar mengerjakannya dengan sebaik-baiknya agar ibadah yang dilaksanakan diterima oleh Allah SWT. Bagi mereka yang perlu membayar Dam, maka langsaikanlah ia mengikut apa yang telah ditetapkan oleh syarak.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *