#1668: Masa untuk Melontar Jamrah al-Kubra dan Amalan Sunat Ketika Melontar

Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bilakah masa bagi melontar Jamrah al-Kubra dan apakah amalan-amalan sunat yang digalakkan? Terima kasih.

 

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Jabir R.A, katanya:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَرْمِي الْجَمْرَةَ وَهُوَ عَلَى بَعِيرِهِ وَهُوَ يَقُولُ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ فَإِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا

Maksudnya“Aku telah melihat Rasulullah SAW telah melontar dan Baginda di atas untanya lalu bersabda: “Wahai manusia, ambillah kerja-kerja haji kamu sesungguhnya aku tidak mengetahui apakah aku masih akan melaksanakan haji lagi selepas tahun ini”

Riwayat al-Nasa’i (3062)

Secara umumnya, melontar di Jamrah al-‘Aqabah atau Jamrah al-Kubra termasuk dalam amalan yang disyariatkan di Mina pada hari al-Nahr iaitu 10 Zulhijjah. Menurut Imam al-Nawawi, masuknya waktu melontar (di Jamrah al-Kubra), bercukur dan tawaf separuh malam dari malam raya dan waktu melontar kekal hingga tenggelamnya matahari. Namun, ada pendapat menyatakan, ia kekal hingga terbitnya fajar pada malam pertama daripada hari-hari tasyriq.

Kemudian, Syeikh ‘Abd al-Fattah Husain menjelaskan lagi kenyataan Imam al-Nawawi di atas dengan menyebutkan, dinyatakan dalam al-Hasyiah dan apa yang disahihkan di sini sama seperti dalam al-Raudhah iaitu kekalnya waktu melontar hingga tenggelamnya matahari. Dikehendaki di sini adalah waktu pilihan (ikhtiyar). Sekiranya tidak, waktu melakukannya tidak akan terluput melainkan dengan hari terakhir daripada hari-hari tasyriq. Seterusnya beliau menyatakan bahawa ada empat waktu untuk melontar Jamrah al-‘Aqabah:

Pertama: Waktu bermulanya separuh akhir malam hari al-Nahr (Hari Raya Korban) dan ia dinamakan sebagai al-Haj al-Akbar (Haji Akbar) kerana kebanyakan amalan-amalan haji dilakukan pada hari tersebut.

Kedua: Waktu yang utama (fadhilah) ialah di antara matahari naik hingga gelincirnya matahari.

Ketiga: Waktu pilihan (ikhtiyar) hingga akhir harinya.

Keempat: Waktu harus hingga akhir hari tasyriq yang ketiga. Ini juga adalah pendapat Imam Ahmad kecuali beliau tidak membolehkan lontaran pada waktu malam  bagi sesiapa yang terlepas untuk melontar pada siangnya, dan orang itu akan melontar pada keesokkan harinya selepas gelincir matahari. Manakala Imam al-Syafi’i pula berpendapat, boleh melontar pada waktu malam dan mengiranya sebagai tunai. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah wa ‘alaihi al-Ifsah ‘ala Masa’il al-Idhah ‘ala Mazahib al-A’immah al-Arba‘ah wa Ghairihim, hlm. 311-312).

Seterusnya, di antara amalan-amalan sunat yang boleh dilakukan ketika melakukan lontaran di jamrah ialah:

  • Mendahulukannya daripada bercukur atau bergunting, tawaf dan menyembelih (al-Hadyu).
  • Melontarnya ketika mula-mula sampai di Mina (iaitu tidak disibukkan dengan perkara lain sebelum melontar).
  • Disunatkan melontarnya sebelum terbit matahari dan naiknya sekadar setinggi lembing.
  • Menjadikan Makkah (kiblat) berada di sebelah kirinya dan Mina berada di sebelah kanannya serta menghadap ke arah al-‘Aqabah.
  • Mengangkat tangannya ketika melontar hingga nampak putih ketiaknya. Akan tetapi bagi wanita tidak disunatkan untuk melakukannya.
  • Berhenti daripada bertalbiah apabila bermulanya lontaran anak batu yang pertama dan bertakbir sebagai ganti talbiah.
  • Bertakbir setiap kali melontar.
  • Disunatkan untuk anak batu yang digunakan seperti batu yang digunakan untuk melontar, tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil.
  • Melontar secara berturutan (muwalat) antara lontaran tersebut.
  • Melontar dengan menggunakan tangan kanan.
  • Disunatkan batu itu dalam keadaan bersih (tidak najis). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 496; al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, 312-322; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/183; 8/240; 8/172; 8/154; 8/239).

 

Kesimpulannya

Oleh itu, jelaslah bahawa waktu untuk melontar di Jamrah al-Kubra bermula dari separuh malam hari raya (al-Nahr) sehingga tenggelamnya matahari pada hari ketiga daripada hari-hari tasyriq. Manakala berkenaan amalan-amalan sunat yang boleh dilakukan ketika melontar pula adalah sebagaimana yang kami telah sebutkan di atas.

Walaupun begitu, berkenaan waktu melontar mengikut nasihat kerajaan Arab Saudi dan juga Tabung Haji adalah amat perlu. Ini bagi mengelakkan kesesakan yang melampau atau zahmah syadidah dengan harapan agar pelaksanaan melontar dapat dilakukan dengan sebaik mungkin.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *