#167 Cecair Castoreum; Suci atau Najis?

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu persoalan. Castoreum (lelehan yang keluar daripada dubur sejenis haiwan) merupakan antara bahan yang digunakan dalam industri pembuatan minyak wangi, kosmetik dan lain-lain. Jadi, apakah hukum castoreum ini, adakah ia tetap dikira sebagai najis sekalipun tidak berbau busuk? Mohon pencerahan Datuk.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُحَرِّمُوا طَيِّبَاتِ مَا أَحَلَّ اللَّـهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-Ma’idah: 87)

Ayat di atas mengandungi peringatan buat orang beriman agar tidak mengharamkan apa-apa yang baik, yang telah Allah SWT halalkan untuk mereka yang terdiri daripada makanan, minuman dan menikahi perempuan sehingga mempersempitkan apa yang telah Allah SWT luaskan untuk mereka. Selain itu, ayat ini juga mengingatkan mereka agar jangan melampaui batas-batas yang telah Allah SWT haramkan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 122).     

Definisi castoreum

Sejenis lendir berwarna coklat jingga yang pahit yang terdiri daripada kelenjar perineal kering (dried perineal glands) daripada beaver dan rembesannya digunakan terutama dalam pembuatan minyak wangi – dipanggil juga castor.[1]

Castoreum banyak dijadikan sebagai bahan utama di dalam perisa makanan dan bahan wangian dalam produk kosmetik atau sebagai agen penstabil di dalam sabun, krim, losyen dan minyak wangi. Ia juga ada direkodkan penggunaannya di dalam perubatan kuno. Namun, di dalam perubatan moden tidak ditemukan sebarang rekod penggunaannya.

Ekstrak castoreum ialah produk natural yang disediakan melalui pemerahan keluar menggunakan alkohol panas, pengeringan dan merendam (untuk melembutkan) kantung kelenjar castor (dan bahan kumuhannya) yang diperoleh daripada beaver jantan atau betina. Selain digunakan secara khusus dalam medium penghasilan minyak wangi, ekstrak castoreum juga telah ditambah pada makanan sebagai penambah perisa sejak 1920.

Bahkan ia kebanyakannya digunakan dalam kategori makanan dan minuman, dan sering kali digunakan dalam pembuatan makanan berperisa vanila. Ekstrak castoreum telah diluluskan penggunaannya sebagai perisa makanan oleh Flavor and Extract Manufacturers Association (FEMA) dan Council of Europe (CoE), serta telah disenarai sebagai bahan yang selamat (GRAS) oleh Food and Drug Administration (FDA). Hal ini menunjukkan bahawa penggunaan ekstrak castoreum selamat digunakan sebagai perisa dalam makanan.[2]

Hukum Haiwan Dari Sudut Kenajisannya

Terlebih dahulu, sebelum menjawab persoalan ini, kita hendaklah mengetahui bahawa hukum asal semua haiwan yang masih hidup adalah suci dan tidak dianggap sebagai najis melainkan anjing, babi dan haiwan yang lahir daripada kedua-duanya. Manakala semua haiwan yang mati tanpa mengikut sembelihan syarak, kesemuanya adalah najis — kerana telah menjadi bangkai[3]— kecuali bangkai belalang, ikan dan manusia. Hal ini kerana ketiga-tiga bangkai ini adalah suci dan tidak dianggap sebagai najis. Begitu juga, haiwan yang halal dimakan sekiranya disembelih mengikut syarak dan kemudiannya mati disebabkan oleh sembelihan itu, maka ia adalah suci dan tidak dianggap sebagai najis. Manakala haiwan yang tidak boleh dimakan pula, sekiranya ia mati, kesemuanya tetap menjadi najis sekalipun disembelih mengikut syarak. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 127).

Hukum castoreum

Berbalik kepada persoalan yang ditanyakan, castoreum ini adalah merupakan sejenis lendir atau cecair yang diekstrak daripada kelenjar perineal kering (dried perineal glands) daripada beaver. Terdapat dua cara bagi mendapatkan kelenjar ini iaitu; sama ada ia dikeluarkan setelah membunuh haiwan tersebut atau beaver tersebut dipengsankan. Kemudian, kantung castoreum (castor sacs) yang dijumpai berdekatan dengan ekornya akan diperah bagi mengeluarkan cecairnya dan seterusnya cecair itu akan dikeringkan menjadi pepejal.[4]

Oleh itu, kami berpendapat bahawa castoreum ini adalah suci sekiranya ia diekstrak daripada kelenjar perineal beaver dengan cara memerahnya kerana menurut ulama mazhab Syafi‘i apa-apa cecair yang terpisah daripada bahagian dalam haiwan dan ia tidak termasuk dalam bahagian dalam haiwan tersebut (yakni tidak bersekali dengannya), melainkan hanya meleleh atau merembes seperti air liur, air mata, peluh dan hingus, maka hukumnya adalah mengikut hukum haiwan itu. Sekiranya haiwan tersebut najis, maka ia juga akan dikira sebagai najis, dan sekiranya tidak, maka ia adalah suci. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 40/85).

Tambahan lagi, al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa tidak ada bezanya pada peluh, air liur, hingus dan air mata antara orang berjunub, perempuan haid, orang yang suci, Muslim, kafir, baghal, keldai, kuda, tikus dan seluruh haiwan buas serta haiwan yang melata. Bahkan semuanya adalah suci dan daripada setiap haiwan yang dihukum sebagai suci kecuali babi dan anjing serta yang lahir daripada keduanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/559).

Selain itu, castoreum ini adalah suci sekiranya ia dikeluarkan daripada kelenjar perineal beaver yang disembelih (dimatikan) mengikut syarak. Hal ini kerana beaver merupakan salah satu haiwan yang halal dimakan sebagaimana haiwan darat yang lain. Hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan darat itu adalah harus selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Lebih-lebih lagi, beaver juga bukanlah tergolong dalam haiwan pemangsa yang memburu mangsanya sebagai makanan seperti singa, memerang dan lain-lain. Akan tetapi beaver merupakan haiwan herbivor yang hanya makan daun, kulit kayu, ranting, akar, tumbuhan air, paku pakis, rumput, pokok renek, jagung dan kacang. Bahkan beaver juga tidak akan makan daging sama sekali.[5] Tambahan pula, daging beaver sangat kaya dengan sumber protein. Selain itu, hatinya juga kaya dengan sumber vitamin A dan zat besi (iron). Di samping itu, daging beaver selamat dimakan dan merupakan salah satu makanan yang sangat berkhasiat. Manfaat memakan daging beaver adalah lebih banyak lagi berbanding risiko terdedah kepada pencemaran.[6]

Justeru, castoreum dianggap suci sekiranya ia dikeluarkan daripada kelenjar perineal beaver yang dimatikan mengikut syarak kerana hukumnya kembali kepada hukum asal haiwan sembelihan atau yang mati menurut syarak itu, dan diharuskan untuk mengambil manfaat dengan semua bahagian anggotanya seperti daging, tulang, bulu, urat dan lain-lain selagi mana ia bukan najis. (Lihat al-Bayan, 1/80; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/153).

Manakala sekiranya castoreum itu dikeluarkan atau diekstrak daripada kelenjar perineal beaver yang telah menjadi bangkai atau tidak dimatikan mengikut syarak, maka ia dianggap sebagai najis. Perkara ini adalah sebagaimana hukum susu yang diperah (dikeluarkan) daripada bangkai haiwan yang boleh dimakan. Jumhur ulama dalam kalangan mazhab Maliki, Syafi‘i dan Hanbali serta dua murid kanan Abu Hanifah iaitu Muhammad al-Syaibani dan Qadi Abu Yusuf berpendapat bahawa susu tersebut adalah najis dan tidak halal mengambilnya (yakni meminumnya). Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih)”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Mereka mengatakan bahawa pengharaman bangkai itu merangkumi pengharaman kepada semua bahagian-bahagiannya, dan termasuk dalam bahagian tersebut (yakni yang diharamkan) ialah susunya kerana ia adalah cecair yang berada di dalam bekas yang bernajis (bangkai). Oleh itu, bekas tersebut telah menajiskan cecair (susu) tersebut sebagaimana susu yang diperah di dalam bekas yang bernajis. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 39/389).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara:

  • Castoreum yang diekstrak daripada kelenjar perineal beaver dengan cara memerahnya adalah suci kerana hukumnya adalah sepertimana hukum air liur, peluh dan seumpamanya.
  • Begitu juga, castoreum ini adalah suci sekiranya ia dikeluarkan daripada kelenjar perineal beaver yang disembelih atau dimatikan mengikut syarak. Hal ini kerana beaver merupakan salah satu haiwan yang halal dimakan. Justeru, ia kembali kepada hukum asal haiwan sembelihan atau yang mati menurut syarak iaitu semua bahagian anggotanya seperti daging, lemak, tulang, susu dan lain-lain adalah bukan najis, serta harus diambil manfaat daripadanya sama ada untuk dimakan, atau lain-lain, selagi mana tiada nas atau dalil yang menyatakan sebaliknya.
  • Namun, sekiranya castoreum tersebut dikeluarkan atau diekstrak daripada kelenjar perineal beaver yang telah menjadi bangkai atau tidak disembelih (dimatikan) mengikut syarak, maka ia dianggap sebagai najis.
  • Akhirnya, kami juga ingin menyarankan dan menasihati kepada semua bahawa penjelasan mengenai isu-isu halal terutamanya melibatkan produk-produk dan lain-lain, sebaiknya hendaklah merujuk kepada badan berautoriti dalam negara kita, iaitu Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 28/12/2021 bersamaan 24 Jamadil Awal 1443H

[1]Lihat Merriam-Webster https://www.merriam-webster.com/dictionary/castoreum?utm_campaign=sd&utm_medium=serp&utm_source=jsonld. Diakses pada 20 Februari 2020.

[2] G.A. Burdock, Safety Assessment of Castoreum Extract as a Food Ingredient, International Journal of Toxicology, 26:51-55, (2007).

[3]Bangkai ialah haiwan yang mati tanpa disembelih mengikut syarak atau dalam bahasa lainnya, ia disembelih tidak mengikut sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak yang mana perlu memenuhi syarat-syarat pada penyembelih, haiwan yang disembelih dan alat sembelihan. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 126)

[4] Lihat https://www.iamgoingvegan.com/how-is-castoreum-harvested/. Telah diakses pada 2 September 2021.

[5] Lihat Artikel bertajuk What Do Beavers Eat?, https://www.animalfoodplanet.com/what-do-beavers-eat/. Telah diakses pada 11 Mac 2020.

[6] Lihat Beaver Environmental Health – Contaminants Fact  Sheet, https://www.hss.gov.nt.ca/sites/hss/files/resources/contaminants-fact-sheets-beaver.pdf. Telah diakses pada 11 Mac 2020.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *