#1674: Wanita Haid Mendahulukan Sa’ie Sebelum Tawaf

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum mendahulukan sa’ie dan menangguhkan tawaf disebabkan haid ketika ibadah haji.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.A, katanya: “Aku melihat Nabi SAW melontar dalam keadaan baginda berada di atas tunggangannya pada hari penyembelihan dan baginda bersabda:

لِتَأْخُذُوا مَنَاسِكَكُمْ، فَإِنِّي لَا أَدْرِي لَعَلِّي لَا أَحُجُّ بَعْدَ حَجَّتِي هَذِهِ

Maksudnya:Ambilah manasik kamu (daripadaku), sesungguhnya aku tidak mengetahui mungkin aku tidak lagi melakukan haji selepas pada haji ini.”

Riwayat Muslim (1297)

Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ، فَإِنِّي لَا أَدْرِي لَعَلِّي لَا أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا

Maksudnya:Wahai manusia, ambillah daripadaku manasik-manasik kamu, sesungguhnya aku tidak mengetahui, aku tidak lagi melakukan haji selepas pada tahun ini.

Riwayat al-Nasa’i (3062)

Mulla Ali al-Qari menyatakan bahawa maksud “ambillah daripadaku manasik-manasik kamu” membawa maksud belajarlah daripada perbuatanku, amalkanlah dan ajarkanlah kepada manusia yang lain. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 5/1815)

Berkenaan persoalan di atas, para fuqaha berbeza pendapat tentang hukum melakukan sa’ie sebelum tawaf. Jumhur Ulama’ mengatakan ia tidak sah kerana Nabi SAW hanya melakukan sa’ie setelah baginda tawaf dan baginda SAW menyuruh supaya mengambil manasik haji daripada baginda.

Imam al-Nawawi berkata: Sekiranya seseorang itu melakukan sai’e sebelum tawaf, maka sa’ienya itu tidak sah di sisi kami dan ini juga merupakan pendapat jumhur ulama’, dan kami mengambil daripada al-Mawardi yang menukilkan daripada Ijma’ dan ini adalah pendapat mazhab Malik, Abu Hanifah dan Ahmad. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/78)

Namun, ‘Ata’ dan Daud al-Zahiri serta sebahagian daripada ahli hadith yang lain mengatakan bahawa sa’ie sebelum tawaf adalah sah berdasarkan riwayat Abu Dawud daripada Usamah bin Syarik, katanya:

خَرَجْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَاجًّا فَكَانَ النَّاسُ يَأْتُونَهُ، فَمَنْ قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، سَعَيْتُ قَبْلَ أَنْ أَطُوفَ أَوْ قَدَّمْتُ شَيْئًا أَوْ أَخَّرْتُ شَيْئًا فَكَانَ يَقُولُ: «لَا حَرَجَ لَا حَرَجَ، إِلَّا عَلَى رَجُلٍ اقْتَرَضَ عِرْضَ رَجُلٍ مُسْلِمٍ وَهُوَ ظَالِمٌ، فَذَلِكَ الَّذِي حَرِجَ وَهَلَكَ»

Maksudnya: “Aku pernah pergi bersama dengan Nabi SAW untuk menunaikan haji, dan orang-orang mendatangi baginda dengan pelbagai pertanyaan. Jika ada seseorang yang berkata, ‘Ya Rasulullah, saya telah melakukan sa’i sebelum tawaf, atau aku telah mendahului sesuatu atau melewatkan sesuatu, maka Nabi SAW bersabda: ‘Tidak ada masalah, tidak ada masalah, kecuali untuk orang yang meminjam barang milik orang Muslim, sementara ia memperlakukan pemilik barang tersebut secara zalim. Itulah yang menyebabkan kesulitan dan kerosakan.”

Riwayat Abu Daud (2015) Ibn Majah (3436) dan Ahmad (18477). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut

Imam al-Nawawi berkata: “Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang sahih dan para perawinya merupakan perawi al-Sahihain kecuali Usamah bin Syarik yang merupakan Sahabat. Hadith ini telah diterangkan oleh al-Khattabi dan lain-lain bahawa maknanya ialah, ‘Aku telah melakukan sa’ie sebelum aku melakukan tawaf, iaitu setelah tawaf qudum dan sebelum tawaf al-Ifadhah.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/78)

Imam al-Baghawi berkata: “Jika seseorang melakukan sa’ie antara Safa dan Marwah sebelum dia melakukan tawaf di Kaabah dalam haji atau umrah, maka sa’ienya tidak dikira sehingga dia mengulanginya setelah dia melakukan tawaf di Kaabah sebagaimana pendapat majoriti ulama.

Namun, ada riwayat daripada ‘Ata’ yang menyatakan bahawa sa’ie tersebut cukup dan dianggap sah dengan hujjah bahawa Usamah bin Syarik meriwayatkan bahawa dia pernah keluar bersama Rasulullah untuk menunaikan haji dan ada orang yang mengatakan kepadanya, “Ya Rasulullah, aku melakukan sa’i sebelum aku menunaikan tawaf, atau aku menundanya atau aku melakukannya lebih awal.” Rasulullah menjawab, “Tidak ada masalah.”

Hal ini menurut majoriti ulama, hadith ini membawa maksud dia melakukan sa’ie setelah menunaikan tawaf qudum dan sebelum melakukan wuquf di Arafah, dan sa’ie itu dikira sa’ie haji baginya. Dia tidak diwajibkan untuk mengulanginya setelah menunaikan tawaf Ifadhah. Namun, jika seseorang tidak melakukan sa’ie setelah menunaikan tawaf qudum, maka sa’ienya itu adalah setelah wuquf di Arafah dan tidak akan dikira sebelum tawaf Ifadhah. (Lihat Syarh al-Sunnah, 7/214).

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas, kami katakan bahawa hukum melakukan sa’ie sebelum tawaf adalah tidak sah sebagaimana pendapat jumhur ulama’. Hal ini kerana sa’ie itu sendiri merupakan perbuatan yang tidak boleh berdiri dengan sendiri melainkan ia didahului oleh perbuatan tawaf. Namun begitu, sekiranya seseorang itu melakukan saie haji selepas tawaf qudum dan sebelum tawaf ifadhah (tawaf haji) maka hal ini dibenarkan dan sah mengikut pendapat jumhur ulama’.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

 

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *