#1676: Maksud sebenar al-Masy’ar al-Haram (الْمَشْعَرِ الْحَرَام)

Soalan

Apakah maksud sebenar al-Masy’ar al-Haram (الْمَشْعَرِ الْحَرَام) ?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

 فَإِذَا أَفَضْتُم مِّنْ عَرَفَاتٍ فَاذْكُرُوا اللَّهَ عِندَ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ

Maksudnya: “Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,”talbiah” dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah),”

(Surah al-Baqarah: 198)

Diriwayatkan daripada Amr bin Maimun:

 سَأَلْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرو عَنِ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ، فَسَكَتَ حَتَّى إِذَا هَبَطَتْ أَيْدِي رَوَاحِلِنَا بِالْمُزْدَلِفَةِ قَالَ: أَيْنَ السَّائِلُ عَنِ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ؟ هَذَا الْمَشْعَرُ الْحَرَامُ

Maksudnya: “Aku bertanya kepada Abdullah bin ‘Amr mengenai Masy’ar al-Haram, tetapi beliau diam sahaja. Apabila kami tiba di Muzdalifah dan melepas kendali unta kami, beliau bertanya: “Di mana orang yang bertanya mengenai Masy’ar al-Haram? Ini adalah Masy’ar al-Haram.” (Lihat ‘Umdah al-Tafsir, 1/249; Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/554)

Ulama’ Tafsir berpendapat berkenaan al-Masy’ar al-Haram (الْمَشْعَرِ الْحَرَام):

  • Imam al-Tabari berkata: Adapun “Masy’ar”, maka ia adalah antara dua bukit di Muzdalifah dari Ma’zam Arafah hingga ke Muhassar. (Lihat Tafsir al-Tabari, 3/515)
  • Al-Baghawi berkata: Antara dua bukit di Muzdalifah, dari Ma’zam Arafah hingga ke Muhassar, bukannya Ma’zam dan Muhassar dari Masy’ar, dan dinamakan Masy’ar kerana itu adalah tanda-tanda haji dan asal larangan daripada Allah, maka dilarang melakukan apa-apa di dalamnya kecuali dengan izin. Muzdalifah dinamakan jam’ (جَمْعٌ) kerana di situ dijama’kan antara dua solat Isyak (Maghrib dan Isyak). (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/229)
  • Ibn Kathir berkata: Masy’ar adalah tanda-tanda yang jelas, dan dinamakan Muzdalifah sebagai al-Masy’ar al-Haram (الْمَشْعَرِ الْحَرَام) kerana ia berada di dalam tanah Haram. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/554)
  • Syeikh al-Sa’di berkata: Perintah untuk berzikir kepada Allah di tempat al-Masy’ar al-Haram (الْمَشْعَرِ الْحَرَام), iaitu di Muzdalifah dan ini adalah sesuatu yang diketahui umum. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 92)

Syeikh Khalid bin Abdullah al-Musleh ketika ditanya berkenaan kenapa al-Masy’ar al-Haram (الْمَشْعَرِ الْحَرَام) dinamakan sedemikian, maka beliau menjawab: “Dinamakan al-Masy’ar al-Haram kerana terdapat dua nama tempat bernama masy’ar iaitu Masy’ar al-Halal dan Masy’ar al-Haram. al-Masy’ar al-Halal ialah di Arafah. Al-Masy’ar ialah tempat yang mulia. Pada asalnya, al-Masy’ar dan al-Sya’air ialah perkara-perkara yang diberi keutamaan oleh tempat, waktu, keadaan dan individu. Oleh itu, al-Masy’ar merupakan tempat yang diberi keutamaan dan ia ialah Arafah, juga dikenali sebagai al-Masy’ar al-Halal yang bertentangan dengan al-Masy’ar al-Haram yang merupakan tempat pertama yang didatangi oleh para jemaah haji setelah memasuki tanah haram, iaitu di Muzdalifah. Ia juga dinamakan dengan Jam’an (جمعًا) kerana para jemaah haji berkumpul di situ.”[1]

Kami rangkumkan berkenaan Muzdalifah dan nama-namanya yang lain:

Pertama – Muzdalifah:

  • Dikatakan: “زَلَفَ إليه، وازْدَلَفَ، وتَزَلَّفَ”, yang membawa maksud  دَنَا مِنْهُ iaitu merendahkan diri, dan أَزْلَفَ الشيءَ membawa maksud قَرَّبَه iaitu mendekatkan diri, dan Muzdalifah pula merupakan satu tempat di Makkah. (Lihat Lisan al-Arab, 9/138)
  • Sebab dinamakan sebagai Muzdalifah:
    • Kerana di sana umat Islam mendekatkan diri kepada Allah, dan الاِزْدِلَاف bermakna mendekatkan diri. (Lihat al-Hawi al-Kabir oleh al-Mawardi, 4/432)
    • Kerana manusia berkumpul di sana, dan berkumpul (الاِجْتِمَاع) bermakna الاِزْدِلَاف. (Lihat Syarh al-Sunnah oleh al-Baghawi, 7/165; al-Hawi al-Kabir, 4/432)

KeduaAl-Masy’ar al-Haram (الْمَشْعَرِ الْحَرَام) :

Allah SWT menamakan Muzdalifah sebagai al-Masy’ar al-Haram sebagaimana dalam firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 198 yang bermaksud “ Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah, maka sebutlah nama Allah di tempat Masy’ar Al-Haram.

Al-Masy’ar al-Haram (الْمَشْعَرِ الْحَرَام) yang disebutkan dalam Al-Quran adalah seluruh Muzdalifah, dan hal ini disepakati oleh para ulama tafsir, hadis, dan sejarah. (Lihat al-Majmu’, 8/152)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah berkata: “Muzdalifah secara keseluruhannya dipanggil sebagai Al-Mash’ar Al-Haram dan ia terletak antara Ma’zamay Arafah yang merupakan dua bukit atau lembah di Arafah sehingga ke Batn Muhassar.” (Lihat Majmu’ Al-Fatawa, 26/134).

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata: “al-Masy’ar al-Haram (الْمَشْعَرِ الْحَرَام) adalah tempat yang terletak di Muzdalifah, Namun, ia merujuk kepada keseluruhan Muzdalifah kerana ia merupakan tempat untuk melaksanakan ibadah haji.” (Lihat Majmu’ Fatawa wa Rasail, 23/54).

3 – Jam’ (جَمْعٌ):

Rasulullah SAW menyebut Muzdalifah sebagai (جَمْعٌ). Hal ini sebagaimana riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَوَقَفْتُ هَاهُنَا وَجَمْعٌ كُلُّهَا مَوْقِفٌ

Maksudnya: “Dan aku berwukuf pula di sini (Muzdalifah), maka جَمْعٌ (Muzdalifah) keseluruhannya adalah tempat wukuf.”

Riwayat Muslim (1218)

Muzdalifah disebut sebagai Jam’ (جَمْعٌ) kerana di sana dilakukan jama’ antara dua solat, dan dikatakan juga bahawa dinamakan sedemikian kerana menggambarkan perbuatan manusia yang berkumpul dan mendekatkan diri kepada Allah dengan berwuquf di sana. (Lihat Fath al-Bari, 3/523).

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami nyatakan bahawa para ulama’ menjelaskan bahawa  al-Masy’ar al-Haram (الْمَشْعَرِ الْحَرَام) yang dimaksudkan al-Muzdalifah. Dinamakan juga dengan Muzdalifah (مُزْدَلِفَة) kerana penduduknya (يَزْدَلِفُوْنَ), iaitu mendekatkan diri kepada Allah dengan berwuquf di situ. Ia juga dinamakan demikian kerana orang datang kepadanya pada waktu malam. Dinamakan dengan nama (جَمْعٌ) kerana di situ, dijama’kan antara kedua solat, dan di situ merupakan tempat manusia berkumpul (مُجْتَمَعُ النَّاس). Selain itu, dinamakan al-Masy’ar al-Haram kerana diharamkan berburu di sana. Masy’ar pula dinamakan dengan nama itu kerana ia adalah salah satu tanda syiar dalam agama.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

[1] Lihat https://www.almosleh.com/ar/13191

 

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *