#1700: Gugurkan Janin Kerana Miskin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya sudah berkahwin dan sudah ada anak. Saya ambil perancang selepas bersalin tapi disebabkan kesihatan, saya terpaksa berhenti sehingga operation dijalankan. Selepas operation saya sepatutnya ambil semula pil perancang bulan depan tetapi sekarang saya sudah mengandung. Dalam keadaan ekonomi sekarang dan anak-anak masih kecil dan ramai saya tidak dapat menambah lagi seorang anak. Apa hukum jika saya gugurkan dalam keadaan saya begini ya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

Anak-anak merupakan anugerah daripada Allah SWT kepada sesiapa yang Dia kehendaki, sebagaimana yang difirmankan-Nya:

يَهَبُ لِمَنْ يَشَاء إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاء الذُّكُورَ

Maksudnya: “Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.”

Surah al-Syura (49

Imam al-Maraghi menyatakan bahawa maksud anak di sini ialah anak kandung sahaja. Seseorang yang mencintai isteri dan anaknya mempunyai sebab yang sama, iaitu meneruskan keturunan dan mengekalkan zuriat manusia. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/ 705-706)

Menggugurkan anak atau janin yang berada di dalam kandungan sebelum ia berusia empat bulan adalah termasuk dalam perkara yang diperselisihkan hukumnya di sisi para fuqaha. Majoriti ulama mengatakan bahawa hukumnya adalah haram. Sebahagian lain mengatakan bahawa hukumnya adalah makruh. Manakala sebahagian lain pula berpendapat bahawa hukumnya adalah harus sekiranya terdapat keuzuran. Kami cenderung kepada pendapat majoriti fuqaha berkenaan keharaman menggugurkan janin yang berusia kurang daripada empat bulan. Ini berdasarkan beberapa hujah berikut:

Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ ۚ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepada kefakiran. Kami yang memberi rezeki kepada mereka (anak-anak) dan kepada kamu. Sesungguhnya membunuh mereka (anak-anak) itu adalah satu kesalahan yang besar.”

Surah al-Isra’ (31)

Menurut Imam al-Tabari dalam tafsirnya, ayat ini menjelaskan bahawa janganlah kamu semua membunuh anak-anak kamu disebabkan takut kepada kefakiran atau kemiskinan. Kerana golongan jahiliyyah dahulunya membunuh anak-anak mereka disebabkan takut miskin. Lalu Allah SWT pun memberikan amaran kepada mereka berkenaan hal tersebut serta mengkhabarkan kepada mereka bahawa rezeki mereka dan rezeki anak-anak mereka itu adalah di bawah tanggungjawab Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Tabari, 17/437)

Di sana terdapat satu ayat yang hampir sama, tetapi dengan perbezaan taqdim dan ta’khir (pada beberapa lafaznya). Firman Allah SWT:

 وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُم مِّنْ إِمْلَاقٍ ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ ۖ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.”

(Surah al-An’am: 151)

Syeikh al-Sya’rawi berkata: Firman Allah SWT: ‘وَلاَ تقتلوا أَوْلاَدَكُمْ مِّنْ إمْلاَقٍ’, (Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan) yakni daripada kemiskinan yang ada. Selagimana kefakiran itu wujud, maka seseorang itu tidak mahukan anak kerana ia akan menambah kefakirannya. Disebabkan itu, Allah SWT berfirman, ‘نَّحْنُ نَرْزُقُكُمْ وَإِيَّاهُمْ’ (Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka). Maksudnya, kedatangan anak-anak tidak akan menjadikan kamu lebih fakir. Ini kerana, bagi kamu ada rezeki kamu, dan bagi mereka ada rezeki mereka (yang telah ditetapkan). Dan ini tidaklah bermakna bahawa dengan rezeki mereka itu, maka ia akan mengurangkan rezeki kamu. Tetapi, bagi bapa itu, ada rezekinya dan bagi anaknya, ada pula rezekinya.

Adapun berkenaan ayat, ‘وَلاَ تقتلوا أَوْلادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلاقٍ’, (“dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepada kefakiran,”) maka ia seolah-olah kefakiran itu tidak wujud. Tetapi dia (ibu bapa itu) bimbang bahawa apabila mempunyai anak, maka dia akan jadi fakir. Allah SWT berfirman kepadanya, ‘نَّحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُم’ (Kami yang memberi rezeki kepada mereka (anak-anak) dan kepada kamu). Maksudnya, rezeki mereka akan datang kepada mereka sebelum rezeki kamu. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 1/320)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami cenderung mengatakan bahawa hukum menggugurkan bayi yang belum sampai 4 bulan disebabkan takut ditimpa kemiskinan adalah haram. Begitu juga, menggugurkan anak selepas 4 bulan turut dihukum haram kerana ketika itu roh telah ditiupkan ke dalam kandungan ibu. Maka, menggugurkan anak disebabkan sibuk bekerja, banyak tanggungan, tiada yang akan menjaga dan seumpamanya adalah keuzuran yang tidak diktiraf oleh syarak. Manakala, keadaan yang dibenarkan syarak untuk gugur adalah misalnya apabila untuk menyelamatkan nyawa si ibu atas sebab-sebab kecacatan yang teruk.

Justeru itu, anak-anak adalah kurniaan Allah SWT. Ini merupakan rezeki yang patut disyukuri memandangkan berapa ramai pasangan yang tidak diberi kurniaan ini walhal mereka sangat-sangat menginginkannya.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT agar memberikan kepada kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Amin. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *