#1708: Ambil Barang Penyewa yang Ditinggalkan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum mengambil barang yang ditinggalkan oleh penyewa?

Situasinya, saya diupah untuk membuang segala barang milik penyewa dari China yang telah ditinggalkan selama 2 tahun. Orang yang mengupah saya mengizinkan saya untuk mengambil apa-apa sahaja yang saya nak, tetapi saya was-was untuk ambil terutama wang (kebanyakkan duit syiling Malaysia dan seringgit-seringgit sahaja) dan barang seperti telefon bimbit lama. Pada masa yang sama, saya diberitahu bahawa penyewa itu juga gagal membayar sewanya selama ini.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Sewa menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat merujuk penggunaan atau peminjaman sesuatu dengan membayar sejumlah wang. Manakala takrif sewa menurut istilah syara‘ pula ialah sebuah akad perjanjian bagi mendapatkan manfaat (khidmat) tertentu yang boleh dibayar dan dihalalkan dengan barangan tertentu. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/438)

Akad sewa ini adalah jelas berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ

Maksudnya: “Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.”

(Surah al-Talaq: 6)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji mengatakan bahawa ayat di atas adalah dalil Allah memerintahkan para bapa membayar upah atas khidmat susuan. Ini menunjukkan bahawa upah itu adalah hak ibu susuan tersebut, dan dia tidak layak mendapatkan upah tersebut melainkan dengan adanya akad perjanjian. Sekiranya dia memberikan khidmat susuan tanpa melakukan akad, maka ia dianggap sebagai khidmat sukarela. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/137)

Akad sewa secara asasnya mempunyai 4 rukun:

  • Pihak yang melakukan akad, iaitu penyewa dan yang memberi khidmat sewa.
  • Lafaz akad, iaitu lafaz ijab dan lafaz terima.
  • Manfaat yang ditawarkan.
  • (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/139-148)

Melihat kepada persoalan yang ditanyakan, penyewa dari negara China itu gagal melunaskan bayaran (upah) selepas menyewa tempat tersebut selama tempoh yang tertentu.

Kami katakan, kewajipan menunaikan hak sesama manusia tidak gugur melainkan orang yang menyewakan itu redha. Sekiranya dia tidak redha dengan pelanggaran akad yang dibuat dengan penyewa tersebut, dia boleh merujuk kepada mahkamah di bawah Akta Kontrak 1950, yang disebutkan di dalam seksyen 74 berkaitan remedi-remedi bagi kemungkiran kontrak. Dia boleh bertanya secara terus kepada pihak mahkamah jika dia boleh membuat apa-apa tuntutan sebagai ganti kepada kerugiannya. (Lihat Akta Kontrak 1950, hlm. 47)

Adapun orang yang diupah untuk membersihkan rumah sewa tersebut, jika tuan rumah memberikan keizinan untuk dia mengambil barang tersebut atau membuangnya, sekiranya merasa was-was untuk mengambil barang yang ditinggalkan tersebut, terutama yang berbentuk wang ringgit, sebaiknya diserahkan kepada pihak Baitulmal agar wang tersebut dapat diuruskan dengan lebih baik. Boleh juga wang peninggalan tersebut digunakan untuk maslahat umum. Sebagai contoh, pembaikan tandas masjid, pembaikpulihan jalan raya dan lain-lain.

Namun, jika penyewa tersebut pulang untuk menuntut semula barangan tersebut, perlu dikembalikan semula barang tersebut kepadanya.

Kami menasihatkan kepada semua agar tidak membuat sambil lewa tentang isu membayar sewa kerana setiap perjanjian akan dipersoalkan kelak di hadapan Allah SWT. Ini berdasarkan firman-Nya:

وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كانَ مَسْئُولًا

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.”

(Surah al-Isra’: 34)

Nabi SAW juga mengancam mereka yang tidak membayar upah selepas mendapat manfaat daripada khidmat orang lain. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda di dalam sebuah hadith Qudsi:

قَالَ اللَّهُ: ثَلاَثَةٌ أَنَا خَصْمُهُمْ يَوْمَ القِيَامَةِ: رَجُلٌ أَعْطَى بِي ثُمَّ غَدَرَ، وَرَجُلٌ بَاعَ حُرًّا فَأَكَلَ ثَمَنَهُ، وَرَجُلٌ اسْتَأْجَرَ أَجِيرًا فَاسْتَوْفَى مِنْهُ وَلَمْ يُعْطِ أَجْرَهُ

Maksudnya: “Allah SWT berfirman: ‘Tiga golongan, di mana Aku menjadi musuh mereka pada Hari Kiamat; orang yang memberi (membuat perjanjian) atas nama-Ku kemudian dia khianat, orang yang menjual orang yang merdeka lalu memakan hasil jualannya dan orang yang mengupah pekerja lalu menyuruh untuk menyempurnakan pekerjaannya, tetapi tidak membayar upahnya’.”

Riwayat al-Bukhari (2227)

Wallahua‘lam

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *