#1710: Bapa Berkeras Tidak Mahu Menjadi Wali Nikah Anak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ada sedikit soalan mengenai wali enggan. Saya ingin menikah tetapi wali enggan menjadi wali. Ayah saya sudah bercerai dengan mak saya lebih kurang 20 tahun yang lalu. Dalam tempoh 20 tahun itu, Ayah saya tak pernah datang menjenguk dan terus menghilangkan diri. Jadi, apabila saya ingin menikah, saya cuba hubungi si ayah ini dan beliau memberitahu, apa pun yang berlaku, dia takkan menjadi wali. Sekarang saya sudah bawa isu ini ke mahkamah syariah untuk memohon wali enggan. Apabila sudah berlalu untuk tempoh 5 bulan dan mahkamah memaklumkan kepada saya supaya saya mengambil peguam swasta untuk kes ini. Persoalan saya bagaimana jika seseorang itu kurang berkemampuan untuk membayar peguam, adakah pasangan tersebut tidak dibenarkan menikah? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kewujudan wali adalah wajib semasa aqad nikah dan ia merupakan salah satu daripada rukun aqad nikah. Perkahwinan seorang perempuan sama ada dewasa atau masih kecil, janda ataupun dara, hendaklah diaqadkan oleh walinya. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

لَا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ، وَلَا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ نَفْسَهَا

Maksudnya: “Seorang perempuan tidak harus mengahwinkan perempuan lain dan tidak harus mengahwinkan dirirnya sendiri.”

Riwayat Ibn Majah (1882) dan al-Daraqutni (3/227) dan rijalnya thiqah

Hadith ini menjadi dalil bahawa seorang wanita tidak ada kuasa wali dalam perkahwinan untuk dirinya sendiri atau orang lain. Oleh itu, tidak ada pernyataan yang mengikat bagi wanita dalam perkahwinan baik dalam hal lafaz ijab dan qabul. Wanita tidak boleh mengahwini dirinya sendiri dengan izin wali atau orang lain. (Lihat Subul al-Salam, 3/255).

Wali adalah salah satu daripada rukun pernikahan. Tanpanya, maka tidak akan berlaku sesuatu perkahwinan. Antara peranan wali adalah dengan memberi kebenaran untuk bernikah dan wali juga boleh melarang anak perempuannya itu dari berkahwin. Firman Allah SWT:

فَلَا تَعۡضُلُوهُنَّ أَن يَنكِحۡنَ أَزۡوَٰجَهُنَّ

Maksudnya: Maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka kawin lagi dengan bakal suaminya.

(Surah Al-Baqarah: 232)

Daripada Ma’qil bin Yasar R.A, beliau meriwayatkan bahawa ayat ini turun berkenaan dengan dirinya. Dia berkata:

زَوَّجْتُ أُخْتًا لِي مِنْ رَجُلٍ فَطَلَّقَهَا، حَتَّى إِذَا انْقَضَتْ عِدَّتُـهَا جَاءَ يَـخْطُبُهَا، فَقُلْتُ لَهُ: زَوَّجْتُكَ وَفَرَشْتُكَ وَأَكْرَمْتُكَ، فَطَلَّقْتَهَا، ثُمَّ جِئْتَ تَخْطُبُهَا؟ لاَ وَاللَّهِ لاَ تَعُودُ إِلَيْكَ أَبَدًا، وَكَانَ رَجُلًا لاَ بَأْسَ بِهِ، وَكَانَتِ الْمَرْأَةُ تُرِيدُ أَنْ تَرْجِعَ إِلَيْهِ، فَأَنْزَلَ اللهُ هَذِهِ الآيَةَ: {فَلاَ تَعْضُلُوهُنَّ}، فَقُلْتُ: الآنَ أَفْعَلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: فَزَوَّجَهَا إِيَّاهُ.

Maksudnya: “Aku menikahkan saudara perempuanku dengan seorang lelaki, lalu lelaki itu menceraikannya, hingga ketika ‘iddahnya telah berakhir, dia datang untuk meminangnya. Aku berkata kepadanya: “Aku menikahkanmu, menyiapkan tempat tidurmu, dan memuliakanmu, namun engkau menceraikannya, dan kemudian engkau datang meminangnya? Tidak, demi Allah, dia tidak akan kembali lagi kepadamu buat selama-lamanya.” Sedangkan lelaki itu tidak ada keburukan padanya (baik orangnya) dan si perempuan juga ingin kembali kepadanya. Lalu Allah menurunkan ayat ini: ): {فَلاَ تَعْضُلُوهُنَّ} (Maksudnya: “Janganlah kamu menahan mereka daripada berkahwin.”) [Surah al-Baqarah: 232] Aku berkata: “Sekarang aku akan melakukannya wahai Rasulullah.” Dia berkata: “Aku pun menikahkan saudara perempuanku itu dengan lelaki tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (5130) dan al-Tirmizi (2981)

Imam al-Syafi’i berkata: “Ayat ini dengan jelas menunjukkan petunjuk dalam Kitab Allah bahawa seorang wanita tidak ada kebebasan untuk menikahkan diri sendiri, dan hadith ini juga menjadi dalil bahawa perkahwinan mesti dilakukan dengan persetujuan wali bagi suami dan isteri” (Lihat Ahkam al-Quran li al-Syafi’i, 1/174)

Ibn Hajar berkata: “Hadith ini adalah dalil yang paling jelas dalam mempertimbangkan peranan wali, jika bukan demikian maka tidak akan ada makna dan isu dalam hal wali yang menghalang pernikahan. Hal ini kerana jika seorang wanita memiliki kemampuan untuk menikahkan dirinya sendiri, maka dia tidak akan memerlukan persetujuan daripada saudara lelakinya (wali) atau orang yang bertanggungjawab ke atasnya.” (Lihat Fath al-Bari, 9/187)

Bapa Enggan Menikahkan Anak Perempuannya

Seorang bapa yang menjadi wali kepada anaknya tidak sepatutnya untuk enggan mengahwinkan anaknya tanpa keuzuran yang dibenarkan oleh syarak. Bahkan dalam sebuah hadith, Nabi SAW telah bersabda:

إِذَا جَاءَكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَأَنْكِحُوهُ إِلاَّ تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ

Maksudnya: Jika datang kepada kalian seorang lelaki yang kamu redha akan agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia. Jika tidak, maka akan timbullah fitnah di atas muka bumi dan juga kerosakan.

Riwayat al-Tirmidzi (1085) dan al-Baihaqi (13863)

Perbuatan bapa sebagai wali nikah menghalang atau enggan menikahkan anaknya tanpa ada sebab yang dibenarkan oleh syarak adalah dilarang. Perbuatan ini dianggap satu tindakan yang zalim kepada wanita atau anaknya  itu.

Jika wali enggan walaupun wali merupakan bapanya sendiri, perkahwinan tersebut diwalikan oleh sultan. Hal ini kerana mengahwinkan perempuan dengan yang sekufu adalah tanggungjawab wali. Jika mereka enggan menunaikan tanggungjawab, maka hakimlah yang perlu melaksanakannya.

Diriwayatkan oleh Aisyah R.anha bahawa Rasulullah SAW bersabda :

أَيُّمَا امْرَأَةٍ نَكَحَتْ بِغَيْرِ إِذْنِ وَلِيِّهَا فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَإِنْ دَخَلَ بِهَا فَلَهَا المَهْرُ بِمَا اسْتَحَلَّ مِنْ فَرْجِهَا، فَإِنْ اشْتَجَرُوا فَالسُّلْطَانُ وَلِيُّ مَنْ لَا وَلِيَّ لَهُ

Maksudnya: “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, maka nikahnya batal, jika ia menggaulinya maka ia berhak mendapat maharnya sebagai ganti terhadap apa yang dihalalkan dari kemaluannya. Sekiranya mereka berselisih maka Sultan sebagai wali kepada mereka yang tidak mempunyai wali.”

Riwayat al-Tarmizi (399)

Imam al-Syirazi berkata: Sekiranya tidak ada wali, kerana wali itu (berada) pada jarak yang membolehkan untuk solat qasar (dua marhalah), maka sultan yang mengahwinkan perempuan itu dan tidak boleh wali yang seterusnya (wali ab’ad) mengahwinkan kerana hak perwalian wali yang tiada (berada jauh dua marhalah) masih kekal. Oleh itu, sekiranya wali hakim mengahwinkan perempuan itu yang menggantikan tempat wali nasab, maka sah aqad tersebut. Hal ini kerana ada keuzuran daripada wali nasab maka sultan mengambil tempatnya (menjadi wali). (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Syafie, 2/429)

Imam al-Nawawi berkata: Sekiranya ketiadaan tuan (pembebas hamba) atau asobah (wali keturunan), sultan yang akan mengahwinkan. Begitu juga sultan akan mengahwinkan sekiranya wali yang dekat dan pembebas enggan mengahwinkan, keengganan berlaku bilamana perempuan yang baligh dan berakal ingin berkahwinan dengan yang sekufu dan wali melarang. (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 207)

Namun jika perempuan ingin berkahwin dengan seorang yang tidak sekufu dengannya, maka wali boleh menghalangnya dengan enggan mengahwinkannya dengan lelaki tersebut. Ini kerana wali mempunyai hak dalam memilih pasangan yang sekufu. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/253)

Namun begitu, Ibn Qudamah al-Hanbali berbeza pendapat dalam hal ini dan menukilkan pendapat daripada Imam Ahmad bin Hanbal, jika bapa menolak untuk mengahwinkan anak perempuannya kepada individu yang layak, tanpa alasan yang jelas, itu menjadi perbuatan yang tidak baik terhadapnya. Dalam keadaan ini, datuk atau wali seterusnya boleh mengahwinkannya.

Ibn Qudamah berkata: Jika wali yang yang lebih dekat menolak untuk mengahwinkannya, maka hak wali itu berpindah kepada wali yang lebih jauh (Wilayah al-Ab’ad). Ini dinyatakan oleh Imam Ahmad. Terdapat juga riwayat lain yang menyatakan bahawa tanggungjawab itu berpindah kepada sultan (wali Hakim). Pendapat yang kedua ini dipilih oleh Abu Bakar. Hal ini juga dinyatakan oleh Uthman bin Affan R.A dan Syuraih dan ia juga merupakan pendapat Imam al-Syafi’i. (Lihat al-Mughni, 9/382)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa perbuatan seorang bapa yang enggan menikahi anak perempuannya dengan orang yang sekufu dan soleh tanpa sebab yang dibenarkan oleh syara’ adalah satu perbuatan yang menzalimi si anak tersebut. Hal ini kerana hak wali merupakan amanah yang mesti dijaga oleh setiap bapa yang mempunyai anak perempuan.

Justeru, dalam hal ini mengikut pendapat dalam mazhab al-Syafi’i dan pengamalan dalam negara kita, sekiranya wali enggan untuk menikahkan anak perempuannya, maka hak wali tersebut berpindah kepada wali hakim.

Menurut Seksyen 2(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, wali hakim bererti wali yang ditauliahkan oleh Yang diPertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain, untuk mengahwinankan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab. Wali yang enggan untuk mengahwinkan anaknya tanpa ada alasan yang dibenarkan oleh syarak, selepas mendapat perintah mahkamah namun dia enggan juga, maka wali hakim boleh menjadi wali kepada perempuan tersebut. Ini berdasarkan Seksyen 13 (b), Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang mana telah menyebutkan:

“Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana pihak perempuan itu bermastautin atau seseorang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh Hakim Syarie itu telah, selepas penyiasatan wajar di hadapan semua pihak yang berkenaan, memberi persetujuannya terhadap perkahwinan itu oleh wali Raja mengikut Hukum Syarak; persetujuan tersebut boleh diberi jika perempuan tiada mempunyai wali dari nasab mengikut Hukum Syarak atau jika wali tidak dapat ditemui atau jika wali enggan memberikan persetujuannya tanpa sebab yang mencukupi.”[1]

Oleh itu, dalam hal ini, kami nasihatkan pada saudari supaya merujuk kepada pihak jabatan agama Islam di tempat saudari yang menguruskan bahagian perkahwinan. Saudari boleh meminta nasihat dan memohon bantuan daripada pihak mereka untuk memudahkan urusan saudari bagi mendapatkan hak perkahwinan melalui wali hakim. Jika terpaksa juga mengambil peguam syar’i dalam hal ini, maka berundinglah dengan cara yang baik supaya isu ini diselesaikan secara baik dan harmoni.

Kami doakan supaya urusan perkahwinan saudari dipermudahkan dan segala halangan dan ujian saudari untuk berkahwin ini dapat ditempuhi dengan jayanya. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: ““Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

[1] Lihat http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/Federal_Updated.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/d79d4c8d3d0aa94948256fd500082e0a?OpenDocument

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *