#1713: Tips Baik dengan Anak Kecil

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya mohon tips atau petua nak baik dan tidak kasar pada anak kecil. Saya rasa saya ni sangat garang dan kasar dengan anak saya seorang yang berumur 3 tahun.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Pertamanya, Ibu bapa perlu mempelajari berkenaan hubungan bersama anak-anak atau disebut sebagai bonding.  Antaranya adalah dengan meluangkan masa yang berkualiti bersama mereka, membantu mereka menyiapkan kerja rumah yang diberikan, menjawap persoalan-persoalan kecil yang terkadang timbul, dan sebagainya.

Kemudian, ibu bapa perlu menanamkan di dalam diri terlebih dulu akhlak-akhlak yang terpuji. Hal yang demikian kerana ibu bapa merupakan contoh yang paling dekat bagi anak-anak. Jika ibu bapa mampu menjadi idola terbaik buat mereka, pasti ibu bapa juga akan merasa lebih gembira kerana mereka tahu bahawa mereka adalah orang penting bagi anak-anak. Antaranya, ibu bapa boleh mula memberi salam setiap kali bertemu dengan anak kecil mereka. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A katanya:

أَتَى رَسُولُ اللهِ ﷺ عَلَى غِلْمَانٍ يَلْعَبُونَ، فَسَلَّمَ عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Rasullah SAW datang kepada sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain, lalu memberi salam kepada mereka.”

Riwayat Abu Dawud (5202)

Seterusnya, tunjukkan sifat kasih kita pada anak-anak apabila bersama dengan mereka. Contoh yang terbaik adalah Rasulullah SAW sendiri seperti di dalam Riwayat Abu Hurairah R.A katanya: Rasulullah SAW mencium al-Hasan bin Ali dan ketika itu al-Aqra‘ bin Hamis al-Tamimi sedang duduk, lalu al-Aqra‘ berkata: “Aku mempunyai sepuluh orang anak, akan tetapi aku tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka”, kemudian Nabi SAW bersabda:

مَن لا يَرْحَمُ لا يُرْحَمُ

Maksudnya: “Siapa yang tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.”

Riwayat al-Bukhari (5997)

Mengusap kepala anak kecil juga antara bentuk kasih sayang kita kepada mereka. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A katanya:

كَانَ يَزُورُ الأَنْصَارَ وَيُسَلِّمُ عَلَى صِبْيَانِهِمْ وَيَمْسَحُ رُؤُوسَهُمْ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah menziarahi golongan Ansar, dan Baginda memberi salam kepada anak-anak mereka dan mengusap kepala mereka.”

Riwayat al-Tirmizi (2696), al-Nasa’ie (8349) di dalam al-weSunan al-Kubra, dan Ibn Hibban (459)

Tambahan lagi, kami juga menasihatkan agar ibu bapa yang berkelapangan untuk menghadiri kuliah agama yang terdapat di surau atau masjid berdekatan. Dengan cara mendekatkan diri kepada Allah SWT dan juga majlis ilmu, dengan izin Allah hati akan menjadi lebih tenang kerana ia sentiasa diisi dengan ilmu akhirat. Bahkan, akan menjadi lebih seronok jika kita bawa bersama anak-anak kecil ke majlis ilmu.

Kami katakan, ingatlah pesanan Nabi SAW ketika diminta oleh seorang lelaki untuk menasihatinya:

لا تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرارًا، قالَ: لا تَغْضَبْ

Maksudnya: “Jangan marah, kemudian baginda mengulangnya beberapa kali seraya berkata: ‘Jangan marah’.”

Riwayat al-Bukhari (6116) dan Muslim (2449)

Kami nasihatkan kepada kita semua agar sentiasa mempelajari kaedah parenting dan bonding yang sudah tentu berbeda berdasarkan ilmu, budaya, dan situasi masyarakat serta tempat, agar ia seiring dengan perubahan masa dan tempat. Dengan cara ini, sudah tentu kita akan dapat meningkatkan kemampuan kita dalam berinteraksi dengan anak-anak kecil.

Lihatlah contoh terbaik dan sumber teladan daripada Rasulullah SAW, para sahabat dan salafussoleh yang telah berjaya mendidik anak bangsa menjadi bangsa yang unggul lagi hebat. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahua‘lam

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *