#172 Samakan Warna Kulit Isteri Dengan Ibu

Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM25.00
-64%
Rated 0 out of 5
RM50.00
-53%

Siri Perkahwinan

[eBook]Baiti Jannati

Rated 0 out of 5
RM20.00
Rated 0 out of 5
RM10.00
-18%

Buku Fizikal

Rahiq Makthum

Rated 0 out of 5
RM65.00RM130.00

Soalan

Adakah perbuatan saya termasuk di dalam zihar sekiranya saya mengatakan bahawa warna kulit isteri saya sama putih dengan warna kulit ibu saya? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Zihar boleh didefinisikan sebagai perkataan suami menyamakan isterinya yang belum tertalaq secara bain dengan wanita yang mahram muabbad kepadanya.[1]

Ia dinamakan sebagai zihar kerana merujuk kepada perbuatan yang berasal daripada perkataan suami menyamakan isteri dengan anggota belakang ibunya. Aspek penyamaan yang dibuat itu menggambarkan seolah-olah isterinya haram disetubuhi seperti mana haramnya ia menyetubuhi ibu kandungnya sendiri atau mahramnya yang lain.

Zihar juga mengikut setiap mazhab didefinisikan sebagai:

  • Mazhab Hanafi: Seseorang Islam menyamakan isterinya sekalipun perempuan kitabiah, kecil, gila, atau menyamakannya apa yang diibaratkan daripada anggotanya atau menyamakan sesuatu yang terkenal padanya dengan perempuan yang diharamkan ke atasnya selama-lama. [2]
  • Mazhab Maliki: Seseorang Islam menyamakan yang pada asalnya halal daripada isteri atau hamba perempuannya atau sejuzuk daripadanya dengan mahramnya. [3]
  • Mazhab Syafi’e: Menyamakan isteri yang bukan Talaq Ba’in dengan perempuan yang tidak halal baginya berkahwin.[4]
  • Mazhab Hanbali: Seseorang Islam menyamakan isterinya atau mana-mana anggota dengan belakang perempuan yang diharamkan ke atasnya berkahwin selama-lama atau dengan mana-mana anggotanya.[5]

Hukum melakukan zihar adalah haram berdasarkan kepada nas al-quran dan ijmak ulama. Firman Allah SWT:

الَّذِينَ يُظَاهِرُونَ مِنكُم مِّن نِّسَائِهِم مَّا هُنَّ أُمَّهَاتِهِمْ ۖ إِنْ أُمَّهَاتُهُمْ إِلَّا اللَّائِي وَلَدْنَهُمْ ۚ وَإِنَّهُمْ لَيَقُولُونَ مُنكَرًا مِّنَ الْقَوْلِ وَزُورًا ۚ وَإِنَّ اللَّـهَ لَعَفُوٌّ غَفُورٌ

Maksudnya:Orang-orang yang “ziharkan” isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.”[6]

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji[7] menyebut: Apabila suami melafazkan zihar, iaitu menyamakan isteri dengan seseorang daripada mahramnya, maka hendaklah dilihat kepada aspek yang berikut:

  • Jika lafaz zihar diikuti dengan lafaz talaq, maka hukum zihar termasuk dalam hukum talaq dan lafaz zihar tersebut tidak memberi sebarang kesan.
  • Sebaliknya, jika zihar tidak diikuti dengan lafaz talaq dan tidak berlaku perkara yang boleh memutuskan hubungan perkahwinan, dia dianggap kembali kepada kata-katanya yang berlawanan dengan maksud zihar. Oleh itu, dia dikenakan kaffarah yang mesti dijelaskan segera.

Berdasarkan persoalan di atas, perbuatan menyamakan warna kulit dengan mahram muabbad tersebut, tidak termasuk dalam zihar. Hal ini kerana perbandingan dan perumpamaan antara isteri dengan ibunya itu lebih kepada warna yang dianggap sebagai sifat bukan fizikal. Justeru, ia tidak dianggap sebagai zihar. Namun kami menasihati supaya dijauhkan perbuatan tersebut kerana dikhuatiri boleh menjebakkan perbuatan zihar yang jelas ditegah di dalam Islam. Kami juga menasihati supaya meninggalkan keraguan seperti itu, supaya kehidupan kita dalam mengamalkan Islam ini memperoleh ketenangan. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh al-Hasan bin ‘Ali R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu. Sesungguhnya kebenaran itu adalah ketenangan dan pembohongan itu suatu yang meragukan.[8]

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh 4 Januari 2022 bersamaan 1 Jamadil Akhir 1443 H

 

[1] Lihat Mughni al-Muhtaj, hlm. 448

[2] Lihat al-Durr al-Mukhtar, 3/466

[3] Lihat al-Syarh al-Kabir li al-Dardir, 2/439

[4] Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/352

[5] Lihat al-Muqni’, 23/228

[6] Surah al-Mujadalah: 2

[7] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/449-450

[8] Riwayat Al-Tirmizi (2518)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *