Soalan:

Salam Datuk, saya terdengar bahawa antara asbab seseorang terjerumus ke arah maksiat adalah disebabkan solatnya bermasalah. Soalan saya, adakah solat pendosa tersebut diterima oleh Allah? Bagaimanakah cara yang efektif untuk melawan hawa nafsu syahwat daripada melakukan maksiat seperti onani, tonton video lucah? Mohon pencerahan Datuk. Barakallahu fikum. Moga urusan Datuk dan warga kerja Maktabah al-Bakri sentiasa dirahmati oleh Allah.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat merupakan salah satu ibadah penting dalam kehidupan seorang Muslim. Dalam rukun Islam, solat berada pada kedudukan kedua setelah mengucapkan dua kalimah syahadah. Dalam satu riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya:  Islam dibina di atas lima iaitu kalimah “bahawa tiada tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya”, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, dan berpuasa pada bulan Ramadan.

Riwayat Muslim (16)

Apabila seseorang menunaikan solat dengan sempurna maka Allah SWT akan memberikannya ketenangan jiwa. Hal ini kerana, tujuan ibadat solat dilaksanakan adalah untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Selain itu, ia juga dapat memperkasakan ummah kita untuk terus mencapai kejayaan dan kegemilangan di dunia mahupun akhirat.

Bukan itu sahaja, solat juga dapat menjadi satu benteng yang menghalang seseorang itu daripada melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.”

(Surah al-‘Ankabut : 45)

Imam al-Qurtubi berkata: Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Nabi SAW: “Tidakkah kamu melihat sekiranya sebuah sungai yang berada berhampiran kamu, lalu kamu mandi di dalamnya sebanyak lima kali pada setiap hari, adakah tersisa kekotoran pada diri kamu, mereka berkata: tidak akan tersisa, lalu Nabi SAW menjawab: “Begitulah perumpamaan solat lima waktu yang menghapuskan segala dosa manusia dengannya”. Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A dan dikeluarkan oleh Imam al-Tirmizi dan beliau menyatakan hadith ini hasan sahih. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 13/347)

Justeru, berdasarkan persoalan di atas, antara syarat ibadah yang diterima Allah SWT ialah dengan ikhlas dan bertepatan dengan sunnah dan juga syara’. Hal ini kerana setiap amalan itu perlu dilakukan dengan ikhlas kerana Allah tanpa ada rasa riak dan ujub. Firman Allah SWT:

Firman Allah SWT:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya.”

(Surah al-Baniyyah: 5)

Imam al-Qurthubi berkata:  Firman Allah SWT dalam ayat yang lain “قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّـهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ” yang bermaksud  “Katakanlah (wahai Muhammad SAW): “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadah hanya kepada-Nya”. [al-Zumar:11]. Ayat ini menjadi dalil bahawa wajibnya kita berniat dalam melaksanakan perkara-perkara berkaitan ibadah. Hal ni kerana, ikhlas merupakan amalan hati dan ia perlulah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dan tidak pada selain daripada-Nya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 20/144)

Begitu juga dengan riwayat Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن عَمِلَ عَمَلًا ليسَ عليه أمْرُنا فَهو رَدٌّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan yang tiada dalam agama kami, maka amalan yang dikerjakan itu tertolak.”

Riwayat Muslim (1718)

Imam al-Nawawi menyebutkan, menurut Ahli Bahasa Arab, lafaz “رَدٌّ” di sini bermaksud ditolak. Dalam erti kata lain, ia adalah batil dan tidak dikira. Hadith ini termasuk dalam kaedah agung di antara kaedah-kaedah agama dan sebahagian daripada Jawami‘ al-Kalim (ringkas dan makna yang padat) yang dianugerahkan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Hadith ini juga jelas menunjukkan bahawa semua bidaah dan perkara baru yang diada-adakan dalam agama adalah tertolak. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 12/16)

Justeru, sekiranya solat pendosa itu memenuhi dua syarat ini iaitu ikhlas dan menepati syara’, dengan izin Allah amalan ibadahnya termasuk solat akan diterima oleh Allah SWT.

Pada asasnya, solat seseorang itu dapat mencegah seseorang itu daripada melakukan kemungkaran. Justeru dalam hal ini, beberapa nasihat yang boleh kami kemukakan buat saudara yang bertanya:

Pertama: Menjaga dan Memperbaiki Kualiti Solat

Solat merupakan ibadah yang sangat perlu dijaga oleh setiap muslim. Maka, bagi setiap orang islam perlu untuk memperbaiki kualiti solatnya setiap hari seperti mempebaiki kekhusyukan, pembacaan dalam solat dan seumpamanya. Hal ini kerana solat merupakan kebaikan yang akan menghapuskan kejahatan. Firman Allah SWT:

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِّنَ اللَّيْلِ ۚ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِينَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.”

(Surah Hud: 114)

Imam al-Baghawi menaqalkan pandangan Mujahid (النَّهَارِ) adalah waktu solat Subuh, Zuhur dan Asar dan (وَزُلَفًا مِّنَ اللَّيْلِ) merupakan waktu solat maghrib dan Isyak. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 4/204)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di dalam tafsirnya menyebut: “Lima waktu solat ini dan solat-solat sunat yang dilakukan bersama dengan solat fardhu adalah sebahagian daripada amal kebajikan (الحسنات) yang terbesar, iaitu kebaikan-kebaikan ini adalah amalan yang mendekatkan diri kepada Allah dan amalan yang memberikan pahala, dan amalan ini juga dapat menghapuskan dosa-dosa kecil. Hal ini telah dijelaskan dalam hadith-hadith sahih yang diriwayatkan oleh Nabi Muhammad SAW.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 391)

Kedua: Selalu Bersama dengan Rakan-rakan yang baik

Diriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy’ari R.A, Rasulullah SAW bersabda :

مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ، وَكِيرِ الْحَدَّادِ، لاَ يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ، أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ، وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً

Maksudnya: “Perumpamaan kawan yang baik dan kawan yang buruk adalah seperti pemilik kasturi (minyak wangi) dan peralatan tukang besi, engkau tidak akan lepas daripada pemilik kasturi, sama ada engkau membelinya atau dapat mencium aroma baunya. Peralatan tukang besi pula (adakalanya) membakar tubuhmu, atau pakaianmu, atau engkau mencium bau yang tidak baik daripadanya.” 

Riwayat Al-Bukhari (2101) dan Muslim (2628)

Ibn Hajar al-Asqalani berkata : “Pada hadith ini, ditegaskan larangan untuk bergaul dengan orang yang akan merugikan dalam urusan agama dan dunia, serta galakan dan keutamaan untuk bergaul dengan orang yang memberikan manfaat dalam kedua hal tersebut iaitu pada urusan agama dan juga urusan dunia.” (Lihat Fath al-Bari, 4/324)

Ketiga: Memanfaatkan masa dengan hadir ke Majlis Ilmu 

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya.”

Riwayat Muslim (4867)

Imam al-Nawawi berkata: Maksud sabda Nabi SAW “Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat” adalah dikatakan yang dimaksudkan dengan sakinah di sini adalah rahmat. [Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 17/21]

Selain itu, kaedah yang masyhur juga menyatakan:

الوَاجِبَات أَكْثَر مِن الاوْقَات

Maksudnya: “Kewajipan-kewajipan kita jauh lebih banyak daripada masa yang kita miliki.”

Inilah kenyataan yang menunjukkan bahawa masa yang kita miliki adalah amat sedikit. Justeru, gunakanlah perkara yang memberi manfaat dan faedah dalam kehidupan ini.

Keempat: Banyakkan Istighfar

Istighfar mempunyai banyak kelebihan sebagaimana yang riwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ

Maksudnya: “Sesiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”. 

Riwayat Abu Dawud (1518). Syeikh Syu’aib al-Arna’outh: Sanadnya dhaif kerana salah seorang perawi bernama al-Hakam bin Mus’ab yang majhul (tidak dikenali) sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Zahabi]

Kelima: Sentiasa mengingatkan diri bahawa segala perbuatan kita akan dicatat dan dihisab oleh Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَـٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Maksudnya: “Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.”

(Surah al-Kahfi: 49)

Al-Sobuni berkata: Diletakkan catatan amalan manusia dan dibentangkan ke atas mereka. Ketika itu, kamu lihat mereka yang melakukan kejahatan merasa amat takut dengan kejahatan dan dosa mereka. (Lihat Sofwah al-Tafsir, 2/1748)

Keenam: Memperbanyakkan doa untuk ditetapkan hati sebagaimana doa Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Anas R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟ قَالَ: نَعَمْ، إِنَّ القُلُوبَ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW selalu mengucapkan: “يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِك” (Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu). Kemudian aku pun bertanya: “Wahai Rasulullah, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang engkau bawa, lalu apakah engkau masih risau kepada kami?” Baginda menjawab: “Ya, kerana sesungguhnya hati manusia berada di antara dua genggaman tangan (kekuasaan) Allah yang Dia bolak-balikkan menurut yang dikehendaki-Nya.”

Riwayat Imam Ahmad (12107), al-Tirmizi (2140), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (757) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1261)

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas, kami katakan bahawa solat itu pasti dapat mencegah seseorang itu daripada melakukan kemungkaran sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Quran.

Syeikh Abdul Aziz bin Baz berkata: “Terdapat riwayat yang menyatakan:

مَنْ لَمْ تَنْهَهُ صَلاتُهُ، عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ فَلا صَلاةَ لَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang solatnya tidak dapat mencegahnya daripada perbuatan keji dan mungkar, maka tidaklah ada solat baginya.”

Riwayat ini diketahui sebagai perkataan Ibnu Mas’ud dan ia mauquf daripada perkataan Abdullah bin Mas’ud R.A dan aku tidak mengetahui kesahihan jika ia diriwayatkan secara marfu’ kepada Nabi SAW. Ini adalah dalam bab peringatan, yang mana kewajiban bagi seorang mukmin adalah dengan menjauhi kekejian dan kemungkaran, dan berpegang teguh pada ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Solatnya seharusnya mencegahnya daripada perbuatan yang tersebut, sebagaimana Allah berfirman: ‘Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar.’ (Surah Al-Ankabut: 45). Kewajiban bagi seorang Muslim adalah untuk memperbaiki keadaannya dan berusaha untuk bertaubat kepada Allah dari dosa-dosa maksiatnya. Jika dia melakukan solat tetapi masih terus berbuat maksiat, itu bermakna bahawa solatnya itu tidak dilaksanakan dengan sepenuhnya seperti yang sepatutnya, dan dia tidak menjadikannya sebagai penghalang dari perbuatan keji dan mungkar. Sekiranya dia mendirikan solat sebagaimana yang dituntut oleh syara’ pasti ia akan menghalangnya daripada perbuatan keji dan munkar. Maka kewajiban baginya adalah untuk memuhasabah dirinya sendiri, bertaqwa kepada Allah, melaksanakan solat sebagaimana perintah Allah, menjauhi kekejian dan kemungkaran, serta bertaubat kepada Allah daripada maksiat.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply