#1744: Solat Jumaat Di Qariah Yang Mempunyai Banyak Masjid

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah sah solat jumaat seseorang yang satu qariahnya mempunyai berbilang bilang masjid contohnya masjid-masjid di Mesir, adakah perlu solat zuhur selepas itu atas jalan berjaga jaga ‘احتياط’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

(Surah al-Jumu‘ah : 9)

Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/198) 

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah R.A, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda :

نَحْنُ الآخِرُونَ السَّابِقُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، بَيْدَ أَنَّهُمْ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِنَا، ثُمَّ هَذَا يَوْمُهُمُ الَّذِى فُرِضَ عَلَيْهِمْ فَاخْتَلَفُوا فِيهِ، فَهَدَانَا اللَّهُ، فَالنَّاسُ لَنَا فِيهِ تَبَعٌ، الْيَهُودُ غَدًا وَالنَّصَارَى بَعْدَ غَدٍ

Maksudnya: “Kita adalah umat yang terakhir (lahir ke dunia) dan umat yang terdahulu (menikmati kelebihan, ganjaran dan masuk syurga) pada hari kiamat walaupun mereka (umat terdahulu) diberikan kitab (syariat samawi) sebelum kita. Hari Jumaat ialah hari yang telah difardhukan atas mereka (untuk mendampingkan diri kepada Allah) tetapi mereka telah mempertikaikannya. Lalu Allah memberi petunjuk kepada kita sedangkan mereka menerima hari-hari berikutnya, iaitu Yahudi pada hari Sabtu dan Nasrani pula pada hari Ahad.” 

Riwayat al-Bukhari (876) dan Muslim (855)

Solat Jumaat Di Qariah Yang mempunyai Banyak Masjid

Pada asasnya, pelaksanaan solat Jumaat di tempat-tempat yang berbilang dalam satu qariah adalah tidak dibolehkan, kecuali jika luasnya qariah tersebut dan ramainya penduduk. Para fuqaha telah menyatakan bahawa jika terdapat bilangan solat Jumaat dalam satu qariah tanpa sebab yang jelas, maka solat Jumaat yang pertama (yang dilaksanakan lebih awal) adalah yang sah, iaitu yang mendahului solat Jumaat yang lain dengan takbiratul ihram.

Al-Khatib al-Syirbini berkata: “Antara syarat-syarat sah solat Jumaat ialah tidak ada solat Jumaat yang mendahuluinya atau setara dengannya di kawasan tersebut, kecuali jika kawasan itu luas dan sulit untuk mengumpulkan mereka di satu tempat, di mana tidak ada tempat di masjid Jumaat yang mencukupi bagi mereka tanpa kesulitan. Jika demikian, maka diperbolehkan untuk mengadakan solat Jumaat di tempat-tempat yang berbeza mengikut keperluan.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/543)

Al-Buhuti dalam Kasyaf al-Qina’ berkata: “Solat Jumaat boleh diadakan di lebih daripada satu tempat di dalam sesuatu qariah, jika terdapat keperluan untuk itu, seperti kekurangan masjid di kawasan tersebut berbanding penduduknya atau ketakutan akan timbulnya fitnah seperti jika terdapat permusuhan di kalangan penduduk, maka timbul kekhawatiran bahawa fitnah akan berlaku apabila mereka berkumpul di satu masjid. Selain itu, jika jarak antara satu masjid dengan sesuatu kumpulan penduduk agak jauh atau seumpamanya, seperti luasnya qariah dan terdapatnya perkampungan yang berjauhan, maka solat Jumaat yang pertama dan yang kedua adalah sah. Ini kerana amalan ini dilakukan di kawasan-kawasan besar tanpa bantahan, maka ia adalah ijma’ … Adapun yang diharamkan pada solat Jumaat dan Hari Raya lebih daripada satu tempat di dalam sesuatu qariah ialah sekiranya ia dilakukan tanpa ada keperluan yang jelas. Dalam al-Mubdi’ disebutkan, “Kami tidak mengetahui adanya perbezaan pendapat tentang perkara ini, kecuali pendapat Ata’.” (Lihat Kasyaf al-Qina’, 2/39)

Dairah al-Ifta’ Jordan dalam fatwanya menyebut: Solat Jumaat dinamakan demikian kerana ia mengumpulkan orang ramai di satu tempat. Sebelum ini, solat Jumaat diadakan di masjid jamek. Namun, apabila jumlah penduduk bertambah dan perkembangan pembangunan meluas, keperluan untuk mengadakan solat Jumaat di pelbagai tempat menjadi semakin penting. Walaubagaimanapun, terdapat perbezaan pendapat di kalangan fuqaha mengenai keharusan mengadakan solat Jumaat di pelbagai tempat melebihi keperluan tersebut. Jumhur fuqaha daripada Mazhab Syafi’i, Maliki, dan Hanbali menyatakan bahawa mengadakan solat Jumaat di di banyak tempat dalam satu qariah tanpa adanya keperluan adalah dilarang. Namun, jika terdapat keperluan untuk mengadakan solat Jumaat di pelbagai tempat, seperti masjid jamek yang sempit untuk menampung jumlah jemaah yang ramai, atau jika kawasan qariah tersebut menjadi luas sehingga sukar untuk mengumpulkan orang ramai di satu masjid, maka mengadakan solat Jumaat di tempat-tempat yang berbeza adalah dibenarkan.

Oleh itu, jika memungkinkan untuk mengumpulkan jemaah di satu kawasan dalam satu masjid jamek yang mencukupi bagi semua orang untuk melaksanakan solat dengan tenteram dan aman, adalah yang lebih utama dan lebih berhati-hati berbanding dengan memperbanyakkan masjid untuk didirikan solat Jumaat. Hal ini kerana ia lebih dekat kepada roh syariat dan tujuan umumnya dalam memelihara kesatuan umat Islam dan menyatukan perkataan mereka. Namun, jika itu tidak memungkinkan disebabkan oleh kekurangan ruang, jarak, kawasan qariah yang luas, atau terdapatnya kesulitan untuk hadir ke masjid jami’, maka diizinkan untuk mengadakan solat Jumaat di tempat-tempat yang berbeza mengikut keperluan dan hajat. Dalam semua keadaan, solat Jumaat di semua masjid adalah sah dan memadai. Wallahua’alam.

Pengalaman kami dengan guru kami sewaktu di Syria dahulu, Syeikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti yang mana ketika kami menuntut ilmu di sana, terdapat beberapa masjid yang mendirikan solat Jumaat dalam satu Qariah. Beliau mendirikan solat Jumaat dalam salah satu masjid dan kemudiannya menunaikan solat zohor setelah itu, tetapi beliau tidak mewajibkan orang lain mengikutinya sebagai langkah-langkah berjaga-jaga.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa solat jumaat seseorang yang satu qariahnya mempunyai berbilang bilang masjid adalah sah dan dia tidak perlu mengulangi solat tersebut dengan solat Zohor. Hal ini kerana pihak berkuasa agama telah menetapkan keperluan bagi sesebuah masjid itu untuk didirkan solat Jumaat disebabkan sebab dan keperluan yang tertentu seperti masjid jamek yang asal tidak mampu menampung jumlah jemaah yang ada, jaraknya yang jauh walaupun dalam qariah yang sama dan seumpamanya.

Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang mendirikan solat. Marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *