#1758: Cara Mengetahui Bakal Isteri Penyayang dan Subur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin berkahwin dengan seorang wanita ini, tetapi tidak pasti akan kesuburannya. Hal ini kerana Rasulullah SAW pernah berpesan supaya berkahwin dengan wanita yang penyayang dan boleh melahirkan ramai anak, jadi boleh saya tahu bagaimana cara untuk mengetahui bakal isteri itu  subur? Mohon pencerahan

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, Islam menggariskan lelaki untuk menikahi perempuan dengan sebab agamanya. Hal ini sepertimana sabda Nabi SAW:

فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Maksudnya: “Pilihlah perempuan yang beragama nescaya beruntunglah kamu.”

Riwayat al-Bukhari (4802) dan Muslim (1466)

Ibn Hajar menjelaskan, ungkapan “فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ” membawa maksud sewajarnya bagi seorang yang beragama dan memiliki maruah (adab) untuk menjadikan agama sebagai petunjuk dalam setiap perkara, lebih-lebih lagi dalam perkara yang dia akan berteman dan tinggal lama bersamanya (isteri). Maka Nabi SAW menyuruh agar mendapatkan seorang wanita yang memiliki agama di mana agama adalah puncak keinginan. (Lihat Fath al-Bari, 9/164)

Imam al-Nawawi menyebut bahawa hadith di atas menerangkan kepada kita bahawa kebiasaan adat seseorang apabila ingin menikahi wanita, terdapat empat perkara yang menjadi kayu pengukur. Rasulullah SAW menyuruh agar dilihat pada agamanya kerana ianya menguntungkan seseorang di dunia dan akhirat. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/51-52)

Ungkapan “فَاظْفَرْ” membawa maksud cari dan berusahalah serta berlumbalah untuk mendapatkan perempuan yang baik agamanya. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/234)

Imam al-San’ani menyebut, Nabi SAW memerintahkan para pemuda sekiranya mereka menjumpai perempuan yang baik agamanya, maka janganlah mereka berpaling untuk mengubah pilihan kepada perempuan lain. (Lihat Subul al-Salam, 10/4)

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Hikmah pemilihan wanita yang beragama dan berakhlak adalah kerana agama akan terus kukuh bersama-sama peredaran zaman. Manakala akhlak pula akan terus mantap bersama hari-hari yang berlalu, di samping pengalaman hidup. Apabila setiap pasangan menjadikan agama dan akhlak sebagai asas pemilihan, ia lebih menjamin kelangsungan cinta dan kasih sayang yang berkekalan. Hal ini tidak pula bermaksud bahawa manusia tidak perlu mengambil kira faktor keturunan dan kecantikan. Sebaliknya, ia bermaksud bahawa sekiranya ciri-ciri tertentu sahaja yang ada pada seseorang perempuan, maka pemilihan berdasarkan agama adalah yang paling baik. Jika kesemua ciri ini ada, maka itulah wanita yang paling baik untuk dijadikan pasangan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/519-520)

Galakan Berkahwin Dengan Wanita Yang Penyayang dan Subur

Diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar R.A, katanya: Seseorang telah mendatangi Rasulullah SAW dan berkata:

إِنِّي أَصَبْتُ امْرَأَةً ذَاتَ جَمَالٍ وَحَسَبٍ، وَإِنَّهَا لَا تَلِدُ أَفَأَتَزَوَّجُهَا؟ قَالَ: لَا، ثُمَّ أَتَاهُ الثَّانِيَةَ فَنَهَاهُ، ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ فَقَالَ: تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الْأُمَمَ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah bertemu dengan seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik tetapi dia seorang yang tidak boleh melahirkan anak. Maka, apakah aku boleh menikahinya? Rasulullah SAW menjawab: “Jangan.” Kemudian, lelaki itu datang buat kali yang kedua, maka baginda juga melarangnya. Lalu lelaki itu datang buat kali yang ketiga, maka Nabi SAW bersabda: “Kahwinilah kamu akan perempuan yang penyayang, subur kerana aku merasa bangga dengan memiliki umat yang banyak.”

Riwayat Abu Dawud (2050) dan al-Nasa’i (3227). Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan sanad hadith ini qawiy dan dinilai sahih berdasarkan kitab Adab al-Zifaf (hlm. 132)

Syeikh Zakariyya al-Ansari berkata: “Penyayang serta kesuburan seorang perempuan dapat diketahui dengan melihat saudara dan kerabatnya yang senasab. (Lihat Asna al-Matalib, 3/197)

Apabila seorang wanita belum pernah berkahwin dan tidak diketahui tentang kesuburannya, maka cukup dengan memperhatikan kesihatan dan keanjalan tubuhnya karena umumnya wanita dengan dua sifat tersebut adalah wanita yang subur. (Lihat Ihya’ ‘Ulumuddin, 2/41)

Justeru, dalam hal ini, untuk mengetahui wanita yang subur adalah dengan cara salah satu daripada dua hal berikut:

  1. Dengan melihat keadaan ibu, adik beradiknya dan saudara maranya.
  2. Jika dia pernah berkahwin sebelum ini, boleh dilihat dari keadaan perkahwinannya yang terdahulu.

Syeikh Abd al-‘Azim Abadi  berkata: “( تَزَوَّجُوا الْوَدُود) iaitu; yang mencintai suaminya, (الْوَلُود) iaitu yang ramai anaknya. Dua kriteria diikat bersama kerana jika dia subur tetapi bukan seorang yang penyayang, maka tidak digalakkan untuk berkahwin dengannya, dan jika dia penyayang tetapi tidak subur maka matlamatnya tidak akan tercapai iaitu menambahkan bilangan umat Nabi SAW dengan melahirkan ramai anak. Untuk mengetahui dua perkara yang ada pada wanita dara adalah dengan melihat saudara dan adik beradik mereka; kerana secara umumnya apa yang berlaku adik beradiknya atau saudaranya tidak jauh beza antara satu sama lain. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 6/33)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 2 Jun 2023 bersamaan 13 Zulkaedah 1444H

1 thoughts on “#1758: Cara Mengetahui Bakal Isteri Penyayang dan Subur

  1. Adawiyah Binti Ahmad Azmi says:

    Assalamualaikum Dr.
    Saya baru sahaja membaca artikel Dr. bertajuk #1758: Cara Mengetahui Bakal Isteri Penyayang dan Subur.

    Saya mempunyai beberapa soalan:
    1. Apakah maksud subur sebenar dalam konteks artikel ini?
    2. Seterusnya, jika seseorang perempuan yang mempunyai masalah seperti PCOS atau Endometriosis, adakah beliau tidak patut berkahwin memandangkan kedua dua ini adalah masalah kesuburan?
    3. Akhir sekali, bagaimana cara seseorang perempuan hendak mengetahui jika seseorang lelaki adalah subur?

    Terima kasih (:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *