Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, Maaf saya ingin bertanya, adakah sah jika makmum berimamkan imam yang belum mandi wajib sedangkan makmum tak tahu pun imam dalam keadaan berhadas, dan makmum dapat tahu seminggu selepas kejadian tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara perkara yang membatalkan solat ialah seseorang itu berada dalam keadaan berhadas, sama ada hadas kecil atau besar, semasa menunaikan solat dan salah satu daripada syarat sah solat berjemaah ialah makmum mestilah tidak mengetahui atau meyakini bahawa solat imam itu batal. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/170 & 179). 

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan: “Jika makmum solat dalam keadaan dia mengetahui imam berhadas sebelum atau semasa solat, seperti mendapati imamnya membuang angin, maka tidak sah solat makmum itu atau wajib baginya untuk berniat mufaraqah (berpisah daripada imam) atau diharuskan istikhlaf (penggantian imam) sekiranya berlaku semasa solat. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 1/456).

Adapun jika imam memberitahu makmum selepas selesainya solat bahawa dia bersolat dalam keadaan berhadas kerana lupa, maka perkara itu tidak memudaratkan solat makmum. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 يُصَلُّونَ لَكُمْ، فَإِنْ أَصَابُوا فَلَكُمْ، وَإِنْ أَخْطَئُوا فَلَكُمْ وَعَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Para imam solat mengimamkan kamu; jika mereka betul maka mereka dan kamu sama-sama memperolehi pahala, dan jika mereka salah maka kamu tetap mendapat pahala sedangkan mereka mendapat dosa.”

Riwayat al-Bukhari (694)

Ibn Hajar al-Asqalani dalam syarahnya menukilkan kata-kata Imam Ibn al-Mundzir: “Hadith ini menjawab bagi orang yang menyangka bahawa solat imam apabila rosak, maka akan rosak solat orang di belakangnya,” (Lihat Fath al-Bari, 2/188)

Selain itu, diriwayatkan daripada Abu Bakrah R.A, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ فِي صَلَاةِ الْفَجْرِ فَأَوْمَأَ بِيَدِهِ أَنْ مَكَانَكُمْ ثُمَّ جَاءَ وَرَأْسُهُ يَقْطُرُ فَصَلَّى بِهِمْ فَلَمَّا قَضَى الصَّلَاةَ قَالَ إنَّمَا أَنَا بَشَرٌ وَإِنِّي كُنْتُ جُنُبًا

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW telah masuk ke dalam solat Subuh, kemudian baginda memberi isyarat dengan tangannya, “kalian tunggu di tempat kalian”, kemudian baginda kembali dengan keadaan kepalanya ada air menitik, lalu baginda solat bersama mereka.” Setelah solat baginda bersabda: “Sesungguhnya aku hanyalah manusia, dan tadi aku berjunub.”

Riwayat Abu Dawud (234) dan Ahmad (20420). Imam al-Nawawi mengatakan hadis ini sanadnya sahih dengan lafaz ini.

Imam al-Nawawi berkata: “Jika seseorang makmum itu tidak mengetahui (keadaan imamnya yang berhadas) sehingga selesai salam daripada solat itu, nescaya memadai (atau sah) solat itu… sama ada imam itu mengetahui tentang dirinya sendiri atau tidak, kerana tidak berlaku kecuaian daripada pihak makmum pada kedua-dua keadaan. Inilah pendapat mazhab dan diputuskan jua oleh Jumhur (ulama).

Tentang pendapat-pendapat ulama berkenaan hukum solat di belakang orang yang berhadas dan berjunub dalam keadaan tidak mengetahui hal hadasnya; telah kami sebutkan sebelum ini bahawa mazhab kami (Syafie) bahawa sah solat makmum, dan ini yang diceritakan oleh Ibn al-Mundzir daripada Umar al-Khattab, Uthman, Ali, Ibn Umar, al-Hasan al-Basri, Said bin Jubair, al-Nakhaie, al-Auzaie, Ahmad, Sulaiman bin Harm, Abu Thaur dan al-Muzani.

Manakala satu riwayat lain daripada Ali, Ibn Sirin, al-Sya`bi, Abu Hanifah dan para ashabnya bahawa wajib mengulang kembali solat, dan ini juga pendapat Hammad bin Abi Sulaiman (Guru Abu Hanifah). Malik berkata bahawa jika imam itu sengaja solat dalam keadaan mengetahui dia berhadas maka dia adalah seorang yang fasiq (berdosa) maka wajib ke atas makmum untuk mengulangi solat berdasarkan mazhabnya (Maliki), adapun jika tidak sengaja maka tidak perlu.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/256-260):

Syeikh Muhammad al-Zuhali berkata: “Tidak diharuskan untuk solat di belakang orang yang berhadas, yang diketahui kehadasannya, kerana dia bukan daripada orang yang boleh solat. Jika seseorang itu solat di belakang orang yang berhadas, sedangkan dia mengetahui status kehadasan orang itu maka makmum itu berdosa dan solatnya batal. Berbeza dengan orang yang jahil terhadap status hadas itu, maka tidak wajib untuk diulangi solat bagi solat selain solat Jumaat, dan wajib diulang jika berlaku pada solat Jumaat. Adapun jika diketahui (selepas solat) bahawa imam itu berjunub, atau berhadas, atau menanggung najis yang tertutup dalam bajunya, atau badannya, maka tidak wajib diulangi oleh makmum akan solat, kerana bukan daripada kelalaian. Adapun jika najis itu terzahir dan dia tetap mengikut orang itu maka wajib ulang semula solat.” (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/416)

Justeru, makmum yang mengetahui imam berhadas ketika menunaikan solat tetapi masih solat di belakang imam tersebut, maka makmum itu berdosa dan solatnya batal serta perlu diulang, manakala makmum yang tidak mengetahui imam berhadas sebelum atau semasa solat, kemudian hanya diberitahu selepas solat, maka tidak wajib ke atas makmum berkenaan untuk mengulang kembali solatnya, sama ada imam terlupa atau sengaja, kerana kesilapan itu bukan berpunca daripada kelalaian makmum.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan sekiranya makmum berimamkan imam yang belum mandi wajib sedangkan makmum tidak mengetahui imam tersebut berada dalam keadaan berhadas besar, dan makmum mengetahui hal itu seminggu selepas kejadian tersebut, maka solat makmum tersebut adalah sah. Hal ini kerana makmum tersebut mengetahui hal itu setelah selesainya solat tersebut. Tetapi sekiranya makmum mengetahui hal tersebut ketika sedang solat, sekiranya makmum tersebut terus mengikuti imam tersebut, maka batallah solatnya.

Ibn Hajar al-Haitami berkata: Setiap perkara yang membatalkan solat dan tidak dapat diketahui ketika ia terjadi, seperti niat untuk memutuskan solat, maka ia, tidak mempengaruhi solat makmum. Hal ini berbeza dengan perkara yang dapat diketahui, walaupun terdapat alasan yang tertentu. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra 1/224)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri perbincangan ini dengan mengajak semua untuk berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahua`lam.

Bertarikh: 14 Jun 2023 bersamaan 24 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *