Soalan

Adakah terdapat iddah bagi lelaki?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Iddah dari sudut bahasa diambil daripada al-Adad, iaitu bilangan untuk disempurnakannya dari sudut penyucian ataupun bilangan bulan.

Dari sudut bahasa pula, nama bagi tempoh yang tertentu yang dilakukan oleh perempuan sebagai pengabdian kepada Allah SWT, ataupun berduka atas pemergian suami, ataupun sebagai penyucian rahim daripada benih suami. [1]

Iddah ialah suatu tempoh masa yang dilalui oleh seseorang perempuan selepas perceraian atau  kematian suami. Tujuannya untuk memastikan kekosongan rahimnya daripada mengandung dan tempohnya bergantung kepada berapa kali dia mengalami haid. Biasanya, tempoh iddah bagi wanita sesudah cerainya dengan bekas suaminya yang dahulu adalah tiga kali suci kitaran haid dan wanita yang telah kamatian suaminya, tempoh iddah adalah selama 4 bulan dan 10 hari.

Dalam tempoh iddah ini, bekas isteri diharamkan berkahwin dengan orang lain. Tujuan dikenakan iddah ialah bagi memastikan rahim wanita tersebut suci daripada sebarang janin bagi mengelakkan ketidakpastian nasab sebenar anak jika perkahwinan baru dengan lelaki lain berlaku. Dalam tempoh iddah, suami boleh rujuk Kembali dengan isteri selagi mana isteri berada dalam iddah raj’ie.

Dalil Berkaitan Dengan Iddah

  1. Iddah wanita yang masih didatangi haid, diceraikan semasa suami hidup: 3 Kali Suci. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلاثَةَ قُرُوءٍ

Maksudnya:Wanita-wanita yang ditalak handaklah menahan diri (menunggu) tiga kali suci”[2]

  1. Iddah bagi wanita yang masih didatangi haid yang kematian suami: 4 bulan 10 hari. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنْكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang mati di antara kamu serta meninggalkan isteri-isterinya hendaklah mereka (isteri-isteri) menunggu empat bulan sepuluh hari.”[3]

  1. Iddah bagi wanita hamil yang dicerai semasa suami hidup atau kematian suami: Selepas kelahiran anak. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَأُوْلَٰتُ ٱلْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh iddahnya ialah sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya.”[4]

Berdasarkan kepada nas al-Quran di atas, ia jelas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menetapkan kepada iddah bagi wanita sesuai dengan keadaannya selepas penceraian. Namun, bagi golongan lelaki pula mereka tidak mempunyai tempoh iddah sepertimana iddahnya wanita. Tetapi dalam hal-hal yang tertentu, lelaki juga mempunyai tempoh untuk dia tidak mengahwini wanita lain atau wujudnya penghalang untuk dia berkahwin. Dalam kitab ada menyebut bahawa ulama fiqh berpandangan bahawa iddah tidak wajib bagi lelaki.[5]

Berdasarkan persoalan di atas, pada asasnya lelaki tidak mempunyai iddah kerana iddah ini dikhususkan kepada perempuan. Namun begitu, terdapat dua keadaan yang mana lelaki terikat dengan iddah perempuan dan tidak boleh berkahwin dalam tempoh iddah tersebut:

  1. Masih mempunyai pertalian dalam keluarga isteri.

Seorang suami tidak boleh mengahwini ibu saudara isterinya atau kakak isterinya melainkan selepas habis iddah talak raj’ie[6] isterinya.

  1. Mempunyai empat orang Isteri

Apabila seorang lelaki mempunyai empat orang isteri telah menceraikan salah seorang isterinya maka dia tidak boleh berkahwin lagi melainkan selepas isteri yang dicerainya itu habis iddah talak raj’ie.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman  dalam memahami agama ini. Amin

Wallahua`lam.

Bertarikh 4 Januari 2022 bersamaan 1 Jamadil Akhir 1443 H

 

[1] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/157

[2] Surah al-Baqarah: 228

[3] Surah al-Baqarah: 234

[4] Surah at-Talaq: 4

[5] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/306

[6] Talak raj’i bermaksud talak yang boleh dirujuk kembali tanpa akad atau pernikahan baru selepas diceraikan oleh suami dengan syarat isterinya itu masih berada dalam tempoh iddah. Namun begitu, talak raj’i hanyasanya dikira jika ia merupakan talak yang pertama atau talak yang kedua sahaja yang tidak tamat daripada tempoh iddah.

-17%
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
-58%
RM50.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM5.00

Kajian Ilmiah

Fiqh Banjir

Rated 0 out of 5
RM5.00

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *