#182 Bayar Hutang Yang Telah Dihalalkan

Soalan

Apakah hukum membayar hutang yang telah dihalalkan?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Islam tidak melarang kita untuk berhutang, bahkan nas yang membicarakan berkaitan hutang piutang amat jelas sekali di dalam al-Quran. Ini memberi satu gambaran yang jelas bahawa Islam bahawa Islam adalah satu agama yang syumul dari semua aspek. Tuntutan untuk merekod hutang piutang adalah sunat di dalam agama Islam. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”

(Surah al-Baqarah: 282)

Ibn Kathir menerangkan, “Ayat ini merupakan panduan daripada Allah SWT kepada hambaNya yang mukmin untuk menulis atau merekod sekiranya bermuamalah dengan cara bertangguh (berhutang). (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/411).

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Ka’ab bin Malik RA:

أَنَّهُ تَقَاضَى ابْنَ أَبِى حَدْرَدٍ دَيْنًا كَانَ لَهُ عَلَيْهِ فِى الْمَسْجِدِ، فَارْتَفَعَتْ أَصْوَاتُهُمَا حَتَّى سَمِعَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِى بَيْتِهِ، فَخَرَجَ إِلَيْهِمَا حَتَّى كَشَفَ سِجْفَ حُجْرَتِهِ فَنَادَى: يَا كَعْبُ. قَالَ لَبَّيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: ضَعْ مِنْ دَيْنِكَ هَذَا. وَأَوْمَأَ إِلَيْهِ أَىِ الشَّطْرَ قَالَ لَقَدْ فَعَلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ: قُمْ فَاقْضِهِ

Maksudnya:Suatu ketika dia menuntut Abdullah bin Abu Hadrad supaya membayar hutangnya. Peristiwa ini berlaku di dalam masjid. Suara mereka riuh rendah hingga didengari oleh Rasulullah SAW walaupun Baginda ketika itu berada di dalam rumahnya. Lalu Rasulullah SAW keluar menemui mereka hingga terselak langsir bilik Baginda. Baginda memanggil Ka’ab bin Malik: “Wahai Ka’ab”, Ka’ab menjawab: “Ya, aku datang wahai Rasulullah”. Sambil mengisyaratkan dengan tangannya Baginda bersabda: “Rebatlah sebahagian”. Ka’ab membalas: “Ya, wahai Rasulullah”. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Bangunlah, bayarlah hutang itu kepadanya.”

Riwayat al-Bukhari (2563) dan Muslim (1558)

Hukum mengibra’kan atau melepaskan dan menggugurkan hutang adalah termasuk dalam konsep al-sulh sepertimana yang dibincangkan oleh syarak. Dan hukumnya adalah dibenarkan dan dibolehkan. (Lihat al-Fiqh Manhaji, 6/147).

Justeru, sekiranya pemberi hutang telah melepaskan tanggungjawab hutang daripada penerima hutang, maka penerima hutang tersebut dikira bebas dari melangsaikan hutang tersebut dan hutang tersebut telah dikira selesai. (Lihat al-Mu’tamad, 3/458).

Namun begitu, sekiranya pemberi hutang menafikan tentang ibra’ atau pembebasan hutang tersebut, maka pemberi hutang tersebut perlu mandatangkan bukti tentang pemberian hutang tersebut. Seterusnya, penerima hutang perlu bersumpah untuk berlepas diri dari dakwaan yang dikatakan kepadanya. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

الْبَيِّنَةَ عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِينَ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

Maksudnya: “Bukti ke atas orang yang mendakwa, sumpah ke atas orang yang mengingkari tuduhan ke atas dirinya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (21201). [1]

Imam Al-Nawawi dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata : Hadis ini merupakan satu kaedah yang besar daripada kaedah-kaedah hukum syarak. Padanya menunjukkan bahawa tidak diterima ucapan seseorang itu terhadap apa yang dia dakwa hanya semata-mata dengan dakwaan tersebut. Bahkan ia (dakwaan) berhajat kepada bukti, atau pengakuan kebenaran dari pihak orang yang didakwa. Sekiranya dituntut sumpah orang yang didakwa maka boleh untuk dia berbuat demikian (bersumpah). (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/12).

KESIMPULAN

Dalam isu ini, kami berpandangan bahawa peminjam tidak wajib dan terlepas dari kewajipan membayar balik hutang tersebut. Ini kerana kewajipan tersebut telah digugurkan sendiri oleh pemberi hutang tanpa ada apa-apa paksaan ke atasnya. Hal ini bertetapan dengan konsep al-sulh yang sememangnya terdapat dalam syariat Islam sendiri. Ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh berikut:

السَاقِطُ لاَ يَعُوْدُ

Maksudnya: “Perkara yang digugurkan (dilangsaikan) tidak akan kembali.”

Namun sekiranya dia ingin juga membayar walaupun telah dihalalkan hutangnya, ianya termasuk dalam perkara yang mulia. Dalam hal ini, kami cadangkan apabila amalan mengibra’ telah dijalankan, kedua-dua pihak yang bermuamalah perlu untuk mencatatkan apa-apa keputusan sebagai bukti berlakunya proses pembebasan hutang tersebut bagi mengelakkan apa-apa tuntutan pada hari yang mendatang.

Marilah kita amalkan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

[1] Ibn Hajar di dalam Bulugh al-Maram (421) menyatakan sanad hadith ini sahih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *