Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa maksud nama Allah yang disebut al-Kabir? Adakah al-Akbar merupakan salah satu nama Allah? Mohon penjelasan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Berkenaan persoalan di atas, adapun salah satu daripada nama-nama Allah itu adalah al-Kabir (الكَبِيْرُ). Allah SWT berfirman:

ذَٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ هُوَ الْحَقُّ وَأَنَّ مَا يَدْعُونَ مِن دُونِهِ هُوَ الْبَاطِلُ وَأَنَّ اللَّهَ هُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيرُ ‎

Maksudnya: Bersifatnya Allah dengan kekuasaan dan luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawasanya Allah, Dia lah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang mereka sembah selain dari Allah itulah yang nyata palsunya. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar (kekuasaanNya).

(Surah al-Hajj: 62)

Al-Tabari berkata: Maksud lafaz ‘الْكَبِيرُ’ (Yang Maha Besar) adalah, segala sesuatu berada di bawah Allah, dan tidak ada sesuatu yang lebih besar dari-Nya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 18/615)

Allah SWT turut berfirman:

‏ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ الْكَبِيرُ الْمُتَعَالِ

Maksudnya: “Dia lah yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah jua Yang Maha Besar, lagi maha Tinggi (Yang mengatasi segala-galanya).”

(Surah al-Ra’d: 9)

Ibn Kathir berkata: Dia lah Tuhan Yang Maha Besar, yang lebih besar daripada segala sesuatu, dan Dia-lah Yang Maha Tinggi di atas segala sesuatu.” (Lihar Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/76)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: ‘الْكَبِيرُ’ yakni Yang Maha Agung. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 7/122)

Dari sudut bahasa, al-Kabir (الكَبِيْرُ) ia dalam bentuk sighah mubalaghah (صِيْغَةُ المُبَالَغَةِ), iaitu bentuk yang menyatakan bersangatan atau berlebihan. Maksudnya, Allah memiliki kebesaran yang luar biasa pada Zat-Nya dan pada Sifat-Sifat-Nya. Al-Kabir (الكَبِيْرُ) juga membawa makna Allah memiliki kebesaran pada ketinggian dalam kedudukan-Nya.  (Lihat Asma’ Allah al-Husna – Jalaluha wa Thamaratuha, hlm. 166)

Syeikh al-Sa’di berkata: Al-Kabir (الكَبِيْرُ) ialah Tuhan yang memiliki kebesaran pada Zat-Nya, pada Sifat-Sifat-Nya. Dia Zat yang mempunyai kebesaran pada jiwa seluruh penghuni langit dan penghuni bumi. (Lihat Tafsir Asma’ Allah al-Husna, hlm. 242)

Syeikh al-Qahtani berkata: Al-Kabir (الكَبِيْرُ) adalah Allah SWT yang disifatkan dengan segala sifat kebesaran, keagungan, kehebatan. Dia Maha Besar daripada segala sesuatu, Maga Agung, Maha Tinggi mengatasi segala sesuatu. Dia Maha Agung dan Maha Mulia di dalam jiwa para wali-Nya dan dalam hati para insan pilihan-Nya. Hati mereka penuh dengan perasaan mengagungkan-Nya dan membesarkan-Nya, sambil tunduk dan patuh kepada keagungan-Nya. (Lihat Syarh Asma’ Allah al-Husna fi Dhau’i al-Kitab wa al-Sunnah, hlm. 55)

Antara kesan dan kebaikan bagi seseorang yang mentauhidkan Allah dengan Nama-Nya Al-Kabir (الكَبِيْرُ) ini ialah, dia akan sentiasa merendahkan dirinya ketika beribadah kepada Allah. Dia akan membuang segala sifat membesarkan diri kerana sifat itu sebenarnya hanya milik Allah SWT sendiri. Dia juga akan menyedari kekurangan dirinya walaupun dia seorang pemimpin yang dihormati dan disegani oleh orang ramai. Dia akan menerima nasihat dan teguran orang bawahannya dengan senang hati. Sekiranya kesombongan tiba-tiba muncul dalam dirinya, maka dia akan segera ingat bahawa sifat itu hanya Allah SWT sahaja yang layak menyandangnya. (Lihat al-Du’a bi al-Asma’ al-Husna, hlm. 168)

Berkenaan persoalan, adakah Akbar (الأَكْبَرُ) itu merupakan salah satu daripada nama Allah? Setakat pengetahuan kami, tidak terdapat nama Akbar (الأَكْبَرُ) disebut dalam al-Quran dan al-Sunnah sebagai nama Allah. Dan nama-nama Allah itu adalah bersifat taufiqiyyah (تَوْقِيْفِيَّة).

Imam al-Nawawi menyebut: “Sesungguhnya nama-nama Allah itu bersifat tauqifiyyah, iaitu tidak ditetapkan kecuali berdasarkan dalil-dalil sahih.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 7/188)

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply