Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah makmum turut disunatkan mengucapkan “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” ketika bangun dari rukuk untuk iktidal, atau berpada hanya dengan “الَّلهُمَّ رَبَّنَا وَلَكَ الحَمدُ”? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya kita hendaklah mendirikan solat sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Malik bin al-Huwairith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلُّوا كما رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya:Solatlah sepertimana kamu semua melihat aku solat.

Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)

Iktidal termasuk dalam salah satu rukun dalam solat. Manakala bacaannya pula adalah sunat di sisi jumhur ulama sebagaimana bacaan tasbih dan zikir-zikir lain. Bacaannya terdiri daripada Tasmi‘ iaitu ucapan, “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” dan tahmid iaitu ucapan, “رَبَّنَا وَلَكَ الحَمدُ”.

Perkara ini jelas dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya bahawa bacaan tasbih, seluruh zikir-zikir dalam rukuk dan sujud, ucapan “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ وَرَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ”, dan bertakbir pada selain takbiratul ihram, semua perkara tersebut adalah sunat dan bukannya wajib. Jika seseorang meninggalkannya (tidak membacanya), maka tidak berdosa dan solatnya masih dikira sah, tidak kira dia meninggalkannya dengan sengaja mahupun disebabkan terlupa. Akan tetapi dihukumkan sebagai makruh meninggalkannya secara sengaja. Inilah mazhab kami (mazhab Syafi‘i), Malik, Abu Hanifah dan jumhur ulama. Bahkan dalam perkara ini terdapat dua riwayat daripada Imam Ahmad, dan salah satunya beliau berpendapat ia adalah sunat sebagaimana pendapat jumhur ulama.

Imam al-Syafi‘i dan jumhur ulama berhujah berdasarkan kepada hadith al-Musi’ Salatahu (المُسِئُ صَلَاتَهُ). Hal ini kerana Nabi SAW telah mengajarkan kepadanya perkara-perkara wajib dalam solat dan tidak pula mengajarkan kepadanya zikir-zikir ini. Sedangkan Baginda mengajarkan kepadanya takbiratul ihram dan bacaan al-Fatihah. Jika zikir-zikir ini wajib, sudah tentu Baginda akan mengajarkannya kepada lelaki tersebut. Apatah lagi, zikir-zikir ini sudah tentu lebih patut atau utama untuk diajarkan jika ia adalah wajib kerana ia dibaca secara perlahan dan sembunyi. Jika rukuk dan sujud tidak diajarkan bersama dengan penampakan keduanya, maka ini adalah lebih utama. Adapun hadith-hadith yang menyebutkan tentang zikir-zikir ini, dapat difahami bahawa hukumnya adalah sunat berdasarkan kaedah menghimpunkan antara beberapa dalil. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/414-415).

Penjelasan lanjut berkenaan perkara ini bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: “Bacaan Rukuk dan Sujud; Wajib atau Sunat.

Sebelum kami menjawab soalan yang diajukan, para fuqaha telah bersepakat bahawa orang yang solat secara sendirian hendaklah menghimpunkan kedua-dua bacaan tersebut iaitu tasmi‘ dan tahmid. Maka, dia mengucapkan “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” ketika bangkit dari rukuk untuk iktidal, dan mengucapkan “رَبَّنَا وَلَكَ الحَمدُ” ketika sudah berdiri tegak. Kesepakatan ini telah dinukilkan oleh al-Tahawi dalam Syarh Ma‘ani al-Athar (1/240) dan Ibn ‘Abd al-Barr dalam al-Istizkar (2/178).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya para ulama telah berselisih pendapat dalam menentukan bacaan tasmi‘ atau “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” bagi makmum kepada dua pendapat:

Pendapat pertama menyatakan bahawa makmum hanya cukup dengan membaca tahmid sahaja iaitu “رَبَّنَا وَلَكَ الحَمدُ” dan tidak dituntut membaca “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ”. Ini adalah pendapat jumhur ulama dalam kalangan ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali. Menurut al-Suyuti, Abu Hanifah berpendapat bahawa imam dan orang yang solat bersendirian hanya mengucapkan tasmi‘, manakala makmum pula hanya mengucapkan tahmid. Ibn al-Munzir menukilkannya daripada Ibn Mas‘ud, Abu Hurairah, al-Sya‘bi, Malik, dan Ahmad serta inilah pendapat yang dipegangnya (Ibn al-Munzir). Manakala al-Thauri, al-Auza‘i, Abu Yusuf, Muhammad dan Ahmad pula menyatakan, imam menghimpunkan antara tasmi‘ dan tahmid, manakala makmum pula hanya cukup dengan tahmid sahaja. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 27/92-93; al-Hawi li al-Fatawi, 1/41).

Di antara dalil mereka ialah makmum apabila mendengar imam yang diikutinya dalam solat mengucapkan “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ”, maka janganlah dia turut mengucapkan “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ”. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا قَالَ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، فَقُولُوا: رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ

Maksudnya: Dijadikan imam itu untuk diikuti, apabila dia bertakbir, hendaklah kamu bertakbir, apabila dia rukuk, hendaklah kamu rukuk. Dan apabila dia membaca ‘سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ’ (Allah mendengar dan menerima pujian orang yang memuji-Nya), maka kamu bacalah ‘رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ’ (Wahai Tuhan kami, segala pujian untuk-Mu).

Riwayat al-Bukhari (734)

Syeikh Ibn al-‘Uthaimin menyatakan bahawa lafaz “فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا” dan lafaz “وَإِذَا قَالَ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، فَقُولُوا: رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ” jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW membezakan antara takbir dan tasmi‘. Dalam hal takbir kita menyebutkan sebagaimana yang imam sebutkan, manakala dalam hal tasmi‘ kita tidak menyebutkan sebagaimana yang imam sebutkan. Hal ini kerana Baginda SAW bersabda: “Apabila dia (imam) membaca ‘سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ’ maka kamu bacalah ‘رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ’.” Sama seperti sabdanya, apabila dia (imam) mengucapkan ‘سمع الله لمن حمده’ maka janganlah kamu (sebagai makmum) mengucapkan ‘سمع الله لمن حمده’, tetapi kamu ucapkanlah ‘ربنا ولك الحمد’ berdasarkan kepada konteks hadith. Konteks hadith menyatakan, ‘Apabila dia bertakbir, hendaklah kamu bertakbir.’ Jadi, sesiapa dalam kalangan ahli ilmu yang berpendapat, makmum mengucapkan, ‘سمع الله لمن حمده’ dan juga ‘ربنا ولك الحمد’, maka pendapatnya itu adalah dha‘if (lemah). Tidak ada seorangpun pendapatnya diterima dan ditolak secara mutlak sehinggalah ia dibandingkan kepada al-Quran dan al-Sunnah, dan kami apabila membandingkannya dengan sunnah, kami mendapati hasilnya (keputusannya) adalah sepertimana yang kamu dengar. (Lihat Liqa’ al-Bab al-Maftuh, 11/17)

Pendapat kedua menyatakan bahawa makmum dituntut atau disunatkan untuk menghimpunkan bacaan tasmi’ dan tahmid. Menurut al-Suyuti, mazhab Syafi’i berpendapat, orang yang mendirikan solat apabila mengangkat kepalanya (bangkit) dari rukuk hendaklah mengucapkan, “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ” ketika bangkitnya itu dan apabila sudah berdiri tegak dia mengucapkan, “رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ”. Disunatkan untuk menghimpunkan kedua-dua bacaan ini, bagi imam, makmum dan orang yang solat bersendirian. Ini juga merupakan pendapat ‘Ata’, Abu Burdah, Muhammad bin Sirin, Ishaq dan Daud. (Lihat al-Hawi li al-Fatawi, 1/41; al-Umm, 1/135).

Para ashab al-Syafi’i berhujah berkenaan hal tersebut berdasarkan beberapa hujah. Di antaranya:

Tidak ada hujah dalam hadith yang dijadikan sebagai dalil bagi mereka yang berpendapat makmum cukup dengan hanya tahmid kerana tidak ada di dalamnya apa yang menunjukkan kepada penafian. Sebaliknya di dalamnya hanya menyatakan ucapan makmum, “رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ” adalah selepas ucapan imam, “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ”. Hakikatnya apa yang berlaku adalah sebagaiman yang digambarkan kerana imam mengucapkan tasmi‘ semasa berpindahnya dia dari rukuk ke iktidal, manakala makmum pula mengucapkan tahmid dalam keadaannya sudah berdiri tegak untuk iktidal. Maka, oleh sebab itu, ucapan tahmidnya sejurus selepas ucapan imam sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith. Bandingan hal tersebut adalah (sebagaimana) sabda Nabi SAW:

إِذَا قَالَ الإِمَامُ:{غَيْرِ الـمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ} فَقُولُوا: آمِينَ

Maksudnya:Apabila imam (selesai) membaca (firman Allah SWT): ‘غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ’ (Dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat) [Surah al-Fatihah: 7] maka kamu ucaplah: ‘Amin.’

Riwayat al-Bukhari (782) dan Muslim (410)

Hadith di atas tidak menunjukkan suatu kemestian bahawa Imam tidak perlu mengucapkan ‘amin’ selepas membaca surah al-Fatihah kerana dalam hadith tersebut tidak menyatakan secara jelas bahawa Imam mengucapkan ‘amin’, seperti mana halnya hadith yang dijadikan sebagai hujah bagi mereka yang berpendapat dengan pendapat pertama juga tidak menyatakan secara jelas bahawa imam mengucapkan, “رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ”. Akan tetapi kedua-duanya ditunjukkan melalui dalil-dalil lain yang jelas, termasuklah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada riwayat Abu Hurairah R.A bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا قَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ. قَالَ: اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ

Maksudnya:Rasulullah SAW apabila Baginda mengucapkan: ‘سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ’. Baginda juga mengucapkan: ‘اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ’.”

Begitu juga Imam Muslim turut meriwayatkan hadith daripada Huzaifah R.A bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: حِينَ رَفَعَ رَأْسَهُ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ

Maksudnya:Nabi SAW ketika mengangkat kepalanya (bangkit dari rukuk) mengucapkan: ‘سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ’.”

Begitu juga Imam al-Bukhari turut meriwayatkan hadith seumpamanya daripada riwayat Ibn Umar, dan begitu juga Imam Muslim turut meriwayatkan hadith seumpamanya daripada riwayat Abdullah bin Abu Aufa. Justeru, sudah sabitlah melalui hadith-hadith ini bahawa Imam menghimpunkan bacaan tasmi‘ dan tahmid berbeza dengan zahir hadith yang dijadikan hujah bagi mereka yang berpendapat dengan pendapat yang pertama (iaitu makmum cuku dengan hanya mengucapkan tahmid sahaja). Maka, tidak tepat istidlal mereka dengan hadith tersebut (yang dijadikan hujah oleh mereka yang berpegang dengan pendapat pertama) bagi menyatakan bahawa Imam tidak menghimpunkan antara kedua-duanya (tasmi‘ dan tahmid). Jika istidlal mereka tidak tepat bagi hak imam, maka begitulah juga istidlal mereka bagi hak makmum.

Tambahan lagi, apabila sudah sabit bahawasanya hadith tersebut (yang dijadikan hujah oleh mereka yang berpegang dengan pendapat pertama) tidak menunjukkan bahawa Imam tidak menghimpunkan antara kedua zikir tersebut, dan begitu juga ia tidak menunjukkan bahawa makmum tidak menghimpunkan antara kedua zikir itu, sebaliknya sabit secara jelas bahawa imam menghimpunkan kedua-dua zikir itu berdasarkan kepada dalil-dalil yang lain. Maka, hal tersebut juga menunjukkan bahawa makmum turut menghimpunkan antara kedua-duanya. Hal ini kerana pada asalnya imam dan makmum adalah sama, dari sudut zikir-zikir dalam solat yang disunatkan seperti takbir-takbir intiqal, bacaan tasbih dalam rukuk dan sujud.

Selain itu, telah sabit dalam Sahih al-Bukhari, hadith daripada riwayat Malik bin al-Huwairith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلُّوا كما رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya:Solatlah sepertimana kamu semua melihat aku solat.

Riwayat al-Bukhari (6008)

Hadith di atas menunjukkan bahawa makmum menghimpunkan antara tasmi‘ dan tahmid kerana Baginda SAW memerintahkan para imam untuk mendirikan solat sebagaimana Baginda SAW solat. Hal ini bertepatan dengan hadith-hadith berkaitan bahawa apabila Baginda solat (ketika bangkit dari rukuk), Baginda mengucapkan: “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ”, maka semestinya setiap orang yang menunaikan solat perlu menyebutkannya, justeru berlakulah persamaan antara imam dengan makmum.

Seterusnya, al-Tahawi dan Ibn ‘Abd al-Barr telah menukilkan ijma‘ bahawa orang yang solat secara sendirian menghimpunkan antara kedua-duanya (tasmi‘ dan tahmid). Lalu al-Tahawi telah menjadikannya sebagai hujah bahawasanya imam juga menghimpunkan antara kedua-duanya, dan ia juga sesuai untuk dijadikan sebagai hujah yang menunjukkan makmum juga menghimpunkan antara tasmi‘ dan tahmid kerana secara asasnya pelaksanaan solat bagi ketiga-tiga kategori tersebut (iaitu imam, makmum dan orang yang solat bersendirian) adalah sama melainkan adanya pengecualian yang dinyatakan secara jelas. (Lihat al-Hawi li al-Fatawi, 1/41-42).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa makmum turut disunatkan untuk menghimpunkan kedua-duanya iaitu tasmi‘ dan tahmid sebagaimana imam dan orang yang solat bersendirian. Selain itu, bacaan tasmi‘ dan tahmid termasuk dalam perkara-perkara sunat hai’ah. Dengan melakukannya, dia mendapat ganjaran dan kelebihannya, namun jika dia meninggalkannya solatnya tidaklah dianggap terbatal mahupun dia perlu menggantikannya dengan sujud sahwi. Apatah lagi, ia juga merupakan pendapat muktamad dalam mazhab Syafi‘i yang merupakan mazhab pegangan majoriti di Malaysia.

Sekalipun begitu, perkara ini termasuk dalam perkara yang luas dan khilaf muktabar dalam kalangan ulama. Di sana ada dalam kalangan ulama yang berpendapat, makmum cukup dengan hanya mengucapkan tahmid sahaja. Maka, dalam hal ini terdapat kaedah fiqh menyebutkan:

لَا يُنْكَرُ الْمُخْتَلَفُ فِيهِ وَإِنَّمَا يُنْكَرُ الْمُجْمَعُ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Tidak perlu diingkari perkara yang menjadi khilaf (dalam kalangan ulama), tetapi yang perlu diingkari ialah perkara yang telah menjadi ijma‘ (dalam kalangan ulama).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 158).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *