#185 Jual Beli Haiwan Seperti Kucing

Soalan

Adakah dibenarkan menjual beli haiwan seperti kucing peliharaan?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya jual beli haiwan ini bergantung pada jenis binatang atau haiwan atau serangga tersebut. Jika ia bermanfaat kepada manusia, seperti haiwan ternakan daripada ayam, lembu dan seumpamanya, maka sah jual beli binatang yang bermanfaat seumpama ini.

Manakala, jika binatang itu tidak bawa manfaat atau faedah kepada manusia, seperti kucing hutan (kerana sifatnya yang liar), kumbang, kala jengking, ular, cacing, tikus, semut, anjing, khinzir dan lain-lain yang tidak berfaedah di sisi manusia (malah menimbulkan kerosakan seperti tikus dan khinzir), maka tidak sah jual beli binatang atau serangga seperti ini.

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji berkata: “Tidak sah menjual serangga berbisa atau haiwan yang tidak boleh dimanfaatkan. Tetapi, menjual harimau untuk tujuan memburu, gajah untuk tujuan peperangan, monyet untuk tujuan mengawal harta, lebah bertujuan mendapatkan madu dan seumpamanya, ia dibenarkan. Ia dibenarkan atas alasan semua binatang ini ada manfaatnya menurut adat dan dibenarkan oleh syarak.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/1299-1300).

Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ berkata:”Haiwan yang tidak bermanfaat (atau tidak berfaedah kepada manusia) tidak sah menjualnya, seperti kumbang, kala jengking, ular, cacing, tikus, semut dan serangga lain seumpamanya. Ashab telah berkata kami (ulamak Syafi’iyyah) : Tidak dilihat ia (haiwan-haiwan ini) sebagai bermanfaat, melainkan (jika ada pun) manfaatnya terlalu kecil.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/286).

Berdasarkan persoalan di atas, para ulama khilaf dalam masalah ini.

  • Pertama: Pendapat bahawa kucing ini haram dijualbeli secara mutlak berdasarkan hadith daripada Abu Zubair RA:

سَأَلْتُ جَابِرًا عَنْ ثَمَنِ الْكَلْبِ وَالسِّنَّوْرِ قَالَ زَجَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ

Maksudnya:Aku (Abu Zubair) bertanya kepada Jabir (seorang sahabat Nabi SAW) berkenaan jual beli anjing dan al-Sinnur (kucing). Dia menjawab bahawa Rasulullah SAW melarang perkara itu.”

Riwayat Muslim (1569)

Dalam hadith lain riwayat Jabir bin Abdullah R.Anhuma juga, katanya:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ثَمَنِ الْكَلْبِ وَالسِّنَّوْرِ

Maksudnya:Rasulullah SAW melarang makan duit hasil penjualan anjing dan kucing.”

Riwayat Abu Dawud (3479) dan al-Tirmizi (1279)

  • Kedua: Pendapat jumhur termasuk Mazhab Syafi’i membenarkan jual beli kucing jika kucing itu memiliki manfaat seperti menangkap tikus maka hukumnya ialah halal untuk dijual beli. Begitu juga jika ia merupakan haiwan liar, maka tidak dibenarkan. Ada juga yang mengatakan bahawa kucing ini diharamkan jual beli kerana pada awal Islam ia dianggap najis, kemudian setelah sabit daripada Rasulullah SAW bahawa kucing itu suci maka dibenarkan jual beli kucing.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa Nabi SAW melarang (sumber duit) dari hasil penjualan kucing. Beliau menukilkan kata-kata al-Qaffal: Yang dimaksudkan (larangan menjual kucing di dalam hadith ini) adalah merujuk kepada kucing liar, kerana (kucing liar) tidak bermanfaat sama ada memberikan hiburan (pada manusia) atau manfaat lainnya. Saya (Imam al-Nawawi) mengatakan : Bagi mazhab kami (al-Syafi’i), menjual kucing perumahan (jinak) adalah sah, ini telah dinaskan sendiri oleh Imam al-Syafi’i dan selainnya.” (Lihat Raudhah al-Talibin, 1/422).

Imam al-Nawawi menyatakan lagi di dalam al-Majmu’: “Menjual kucing perumahan (jinak) adalah harus (dibolehkan), pandangan ini tiada khilaf dalam kalangan kami (Syafi’iyyah), kecuali apa yang dibawakan oleh al-Baghawi di dalam kitabnya Syarh Mukhtasar al-Muzani, dari Ibn al-‘As, yang mengatakan bahawa (menjual kucing jinak) tidak diharuskan, namun pandangan ini syaz (ganjil), batil dan ditolak.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/229).

Di dalam Syarh Sahih Muslim, Imam al-Nawawi menyatakan: “Jika ia termasuk (haiwan) yang bermanfaat (atau beri faedah pada manusia), maka menjualnya adalah sah dan duit jualannya juga halal. Inilah pandangan mazhab kami (al-Syafi’i) dan mazhab kesemua ulamak, kecuali (satu pandangan) yang diriwayatkan oleh Ibn al-Munzir.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/420).

Tarjih

Kami menghormati perbezaan pandangan dalam hal ini. Walaupun begitu, kami lebih cenderung kepada hukum makruh perniagaan dan jual beli kucing berdasarkan larangan dalam nas dan menghormati pandangan ulama’ dalam hal ini.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *