Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum solat sunat tasbih secara berjemaah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

سَبِّحِ ٱسْمَ رَبِّكَ ٱلْأَعْلَى

Maksudnya: Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (daripada segala sifat-sifat kekurangan).”

(Surah al-A‘la: 1)

Sayyid Qutb menyebutkan dalam Tafsir Fi Zilal al-Quran (8/11-12) bahawa yang dimaksudkan dengan tasbih ialah memuji, menyanjung tinggi, membersihkan Allah SWT daripada segala sifat  yang kurang dan menghadirkan konsep sifat-sifat Allah Yang Maha Indah serta hidup di tengah-tengah pancaran cahaya pengertian-pengertiannya yang indah, jelas, berwarna warni dan menghayati citarasa dengan sepenuh hati dan perasaan. Tasbih bukan semata-mata mengulang-ngulangkan ucapan Subhanallah sahaja, malah ia merupakan satu ucapan yang melepaskan ke dalam hati suatu pengertian dan suatu keadaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata, tetapi dapat dirasa dan dikecapi oleh minda. Ia menyarankan hidup bersama pancaran pengertian-pengertian yang jelas dan berwarna warni yang terbit dari mengingati konsep-konsep nama-nama Allah.

Secara umumnya, para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum solat sunat tasbih. Ada dalam kalangan mereka berpendapat ia adalah disunatkan, dan ada juga yang berpendapat ia tidak disunatkan. Perselisihan mereka dalam perkara itu sebenarnya kembali kepada pendapat mereka berkenaan status hadith atau riwayat yang dijadikan sebagai sandaran dalam hal ini.

Hadith tersebut adalah sebagaimana riwayat daripada ‘Ikrimah, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda kepada Abbas bin Abdul Mutalib:

يَا عَبَّاسُ، يَا عَمَّاهُ، أَلَا أُعْطِيكَ، أَلَا أَمْنَحُكَ، أَلَا أَحْبُوكَ، أَلَا أَفْعَلُ لَكَ عَشْرَ خِصَالٍ، إِذَا أَنْتَ فَعَلْتَ ذَلِكَ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ ذَنْبَكَ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ، وَقَدِيمَهُ وَحَدِيثَهُ، وَخَطَأَهُ وَعَمْدَهُ، وَصَغِيرَهُ وَكَبِيرَهُ، وَسِرَّهُ وَعَلَانِيَتَهُ. عَشْرُ خِصَالٍ: أَنْ تُصَلِّيَ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ، تَقْرَأُ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَسُورَةٍ، فَإِذَا فَرَغْتَ مِنْ الْقِرَاءَةِ فِي أَوَّلِ رَكْعَةٍ قُلْتَ وَأَنْتَ قَائِمٌ: سُبْحَانَ اللَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، خَمْسَ عَشْرَةَ مَرَّةً، ثُمَّ تَرْكَعُ فَتَقُولُ وَأَنْتَ رَاكِعٌ عَشْرًا، ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنْ الرُّكُوعِ فَتَقُولُهَا عَشْرًا، ثُمَّ تَهْوِي سَاجِدًا فَتَقُولُهَا وَأَنْتَ سَاجِدٌ عَشْرًا، ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنْ السُّجُودِ فَتَقُولُهَا عَشْرًا، ثُمَّ تَسْجُدُ فَتَقُولُهَا عَشْرًا، ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنْ السُّجُودِ فَتَقُولُهَا عَشْرًا، فَذَلِكَ خَمْسَةٌ وَسَبْعُونَ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ، تَفْعَلُ فِي أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ، إِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ تُصَلِّيَهَا فِي كُلِّ يَوْمٍ مَرَّةً فَافْعَلْ، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَفِي كُلِّ جُمُعَةٍ مَرَّةً، فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي كُلِّ شَهْرٍ مَرَّةً، فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي عُمُرِكَ مَرَّةً 

Maksudnya:Wahai Abbas, wahai pakcik, adakah kamu suka aku berikan kepada kamu, adakah kamu suka aku akan anugerahkan kepada kamu, aku khususkan kepadamu, adakah kamu suka aku lakukan denganmu sepuluh perkara. Apabila kamu lakukannya nescaya Allah mengampunkan dosamu daripada awal dan akhir, lama dan baru, tersalah dan sengaja, kecil dan besar, rahsia dan terang-terangan. Itulah sepuluh perkara dengan cara kamu solat empat rakaat, membaca setiap rakaat dengan al-Fatihah dan surah. Apabila kamu selesai daripada bacaan pada awal rakaat maka hendaklah kamu menyebut ketika berdiri tasbih, tahmid, tahlil, dan takbir sebanyak lima belas kali, kemudian kamu rukuk dan menyebutnya dalam rukuk sebanyak sepuluh kali, kemudian kamu iktidal dan menyebutnya sepuluh kali, seterusnya kamu sujud dan menyebutnya sepuluh kali, selepas itu kamu mengangkat kepala dan menyebutnya sepuluh kali, kemudian kamu sujud dan bertasbih dalamnya sepuluh kali, seterusnya kamu angkat kepala dan menyebutnya sepuluh kali, dan demikian itu jumlahnya tujuh puluh lima kali pada setiap rakaat, kamu  lakukan yang demikian itu sebanyak empat rakaat, jika kamu mampu melakukan pada setiap hari, maka lakukanlah, jika kamu tidak mampu maka setiap seminggu sekali, dan jika kamu masih tidak mampu, maka setiap sebulan sekali, dan jika kamu tidak mampu maka sekali seumur hidupmu.

 Riwayat Abu Dawud (1297), Ibn Majah (1382)

Ramai dalam kalangan ulama yang mensahihkan hadith berkaitan solat sunat tasbih atau menilainya sebagai hasan. Jasim bin Sulaiman al-Dusari ada menukilkan dalam kitabnya al-Tanqih lima Ja’a fi Solah al-Tasbih berkenaan perkara ini.  Di antaranya al-Munziri menyebutkan dalam kitabnya al-Targhib bahawa diriwayatkan hadith ini daripada jalur yang banyak dan daripada sebahagian sahabat. Misalnya, hadith ‘Ikrimah ini, yang mana sebahagian ulama seperti Abu Bakar al-Ajurri, Abu Muhammad ‘Abd al-Rahim al-Misri dan al-Hafiz Abu al-Hasan al-Maqdisi. Abu Bakar bin Abu Daud menyatakan bahawa dia mendengar bapanya berkata: “Tidak ada hadith berkenaan solat tasbih yang sahih melainkan hadith ini.” Begitu juga Imam Muslim bin al-Hajjaj turut menyebutkan, tidak diriwayatkan berkenaan perkara ini suatu hadith yang sanadnya lebih baik daripada hadith ini yakni sanad hadith ‘Ikrimah daripada Ibn Abbas R.Anhuma.

Selain itu, al-Hakim dalam al-Mustadrak menilainya sebagai sahih sebagaimana katanya: “Di antara perkara yang menunjukkan kepada sahihnya hadith ini ialah pengamalannya oleh para imam dalam kalangan tabi‘ al-Tabi‘in sehinggalah ke zaman kita ini, mereka berterusan dengan amalan tersebut dan mengajarkan kepada orang ramai mengenainya. Di antara ulama tersebut ialah Abdullah bin al-Mubarak.” Begitu juga terdapat dalam kalangan ulama yang menguatkan hadith ini, seperti yang dilakukan oleh al-Hafiz al-Baihaqi sebagaimana dinukilkan daripadanya oleh al-Munziri dalam al-Targhib bahawa dia menyebutkan, Abdullah bin al-Mubarak melakukannya dan orang-orang soleh saling mewarisi dan mengetahui mengenainya di antara satu sama lain. Maka, padanya terdapat penguat bagi hadith marfu‘.

Selain daripada itu, al-Hafiz juga ada menukilkan dalam al-Talkhis daripada Abu Ali bin al-Sakan bahawa dia menilai hadith ini sebagai sahih. Begitu juga al-Dailami menyebutkan dalam Musnad al-Firdaus bahawa solat sunat tasbih merupakan solat sunat yang paling masyhur dan paling sahih sannadnya. Imam al-Nawawi ada menyebutkan dalam Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat bahawa hadith berkaitan solat sunat tasbih ada disebutkan dalam kitab al-Tirmizi dan selainnya, dan ia merupakan hadith hasan. Al-Mahamili dan pengarang al-Tatimmah serta selainnya daripada kalangan ulama mazhab Syafi‘i ada menyebutkan mengenainya, dan ia adalah sunnah hasanah. (Lihat al-Tanqih lima Ja’a fi Solah al-Tasbih, hlm. 64-66).

Begitu juga Abu al-Hasan al-Sindi menyebutkan dalam hasyiahnya ke atas sunan Ibn Majah bahawa ulama hadith berbahas panjang mengenai hadith ini dan pendapat yang sahih ia merupakan hadith yang thabit yang sewajarnya orang ramai beramal dengannya. (Lihat Hasyiah al-Sindi ‘ala Sunan Ibn Majah, 1/420). Selain itu, al-Zabidi dalam Syarh al-Ihya’ (3/473) turut mensahihkan hadith Ibn Abbas ini. Di samping itu, Muhammad al-Mubarakfuri juga ada menyebutkan, secara zahirnya menurut beliau hadith ini tidak kurang daripada darjat hasan. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 1/351).

Selain itu Ibn al-Solah turut menyatakan dalam fatwanya ketika ditanya tentang solat tasbih: “Ya, mereka akan mendapat pahala jika ikhlas melakukannya. Solat tersebut adalah sunat bukannya bidaah. Ia diriwayatkan daripada Rasulullah SAW. Ia merupakan hadith hasan yang dijadikan amalan dan pegangan khususnya berkaitan permasalahan ibadah dan kelebihan — yakni fadhail.” (Lihat Fatawa wa Masail Ibn al-Solah, 2/235)

Manakala, di antara ulama yang mendhaifkan hadith ini pula ialah Abu Isa al-Tirmizi menyebutkan bahawa telah diriwayatkan daripada Nabi SAW lebih daripada satu hadith berkenaan solat tasbih. Namun, tidak ada satu pun berkenaannya yang sahih. (Lihat Jami‘ al-Tirmizi, 1/299). Selain itu, Imam al-Nawawi juga telah mendhaifkan hadith tersebut. Beliau menyebutkan, di dalam keharusan (solat tasbih) tersebut ada pertikaian. Hal ini kerana hadith yang ada adalah hadith yang dhaif — lemah. Juga di dalam solat sunat tasbih berbeza dengan solat yang biasa dilakukan. Maka seharusnya tidak dilakukan dan hadith yang ada tidak thabit.” (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/54).

Begitu juga Ibn Qudamah menukilkan bahawa Imam Ahmad pernah ditanya berkenaan, adakah beliau melakukan solat sunat tasbih? Imam Ahmad menjawab: “Tidak sama sekali.” Bila mana ditanya kenapa, beliau menjawab: “Tiada satu pun dalam bab ini yang sahih,” dan kemudian Imam Ahmad menyilangkan tangannya, menunjukkan bahawa ia adalah mungkar. (Lihat al-Mughni, 2/551).

Maka dari sini, kita dapat melihat perbezaan para ulama dalam mensahihkan dan mendhaifkan hadith tersebut. Semestinya, perbezaan di dalam menghukum terhadap sesuatu hadith menatijahkan perbezaan berkenaan hukum melakukan solat tasbih itu sendiri dalam kalangan fuqaha. Bagi ulama yang berpendapat bahawa hadith tersebut adalah dhaif, maka mereka akan menyatakan bahawa solat tasbih tidak disunatkan. Manakala bagi mereka yang berpendapat atau menilai hadith tersebut sebagai sahih atau hasan pula, akan menyatakan mengenai keharusan solat tersebut.

Perbahasan lanjut berkenaan solat sunat tasbih, bolehlah merujuk kepada e-buku kami yang bertajuk: “Solat Sunat Tasbih.”[1]

Seterusnya berkenaan solat sunat tasbih yang dilakukan secara berjamaah pula, Ibn Qudamah menyebutkan, boleh untuk solat sunat secara berjamaah dan boleh juga secara bersendirian. Hal ini kerana Nabi SAW melakukan kedua-duanya — iaitu kadang-kadang berjamaah dan kadang-kadang bersendirian). Namun, kebanyakan solat sunat Baginda adalah secara bersendirian. (Lihat al-Mughni, 1/442).

Selain itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan, sesungguhnya solat-solat sunat itu tidak disyariatkan padanya untuk berjamaah, melainkan pada solat dua hari raya, solat gerhana, dan solat istisqa’. Demikian juga solat tarawih dan witir selepas tarawih. Sesungguhnya berjemaah di dalam semua solat tersebut adalah afdhal. Adapun baki-baki solat sunat yang lain seperti solat rawatib yang dilakukan bersama solat-solat fardhu, solat dhuha, dan juga solat-solat sunat yang mutlak, maka tidak disyariatkan pada semua solat sunat itu untuk berjemaah, iaitu tidak disunatkan. Akan tetapi jika seseorang melakukannya secara berjemaah maka ia adalah dibolehkan. Tidak dikatakan bahawa perbuatan tersebut makruh. Imam al-Syafi‘i telah menaskan dalam Mukhtasar al-Buwaiti dan Mukhtasar al-Rabi‘ bahawa tidak mengapa berjemaah dalam solat sunat. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/197).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa solat sunat tasbih adalah disunatkan. Bahkan al-Khatib al-Syirbini daripada kalangan mazhab Syafi‘i menyatakan, dapat difahami bahawa solat sunat tasbih adalah sunat yang muktamad seperti mana yang disebutkan oleh Ibn al-Salah dan selainnya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/224).

Selain itu, solat sunat tasbih boleh dilakukan secara berjemaah, namun sebaik-baiknya dan afdhal untuk ia dilakukan secara bersendirian seperti mana solat sunat rawatib, solat sunat dhuha dan solat sunat mutlak yang lain.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/product/solat-sunat-tasbih/

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *