#191: Zakat Batu Permata dan Wangian Anbar

Soalan

Berkenaan batu permata dan wangian anbar yang dikeluarkan dari laut, adakah dikenakan zakat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Harta galian dan harta purba bermaksud emas dan perak yang dikeluarkan daripada bumi. Emas dan perak yang dikeluarkan daripada bumi dan dibersihkan daripada benda-benda yang melekat dengannya dinamakan Ma’dan. Sementara emas dan perak yang tertanam di bumi sebelum kedatangan Islam dinamakan Rikaz.

Harta rikaz ialah harta yang didapati dari dalam bumi yang merupakan harta tinggalan orang-orang zaman jahiliyyah, tidak kira sama ada emas, perak dan lain-lain serta diketahui tanda-tandanya. Jika sekiranya berlaku keraguan terhadap harta tersebut, sama ada harta tersebut peninggalan jahiliyyah atau peninggalan orang lain, maka ditanggungkan harta itu kepada harta jahiliyyah.

Harta rikaz tidak disyaratkan cukup nisab, manakala lebihan harta itu setelah dikeluarkan zakatnya menjadi milik tuan punya tanah tersebut jika pemiliknya mengikut warisan atau ia yang mengusahakan tanah tersebut. (Lihat al-Fiqh ‘ala Mazahib al-Arba’ah oleh al-Jaziri, 1/556)

Nisab Ma’dan dan Rikaz

  • Ma’dan: Nisab Ma’dan adalah nisab emas dan perak tetapi ia tidak disyaratkan genap setahun. Malah zakatnya wajib sebaik-baik sahaja ia dikeluarkan apabila seorang mengeluarkan emas atau perak dari lombongnya dan ia mencapai nisab, dia wajib segera mengeluarkan zakatnya dengan kadar 1/40 bersamaan 2.5% daripada keseluruhan hasil yang didapatinya.
  • Rikaz: Nisab Rikaz juga sama seperti nisab emas dan perak, dan tidak disyaratkan melalui tempoh setahun malah wajib dikeluarkan zakatnya segera. Kadar zakat yang wajib dikeluarkan ialah 1/5 bersamaan dengan 20% daripada hasil keseluruhannya.  

(Lihat al-Fiqh ‘ala Mazahib al-Arba’ah oleh al-Jaziri, 1/556)

 

Isu Batu Permata dan Wangian Anbar

Abu Yusuf dalam kitab al-Kharaj (hlm. 31) berkata: Batu permata dan wangian anbar yang dikeluarkan dari laut hendaklah dibayar satu perlima sebagai zakat. Pendapat ini adalah daripada mazhab Ibn Umar. Alasannnya kerana laut adalah mirip dengan darat. Ia adalah bahagian dan bandingan bagi darat, kerana dunia ini terdiri daripada darat dan laut.

Menurut Ibn al-‘Arabi dalam Ahkam al-Quran (3/338): Barang berharga yang dikeluarkan daripada perut bumi wajib dibayar zakatnya sebanyak satu perlima. Kadar satu perlima itu diwajibkan kerana diqiyaskan kepada harta rikaz (harta yang ditanam oleh masyarakat jahiliyah dalam perut bumi), atau kerana ia adalah salah satu daripada dua jenis ciptaan Allah yang tersimpan di bumi. Oleh itu, adalah wajib dikeluarkan hak Allah tentang harta yang terdapat di dalam perut bumi. Asas persoalan ini ialah harta rikaz, yang kemudiannya dijadikan illat (persamaan sebab untuk qiyas) kepada harta yang diambil dari dalam laut.

Dalil yang digunakan oleh Ibn al-‘Arabi (beliau berpendapat wangian anbar yang diambil dari laut tidak dikenakan zakat) berdasarkan riwayat daripada Ibn Abbas, katanya:

لَا زَكَاةَ فِي الْعَنْبَرِ ، إنَّمَا هُوَ شَيْءٌ يَقْذِفُهُ الْبَحْرُ

Maksudnya: “Tidak dikenakan zakat pada wangian anbar. Anbar itu ialah sesuatu yang dicampakkan oleh laut.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (7843)[1] dan Ma’rifah al-Sunan wa al-Athar (2506). Imam al-Bukhari juga menukilkan kata-kata Ibn Abbas ini dalam Bab Ma Yustakhraj min al-Bahr (Bab Apa yang Dikeluarkan daripada Laut). (Lihat Sahih al-Bukhari, 2/129)[2]

Selain itu juga, anbar termasuk dalam faedah-faedah yang diperoleh dari laut. Oleh itu, tidak ada apa-apa hak yang wajib padanya, dengan diqiyaskan kepada ikan.

Inilah kefahaman fiqh yang sahih, kerana laut bukannya berada di tangan (milik) orang kafir sehingga membolehkan kita menganggap benda yang diambil di dalamnya sebagai harta ghanimah, tetapi ia termasuk dalam senarai benda yang diharuskan secara mutlak sebagaimana halnya binatang buruan.

Jika dikatakan: Apa pandangan anda tentang emas yang terdapat di dalam laut? Kami menjawab: Tidak ada riwayat yang menyatakan hukum tentang masalah ini. Ada kemungkinan untuk dikatakan emas itu wajib dikeluarkan zakat kerana laut bukannya tempat galian emas. Kewujudan emas di dalam laut menunjukkan bahawa air bah yang mencampakkannya ke dalam laut. (Lihat Ahkam al-Quran oleh Ibn al-‘Arabi, 3/338)

Sesetengah ulama’ Hanafi mengatakan: Ada kemungkinan benda yang diambil di dalam laut tidak dikenakan zakat, kerana di dalam laut terdapat bukit-bukit yang tidak sesiapa pun memilikinya.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5/1/2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443H

[1] Riwayat tersebut dengan lafaz: ‘لَيْسَ فِى الْعَنْبَرِ زَكَاةٌ إِنَّمَا هُوَ شَىْءٌ دَسَرَهُ الْبَحْرُ’

[2] Riwayat tersebut dengan lafaz: ‘لَيْسَ العَنْبَرُ بِرِكَازٍ هُوَ شَيْءٌ دَسَرَهُ البَحْرُ’

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *