Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah masyarakat Islam boleh menerima aliran Sufi atau Tasawuf?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Tidak syak lagi bahawa orang ramai berbeza pendapat mengenai ahli-ahli tasawuf. Mereka yang taksub mengenainya menyerlah kebaikan-kebaikan dan menyokong pandangan-pandangan mereka dalam segala segi untuk mempertahankan mereka walaupun salah. Malah dia tidak tergambar langsung untuk menjatuhkan hukuman terhadap mereka

Manakala orang yang terlalu anti tasawuf pula menghina ahli sufi dan mengeji setiap perkara yang dilakukan mereka, walaupun sesuatu yang dilakukan untuk dirinya sendiri. Dia mengumumkan yang tasawuf ini ialah mazhab yang dibawa masuk ke dalam Islam dan dicedok daripada agama Masehi, Buddha, Brahmanisme dan lain-lain.

Tetapi sebenarnya, tasawuf itu ada aspeknya yang Islamik dan tidak boleh dinafikan. Di dalamnya terdapat unsur-unsur asas Islam yang tidak tersembunyi. Ia terdapat dalam al-Quran, sunnah Nabi, sirah Rasul dan para sahabat yang zuhud seperti Saidina Umar, Ali, Abu al-Darda’, Salman, Abu Zar R.Anhum dan ramai lagi.

Sesiapa yang membaca al-Quran dan hadith akan menyedari kedua-duanya mengandungi peringatan yang berulang-ulang mengenai fitnah kehidupan dunia dan kemewahannya di samping panduan-panduan yang membimbing menuju Allah SWT dan akhirat. Juga menggerakkan hati untuk merindui syurga dan isi kandungannya yang penuh dengan keredhaan Allah dan peluang untuk melihat wajah-Nya yang mulia.

Terdapat juga unsur-unsur yang menakutkan dan menggerunkan kita kepada api neraka dan azabnya dari segi fizikal dan maknawi seperti yang terdapat dalam hadith tentang kasih Allah SWT terhadap hamba-Nya dan kasih mereka terhadap-Nya seperti dalam firman-Nya dalam surah al-Ma’idah, ayat 54:

يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ

Maksudnya: “Dia kasihkan mereka dan mereka kasihkan-Nya.”

Dan orang yang beriman itu lebih kuat kecintaannya terhadap Allah. Katakanlah olehmu, jika kamu cintakan Allah, hendaklah kamu mengikutku, nescaya Allah akan mengasihi kamu. Dan Allah mengasihi orang yang baik. Dan Allah mengasihi orang yang sabar. Sesungguhnya Allah kasihkan orang yang berperang di jalan-Nya dalam keadaan berbaris-baris.

Terdapat juga dalam al-Quran dan hadith, nas-nas yang banyak tentang soal zuhud, tawakal, taubat, syukur, sabar, yakin, takwa, muraqabah dan pelbagai lagi aspek agama. Tiada orang yang memberikan perhatian sewajarnya kepada perkara-perkara tersebut seperti mentafsir, bahawa ‘illah yakni mencari sebab terhadap sesuatu perkara, membuat pembahagian dan sepertinya selain daripada ahli tasawuf.

Oleh itu, mereka merupakan orang yang lebih mengetahui tentang soal keaiban diri, penyakit-penyakit hati dan teknik tipu daya syaitan. Mereka ialah orang yang paling banyak mengambil berat tentang hal ehwal jalan agama dan membimbing orang yang mahu mengikuti jalan agama.

Sudah berapa ramai orang yang menderhaka bertaubat melalui mereka dan berapa ramai pula orang kafir yang memeluk Islam melalui mereka. Namun tasawuf tidak berhenti setakat berfungsi dalam peringkat pertama sahaja iaitu sebagai akhlak agama dan erti ibadat yang ikhlas kepada Allah.

Tunggaknya ialah kemahuan (iradat) seperti yang dijelaskan oleh Ibn al-Qayyim, tetapi ia berpindah daripada sifatnya sebagai ilmu akhlak Islam kepada teori-teori yang berusaha untuk mencapai maksud al-Kasyf dan al-Faidh al-Ilahi. Al-Faidh al-Ilahi ialah pengurniaan Ilahi yang terlalu banyak terhadap hamba-Nya melalui penyucian jiwa (al-Kasyf – pembongkaran tentang sesuatu yang tersembunyi di sebalik alam zahir yang hanya dapat dikesan oleh mata halus).

Kemudian berlakulah pelbagai pemesongan dan penyelewengan sebagaimana yang dapat dilihat. Oleh itu, mustahil seorang itu dapat menafikan terdapatnya pengaruh luaran terhadap ilmu tasawuf. Kadang- kadang idea sesat ini boleh menghilangkan imej kesederhanaan dan pertengahan Islam dengan kekerasan dan melampau seperti dalam sistem kerahiban (mengasingkan diri di tempat ibadat untuk menjadi sami atau paderi) atau kepada kefanatikan seperti yang terdapat dalam agama Buddha.

Justeru, kami katakan aliran tasawuf yang menjunjung nas Ilahi dan hadyun nabawi serta memahami konsep ihsan yang sebenar sudah tentu berbeza dengan mereka yang jahil atau bertaqlid dengan cara yang tidak benar sehingga melakukan banyak perkara bertentangan dengan perintah Allah SWT dan Rasul-Nya. 

Kerana itulah, tasawuf yang sebenar yang menitikberatkan tentang tazkiyyah al-nufus serta akhlak yang tinggi lagi mulia di samping menghiasi diri dengan sifat-sifat yang mahmudah serta menjarakkan sifat-sifat yang mazmumah. Maka orang seperti ini sudah tentu mengikut neraca syariat yang sebenar.

Justeru, kami katakan amat wajar mereka yang cenderung kepada aliran tasawuf sentiasa mempelajari ilmu dan mendalaminya bukan semata-mata ilmu tasawuf tetapi ilmu-ilmu yang lain seperti fiqh, akidah, tafsir, hadith, sirah, sejarah yang sudah tentu dapat membentuk pemikiran yang baik. Seterusnya, berakhlak dengan akhlak dan sakhsiah yang unggul.

Kami syorkan agar sentiasa merujuk beberapa kitab seperti Ihya Ulumuddin, Minhaj al-Abidin, Hikam Ibnu Ata’illah, Taj al-Arus, Lata’if al-Minan, dan banyak lagi buku-buku yang bermanfaat untuk kita mendalaminya. Bahkan tidak pelik apabila kita melihat dalam sejarah ahli tasawuf pergi berjuang dan berjihad pada jalan Allah SWT seperti Fudhail bin Iyad, Abdullah ibn al-Mubarak, Silah ibn Asyam, Muhammad bin Wasi’ al-Uzdi, dan ramai tokoh lagi.

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kefahaman yang sebenarnya dan berpegang kepada kitabullah dan sunnah Rasulullah SAW. Di samping, mengambil mutiara hikmah dari ulama arifin. Amin. 

 

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *