Soalan:

Saya niat solat qasar. Ketika tahiyat, saya terlupa yang saya solat qasar, dan membaca tahiyat awal dan terus bangun seperti solat 4 rakaat. Apakah yang perlu saya buat? Adakah sah solat jika saya cukupkan 4 rakaat?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT memberikan keringanan (rukhsah) kepada orang yang bermusafir untuk mereka melaksanakan solat secara jamak dan qasar. Firman Allah SWT di dalam al-Quran:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.”

(Surah al-Nisa’: 101)

Menurut Imam al-Nawawi, ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut. (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Dalam hadith lain, daripada Ya’la bin Umayyah, katanya:

قُلْتُ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ (لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلاَةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا) فَقَدْ أَمِنَ النَّاسُ؟ فَقَالَ: عَجِبْتُ مِمَّا عَجِبْتَ مِنْهُ فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ ذَلِكَ. فَقَالَ: صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ

Maksudnya: Aku bertanya kepada Saidina Umar al-Khattab RA: Allah SWT berfirman dalam al-Qur’an: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir”, sedangkan sekarang manusia berada dalam keadaan aman. Umar RA menjawab: Aku juga berfikir perkara yang sama denganmu, maka aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentangnya, lalu Baginda bersabda: “Ia merupakan sedekah daripada Allah SWT untuk kamu, maka terimalah sedekah-Nya.”

Riwayat Muslim (686)

Menurut Imam al-Zarkasyi bahawa mengqasarkan solat (ketika musafir) adalah lebih afdhal berbanding solat secara penuh (tamam). (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id, 2/415 )

Menjawab bagi persoalan di atas, orang yang bermusafir apabila dia menunaikan solat isya dengan niat qasar  kemudian dia tidak sengaja bangun pada rakaat yang ketiga dan menyempurnakan rakaat tersebut maka hendaklah baginya melakukan sujud sahwi kerana dia telah melakukan penambahan dalam solat dan sekiranya dia mengingati kembali sebelum dia berdiri tegak pada rakaat yang ketiga maka dia perlu kembali ke posisi yang sebelumnya beserta sujud sahwi dan salam.

Diriwayatkan Al-Mughirah bin Syu’bah, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُم مِنَ الرّكْعَتَينِ فَلَمْ يَسْتَتِمَّ قَائِمًا فَلْيَجْلِسْ ، وَإِذَا اسْتَتَمَّ قَائِمًا فَلَا يَجْلِسْ ، وَيَسْجُدْ سَجْدَتَي السَّهْوِ

Maksudnya: Apabila salah seorang dari kamu bangun daripada dua rakaat, dan masih belum berdiri sempurna maka hendaklah dia duduk. Dan apabila telah berdiri dalam keadaan sempurna, janganlah dia duduk serta dia sujud sebanyak dua kali sujud sahwi.

Riwayat Ibn Majah (1208)

Riwayat di atas menunjukkan bahawa sekiranya seseorang itu terus bangun daripada tasyahud awal, sekiranya dia telah berdiri dalam keadaan sempurna, hendaklah dia teruskan dan jangan duduk semula. Sebaliknya dia perlu melakukan sujud sahwi.

Al-Nawawi  menyatakan sekiranya seseorang itu berniat qasar kemudian dia berdiri pada rakaat yang ketiga ,jika ia dilakukan disebabkan mengikut imam atau menjadi makmum kepada orang yang bermukim maka dia telah melakukan kewajipan. Sekiranya dia menambah rakaat solat tanpa ada sebab-sebab yang diharuskan maka terbatal lah solatnya tanpa ada perbezaan pendapat dari kalangan ulama kerana dia telah melakukan penambahan dalam solat dengan sengaja sepertimana orang yang bermukim menambah rakaat yang kelima dan orang yang menambah rakaat solat pada solat  sunat sebelum menukar niat. Orang  yang berniat qasar kemudian dia bangun pada rakaat ketiga tanpa sengaja kemudian dia mengingatinya maka dia perlu kembali ke posisi yang sebelumnya dan melakukan sujud sahwi serta  memberi sala. Selain itu, Jika dia menghendaki menyempurnakan solat empat rakaat maka dia perlu duduk kembali dan meneruskan baki rakaat (Lihat Raud al-talibin,1/395)

Justeru, kami katakan disini boleh mencukupkan solat tersebut  dengan 4 rakaat tetapi perlu  kembali pada rakaat sebelumya pada posisi duduk  kemudian barulah bangun dan teruskan baki rakaat.

Saya akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua’lam

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *