Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berkaitan dengan isu yang semakin hangat iaitu isu internship student. Dalam isu ini, segelintirnya majikan tidak membayar upah atau membayar upah yang tidak semisal dengan kerja yang diberikan. 

Dan saya tertarik dengan isu ini setelah membaca dari laman mufti Dr (BAYAN LINNAS SIRI KE-196: HAK PEKERJA DALAM ISLAM) . Soalan saya apakah hukum yang berkait dengan isu ini? Bolehkah Dr ulas berkenaan isu ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Yang pertama, kami mulakan dengan maksud pelajar intern atau internship student. Internship adalah latihan praktikal yang merupakan pengalaman pembelajaran profesional yang menawarkan kerja praktikal yang bermakna berkaitan dengan bidang pengajian atau minat kerjaya pelajar. Latihan praktikal ini memberi peluang kepada pelajar untuk penerokaan dan pembangunan kerjaya, dan untuk mempelajari kemahiran baharu. Kebiasaannya di Malaysia, pelajar-pelajar universiti awam mahu pun swasta akan menjalani latihan praktikal pada semester atau tahun terakhir pengajian mereka.

Menjawab persoalan di atas, benar sekali isu dalam Bayan Linnas Siri ke-196. Tetapi, sejujurnya itu kepada pekerja yang telah bekerja dengan adanya akad perjanjian dan terma yang telah ditetapkan. Maka, di sana akan lahirlah hak pekerja yang wajib ditunaikan oleh pihak majikannya.

Hal ini berdasarkan kepada beberapa hadith:

  • Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

أَعْطُوا الأَجِيرَ أَجْرَهُ ، قَبْلَ أَنْ يَجِفَّ عَرَقُهُ

Maksudnya: “Berikanlah upah pegawai (buruh), sebelum kering peluhnya.”

Riwayat Ibn Majah (2443), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (11988) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir (34)

Imam al-Munawi berkata: “Haram hukumnya menunda gaji pekerja sedangkan tidak ada kekangan untuk segera menyerahkannya. Perintah untuk menyerahkan gaji sebelum mengering peluh para pekerja adalah satu kiasan atas wajibnya menyegerakan setelah pekerjaan mereka selesai, ketika para pekerja memintanya meskipun belum sampai berpeluh, atau berpeluh dan telah kering.” (Lihat Faidh al-Qadir, 1/718)

  • Dalam satu hadith qudsi, Nabi SAW meriwayatkan bahawa Allah SWT berfirman:

ثَلاَثَةٌ أَنَا خَصْمُهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ… وَرَجُلٌ اسْتَأْجَرَ أَجِيرًا فَاسْتَوْفَى مِنْهُ وَلَمْ يُعْطِ أَجْرَهُ

Maksudnya: “Terdapat tiga golongan yang akan menjadi musuh-Ku pada hari Kiamat… (salah satunya ialah) orang yang mempekerjakan orang lain, namun setelah orang tersebut memenuhi tugasnya, upahnya tidak dibayarkan.”

Riwayat al-Bukhari (2227) dan Ibn Majah (2442)

  • Imam al-Subki dalam satu fatwanya menyebut:

ﻭﺍﻟﺮَّﺟُﻞُ ﺍﻟَّﺬِﻱ ﺍﺳْﺘَﺄْﺟَﺮَ ﺃَﺟِﻴﺮًﺍ ﻣُﺴْﺘَﻮْﻑٍ ﻋَﻤَﻠَﻪُ ﻭَﻟَﻢْ ﻳُﻌْﻄِﻪِ ﺃَﺟْﺮَﻩُ ﺑِﻤَﻨْﺰِﻟَﺔِ ﻣَﻦْ ﺍﺳْﺘَﻌْﺒَﺪَ ﺍﻟْﺤُﺮَّ ﻭَﻋَﻄَّﻠَﻪُ ﻋَﻦْ ﻛَﺜِﻴﺮٍ ﻣِﻦْ ﻧَﻮَﺍﻓِﻞِ ﺍﻟْﻌِﺒَﺎﺩَﺓِ ﻓَﻴُﺸَﺎﺑِﻪُ ﺍﻟَّﺬِﻱ ﺑَﺎﻉَ ﺣُﺮًّﺍ ﻓَﺄَﻛَﻞَ ﺛَﻤَﻨَﻪُ ﻓَﻠِﺬَﻟِﻚَ ﻋَﻈُﻢَ ﺫَﻧْﺒُﻪُ

Maksudnya: “Seseorang yang mengupah orang lain bekerja, kemudian orang tersebut telah menunaikan tugasnya dengan baik, namun dia tidak memberikan upahnya, adalah sama seperti orang yang menghambakan manusia merdeka. Dia menghalang orang lain untuk memperbanyakkan ibadah-ibadah sunnah. Maka ini sama sahaja dengan orang yang menjual manusia merdeka kemudian memakan hasilnya. Ini adalah dosa yang sangat besar.” (Lihat Fatawa al-Subki, 2/377)

Kembali kepada persoalan di atas, saya katakan hal ini berdasarkan kepada polisi sesebuah tempat termasuk jabatan kerajaan mahu pun swasta. Sebahagian tempat tidak memberi sebarang bayaran kepada internship students. Dan sebahagian tempat lain membayar sebagai saguhati, ada yang jumlahnya dianggap munasahah dan ada juga bersifat minima mungkin RM200-RM300 atau lebih sedikit. Ini bergantung kepada perjanjian dan polisi seperti mana yang saya nyatakan.

Di sini terdapat beberapa perbezaan di antara pekerja tetap dengan internship student. Antaranya:

  • Pekerja bersifat tetap sedangkan internship student bersifat sementara 2-3 bulan atau 6-8 bulan. Itulah kebiasaannya.
  • Pekerja bertanggungjawab kepada majikannya secara langsung sedangkan internship student lebih kepada skil serta pelaksanaan tanggungjawab yang ditaklifkan yang memerlukan perakuan dari pihak universiti seperti pensyarah atau penyelia yang dilantik.
  • Pekerja biasanya difokuskan kepada bidang dan kepakaran yang tertentu, sedangkan internship student kebiasaannya lebih bersifat melalui beberapa bidang-bidang dalam tempoh yang terhad. Ia lebih kepada bersifat untuk memperkenalkan kepada pelajar bagaimana bentuk peluang pekerjaan dan bidang-bidang yang terdapat padanya. 
  • Pekerja biasanya mempunyai kursus serta beberapa kriteria dan kelayakan sehingga majikan boleh memilih dan memperakukan kemampuannya untuk bekerja di bawahnya. Sedangkan sifat intership student lebih kepada untuk melengkapkan tugasan latihan industri dari pihak universiti. Biasanya pada tahun akhir dan semester akhir. 
  • Kadang-kadang sesebuah tempat kurang memerlukan kepada internship student tetapi oleh kerana meraikan hak universiti dan internship student maka diterimaya dan terpaksalah direkakan tugas mengikut kesesuaian pelajar tersebut. 

Berdasarkan beberapa perbandingan di atas dan mungkin banyak lagi, saya katakan bahawa keadaan internship student dan kehendak majikan di samping polisinya yang telah ditetapkan perlulah diambil kira. Apa yang diperintahkan semasa latihan industri lebih kepada sifat untuk memahirkan dan memberi peluang dan ruang pelajar apabila satu hari nanti dia berada di tempat tersebut secara sebenarnya.

Justeru, saya kembali kepada terma dan polisi dan saya katakan bahawa ia perlu diraikan sebelum seseorang pelajar dan internship student menyanggupi untuk mengadakan latihan industri di tempat tersebut. 

Nabi SAW bersabda:

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

Maksudnya: “Umat Islam wajib mematuhi persyaratan yang telah mereka sepakati.”

Riwayat Abu Daud (3594), al-Tirmizi (1352), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (11761), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (30) dan al-Daraqutni (96).

Syeikh al-‘Azim Abadi ketika mensyarahkan hadis ini, berkata: “Iaitu mereka tetap (dengan perjanjian yang telah dilakukan) dan tidak berpatah   balik.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 10/26)

Saat yang sama, saya berpesan kepada majikan agar memberi tugas kepada internship student mengikut kemampuannya. Hal ini berdasarkan nas:

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Zar R.A, Nabi SAW bersabda:

وَلاَ تُكَلِّفُوهُمْ مَا يَغْلِبُهُمْ، فَإِنْ كَلَّفْتُمُوهُمْ فَأَعِينُوهُمْ

Maksudnya: “Janganlah kamu membebankan mereka (hamba), dan jika kamu memberikan tugas kepada mereka, bantulah mereka.”

Riwayat al-Bukhari (30)

Imam Nawawi berkata: Ganti nama pada perkataan mereka adalah saudara-saudara kamu dengan maksud hamba yang kamu miliki dan diperintahkan memberi makan kepada mereka seperti apa yang dimakan oleh tuan mereka. Begitu juga memberi pakai mengikut pakaian tuan mereka dengan maksud sunat seperti itu, bukan satu kewajiban. Ini adalah dengan ijma’. Adapun yang dilakukan oleh Abu Zar dengan pakaian yang sama seperti hambanya, dengan maksud hukumnya sunat. Tetapi yang wajibnya kepada penghulu atau tuan memberi nafkah kepada hamba yang dimilikinya dan pakaiannya mengikut uruf sesebuah negeri dan seseorang itu. Secara umumnya, ijma’ ulama tidak harus mentaklifkan seseorang daripada amalan atau pekerjaan yang di luar kemampuannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 11/113)

Walaupun begitu, dengan menginsafi keperluan secara minimum, alangkah baiknya pihak majikan memberi saguhati kepada pelajar tersebut sebagai tanda ingatan dan keikhlasan di samping sumbangan dari pelajar tersebut. Ia sudah tentu akan membuahkan perasaan kegembiraan untuk pelajar dalam mengharungi kehidupan walaupun sementara di alam pekerjaan.

Setidak-tidaknya, minyak motosikal dan juga mampu untuk makan pagi atau tengah hari bagi mengalas perut ketika mana sedang berkhidmat dengan majikannya yang bersifat sementara itu. Semoga jawapan ini dapat melegakan semua pihak.

Akhir kalam marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ibn Majah (925)

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *