#2 Nama Sebenar Abu Hurairah R.A

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Siapakah nama sebenar Abu Hurairah R.A? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Maksudnya:Dan orang yang terdahulu — yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) daripada orang Muhajirin dan Ansar, dan orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”[1]

Lafaz “وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ” bermaksud mereka yang meneladani orang-orang yang pertama-tama memeluk Islam daripada kaum Muhajirin dan Ansar. Mereka ialah generasi setelah para sahabat dan generasi setelahnya lagi sehinggalah hari kiamat, jika meneladani mereka dengan baik dalam perbuatan dan ucapan.[2]

Sahabat Nabi SAW merupakan antara generasi yang terbaik kerana mereka hidup sezaman dengan Nabi SAW dan dididik sendiri oleh Baginda SAW, di samping melihat sendiri bagaimana wahyu diturunkan. Baginda SAW bersada:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

Maksudnya:Sebaik-baik manusia adalah kurunku. Kemudian kurun selepas daripada mereka dan kemudian kurun selepas daripada mereka.”[3]

Al-Nawawi menyebutkan bahawa para ulama telah bersepakat bahawa sebaik-baik kurun ialah kurun Nabi SAW yakni yang dimaksudkan ialah para sahabat Baginda SAW dan pendapat yang sahih di sisi jumhur ialah setiap Muslim yang melihat Nabi SAW sekalipun seketika, termasuk dalam kalangan sahabatnya.[4]

Nama Abu Hurairah al-Dausi R.A

Beliau ialah seorang imam, faqih, mujtahid dan sahabat Baginda SAW serta penghulu bagi sekalian huffaz.[5] Para ulama telah berbeza mengenai namanya dan nama bapanya dengan perbezaan yang sangat banyak.  Di antaranya ialah:[6]

  • ‘Abd al-Rahman bin Sakhr
  • ‘Abd al-Rahman bin Ghanm
  • Abdullah bin ‘A’iz
  • Abdullah bin ‘Amir
  • Abdullah bin ‘Amr
  • Sakin bin Wazamah
  • Sakin bin Hani’
  • Sakin bin Sakhr
  • Sakin bin Mal
  • ‘Amir bin ‘Abd Syams
  • ‘Amir bin ‘Umair
  • Barir bin ‘Isyriqah
  • ‘Abd Nahm
  • ‘Abd Syams
  • Ghanm
  • ‘Ubaid bin Ghanm
  • ‘Amr bin Ghanm
  • ‘Amr bin ‘Amir
  • Sa‘id bin al-Harith
  • ‘Abd bin Ghanm

Selain itu, dinukilkan daripada Hisyam bin al-Kalbi bahawa beliau ialah ‘Umair bin ‘Amir bin Zussyara bin Tarif bin ‘Ayyan bin Abu Sa‘b bin Hunayyah bin Sa‘d bin Tha‘labah bin Sulaim bin Fahm bin Ghanm bin Daus bin ‘Udthan bin Abdullah bin Zahran bin Ka‘b bin al-Harith bin Ka‘b bin Abdullah bin Malik bin Nasr bin al-Azd.

Nasab yang sama turut disebutkan oleh Khalifah bin Khayyat melainkan dia menyebut nama ‘Attab pada tempat ‘Ayyan dan nama Munabbih pada tempat Hunayyah. Dikatakan juga bahawa asalnya nama beliau semasa Jahiliyyah ialah ‘Abd Syams Abu al-Aswad. Kemudian Rasulullah SAW menamakannya dengan nama Abdullah dan memberinya nama julukan — yakni kuniyah — sebagai Abu Hurairah.[7]

Di samping itu, dinukilkan daripada al-Nawawi bahawa nama Abu Hurairah ialah ‘Abd al-Rahman bin Sakhr berdasarkan pendapat yang paling sahih daripada 30 pendapat.[8]

Setelah menukilkan pendapat-pendapat ulama mengenai nama Abu Hurairah, Ibn Hajar al-‘Asqalani ada membuat kesimpulan bahawa sekiranya diteliti dengan mendalam pendapat-pendapat itu, maka sebenarnya ia tidak lebih daripada sepuluh pendapat. Begitu juga jika dihimpunkan semua pendapat itu dari sudut kesahihan periwayatannya, maka ia terbahagi kepada tiga pendapat iaitu ‘Umair, Abdullah dan ‘Abd al-Rahman. Dua nama yang awal — iaitu ‘Umair dan Abdullah — ada kemungkinan namanya semasa Jahiliyyah dan Islam, manakala nama ‘Abd al-Rahman pula adalah khusus semasa beliau dalam Islam.[9]

Selain daripada itu, Burhanuddin al-Abnasi ada menyebutkan daripada Ibn ‘Abd al-Bar bahawa terdapat lebih kurang 20 pendapat mengenai nama Abu Hurairah dan nama bapa beliau. Namun, disebabkan oleh banyaknya berlaku kekeliruan dalam riwayat-riwayat tersebut, maka tidak ada satu pun riwayat sahih yang boleh untuk dipegang melainkan pada nama Abdullah dan ‘Abd al-Rahman, yang mana hati berasa senang bahawa itulah namanya ketika dalam Islam.

Tambahan pula, Muhammad bin Ishaq juga berpendapat bahawa nama Abu Hurairah ialah ‘Abd al-Rahman bin Sakhr dan menurut beliau lagi, inilah nama yang dipegang oleh sebahagian ulama yang menulis berkaitan nama-nama dan kuniyah. Selain itu, Abu Ahmad al-Hakim juga jelas menyebutkan bahawa pendapat yang sahih di sisi beliau mengenai nama Abu Hurairah ialah ‘Abd al-Rahman al-Sakhr.[10] Al-Zahabi juga merajihkan pendapat yang menyatakan bahawa nama beliau ialah ‘Abd al-Rahman al-Sakhr.[11]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa nama beliau ialah ‘Abd al-Rahman bin Sakhr sebagaimana yang dipegang dan dirajihkan juga oleh al-Zahabi, Abu Ahmad al-Hakim dan al-Nawawi. Beliau — yakni Abu Hurairah R.A — termasuk dalam kalangan sahabat yang selalu melazimi Baginda SAW, imam, faqih, mujtahid dan penghulu bagi sekalian huffaz.

Semoga Allah SWT menjadikan kita semua termasuk dalam kalangan mereka yang mencintai Nabi SAW, ahli keluarga Baginda dan para sahabat Baginda. Seterusnya, menghimpunkan kita semua di hari akhirat kelak. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 13 Januari 2022 bersamaan 10 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Taubah: 100

[2] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 259.

[3] Riwayat al-Bukhari (3651); Muslim (2533)

[4] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/84-85.

[5] Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/578.

[6] Lihat Tahzib al-Kamal, 34/366; Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/578.

[7] Lihat Tahzib al-Kamal, 34/366; Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/578.

[8] Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 7/351.

[9] Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 7/352.

[10] Lihat al-Syaza al-Fayyah min ‘Ulum Ibn al-Solah oleh Burhanuddin al-Abnasi, 2/600.

[11] Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/578.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *