Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah jenazah mati syahid disebabkan terlibat dalam peperangan terlepas siksaan dalam alam barzakh?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَقُولُوا لِمَن يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ أَمْوَاتٌ ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ وَلَـٰكِن لَّا تَشْعُرُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu ialah orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.”

Surah al-Baqarah (154)

Ayat di atas merupakan peringatan kepada orang yang beriman agar jangan mengatakan mereka yang telah terbunuh pada jalan Allah — kerana membela agama-Nya — ialah orang-orang yang mati — yakni tiada apa-apa nilai. Bahkan mereka itu ialah orang-orang yang hidup dengan keadaan hidup yang istimewa — yakni secara khusus — di dalam kubur-kubur mereka, yang mana tidak diketahui bagaimana hidupnya itu melainkan oleh Allah SWT. Akan tetapi kamu juga tidak dapat menyedarinya. Ini adalah dalil yang menunjukkan kepada wujudnya nikmat di dalam kubur. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 24.)

Pembahagian syahid

Riwayat daripada Jabir bin ‘Atik bahawa: 

أَنَّ عَبْدَ اللهِ بْنَ ثَابِتٍ لَمَّا مَاتَ قَالَتْ ابْنَتُهُ: وَاللهِ إِنْ كُنْتُ لَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ شَهِيدًا، أَمَا إِنَّكَ قَدْ كُنْتَ قَضَيْتَ جِهَازَكَ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ اللهَ قَدْ أَوْقَعَ أَجْرَهُ عَلَى قَدْرِ نِيَّتِهِ، وَمَا تَعُدُّونَ الشَّهَادَةَ؟ قَالُوا: قَتْلٌ فِي سَبِيلِ اللهِ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الشَّهَادَةُ سَبْعٌ سِوَى الْقَتْلِ فِي سَبِيلِ اللهِ الْمَطْعُونُ شَهِيدٌ، وَالْغَرِقُ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ ذَاتِ الْجَنْبِ شَهِيدٌ، وَالْمَبْطُونُ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ الْحَرِيقِ شَهِيدٌ، وَالَّذِي يَمُوتُ تَحْتَ الْهَدْمِ شَهِيدٌ، وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِجُمْعٍ شَهِيدَةٌ 

Maksudnya: “Abdullah bin Thabit ketika meninggal dunia, anak perempuannya berkata: ‘Demi Allah, aku sangat berharap engkau mati syahid. Adapun engkau telah mempersiapkan peralatan engkau (bagi menyediakan peralatan perang dan ekspedisi serta lain-lain).’ Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya Allah telah menjadikan pahalanya setimpal dengan apa yang diniatkannya, dan menurut kamu, siapakah orang yang dikira mati syahid itu?’ Mereka menjawab: ‘(Orang yang mati syahid itu) ialah orang yang terbunuh di jalan Allah.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Orang yang mati syahid yang selain terbunuh di jalan Allah ada tujuh orang, iaitu orang yang mati kerana taun adalah syahid, orang yang mati tenggelam (lemas) adalah syahid, orang yang mempunyai luka pada lambung lalu mati adalah syahid, orang yang mati kerana penyakit perut adalah syahid, orang yang mati dalam kebakaran adalah syahid, orang yang mati tertimpa runtuhan adalah syahid dan seorang wanita yang meninggal dunia sedangkan dia dalam keadaan mengandung adalah syahid.’”

Riwayat Ahmad (23753); riwayat Nasa’i dalam hadith yang panjang dengan sedikit perbezaan lafaz (1846); riwayat Ibn Majah dengan lafaz seumpamanya (2803); Syeikh Syu‘aib al-Arnaut dalam Takhrij al-Musnad (23753) menilainya sebagai sahih. Begitu juga al-Albani dalam Sahih Abi Daud (3111) menilainya sebagai sahih.

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa kesemua jenis kematian itu dianggap sebagai mati syahid disebabkan kelebihan kurniaan Allah SWT kepada mereka kerana dahsyatnya kesakitan dan kepedihan kematian tersebut yang ditanggung mereka.  (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 5/550).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan dalam kitabnya bahawa melalui hadith-hadith yang menyebutkan berkenaan orang-orang yang dikira syahid, kita dapat bahagikan mati syahid itu kepada dua kategori iaitu:

Syahid di akhirat dan syahid di dunia iaitu sesiapa yang gugur (terbunuh) di jalan Allah melawan orang-orang kafir (bagi menegakkan agama-Nya) ikhlas kerana Allah serta dalam keadaan mara ke hadapan dan bukannya berundur melarikan diri — daripada musuh.

Syahid di akhirat sahaja iaitu mereka yang diberikan pahala mati syahid, namun tidak terpakai ke atas mereka hukum syahid tersebut di dunia — yakni mereka masih lagi perlu dimandikan, disolatkan dan sebagainya. (Lihat Fath al-Bari, 6/55).

Walau bagaimanapun, Imam al-Nawawi menambah kategori yang ketiga iaitu mereka yang mati syahid di dunia tetapi tidak di akhirat. (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 5/550). Begitu juga, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan kategori ini di dalam kitabnya yang lain dan menyatakan, mereka ialah sesiapa yang gugur di dalam perang melawan orang-orang kafir — yakni bagi menegakkan agama-Nya — tetapi adanya halangan ke atas mereka seperti niat yang rosak dan ketika lari dari medan perang. (Lihat Bazl Al-Ma’un, hlm. 189).

Menjawab persoalan di atas, orang yang mati syahid dalam peperangan tidak akan dikenakan azab kubur. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قِيلَ ادْخُلِ الْجَنَّةَ ۖ قَالَ يَا لَيْتَ قَوْمِي يَعْلَمُونَ ‎﴿٢٦﴾‏ بِمَا غَفَرَ لِي رَبِّي وَجَعَلَنِي مِنَ الْمُكْرَمِينَ

Maksudnya: “(Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam Syurga”. Ia berkata; “Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui – “Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan.

Surah Yasin (26-27)

Nas ini dengan jelas menunjukkan orang yang mati syahid akan ditempatkan di dalam syurga.

Syu’bah menceritakan kepada kami daripada Jami’ Bin Syaddad. Beliau berkata :

سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ يَسَارٍ ، عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ صُرَدٍ ، وَخَالِدِ بْنِ عُرْفُطَةَ ، أَنَّهُمَا بَلَغَهُمَا أَنَّ رَجُلًا مَاتَ بِبَطْنٍ ، فَقَالَ أَحَدُهُمَا : أَلَمْ يَبْلُغْكُمْ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : مَنْ قَتَلَهُ بَطْنُهُ لَمْ يُعَذَّبْ فِي قَبْرِهِ. قَالَ الْآخَرُ : صَدَقْتَ وَقَالَ الْحَوْضِيُّ : بَلَى

Maksudnya: “Aku mendengar daripada Abdullah Bin Yasar daripada Sulaiman Bin Suradin dan Khalid Bin ‘Urfutah, kedua-duanya dimaklumkan bahawa ada seorang lelaki yang mati kerana sakit perut. Salah satunya berkata : Tidakkah sampai kepada kalian bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : Sesiapa yang dibunuh oleh perutnya (sakit perut) di tidak akan diazab di dalam kubur. Kata yang seorang lagi : Engkau benar. Al-Haudi berkata : Benar.”

Riwayat Ibnu Hibban (2933) di dalam sahihnya.

Kalaulah mati syahid seperti ini pun selamat dari azab kubur, sementelahan lagi mati syahid kerana menegakkan agamnya dalam peperangan yang berada pada kemuncak mati syahid. Maka, sejujurnya, insyaAllah mereka selamat daripada azab kubur. Wallahu a’lam.

Kami akhiri dengan sabda Nabi SAW :

مَن سَأَلَ اللَّهَ الشَّهادَةَ بصِدْقٍ، بَلَّغَهُ اللَّهُ مَنازِلَ الشُّهَداءِ، وإنْ ماتَ على فِراشِهِ

Maksudnya : “Sesiapa yang memohon kepada Allah SWT mati syahid dengan sebenar-benar pengharapan, Allah SWT akan mengurniakannya kedudukan para syuhada’ sekalipun dia mati di atas katilnya (tempat tidur).” 

Riwayat Muslim (1909)

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *