Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Baru-baru ini sekali lagi kita dikejutkan dengan pembakaran kitab suci al-Quran. Sementelahan lagi, ia berlaku pada Hari raya Aidiladha 1444 H. Apa sebenarnya yang kita patut lakukan Dato’ Seri?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami merasa amat dukacita atas apa yang berlaku tempoh hari. Secara peribadi saya telah membuat kenyataan rasmi membangkang atas tindakan biadab yang dilakukan oleh puak-puak yang tidak bertamadun bagi mencetuskan kemarahan umat Islam dan menaikkan semula Islamofobia. 

Dalam bahasa yang mudah mereka boleh melakukan apa sahaja terhadap Islam dan kita pula tidak boleh bertindak ke atas kebongkakan mereka. Ini sudah tentu menunjukkan betapa keji dan irinya hati-hati mereka terhadap Islam dan umat Islam. Hal ini mengingatkan kita kepada firman Allah SWT:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ إِنَّ هُدَى اللَّهِ هُوَ الْهُدَىٰ ۗ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم بَعْدَ الَّذِي جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللَّهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

Maksudnya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

(Surah al-Baqarah: 120)

Syeikh al-Sa`di berkata: “Allah Taala memberitahu kepada Rasul-Nya bahawa orang Yahudi dan Nasrani tidak redha kepadanya sehingga dia mengikuti agama mereka, kerana mereka mengajak kepada agama yang mereka anuti dengan anggapan itulah petunjuk.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 64)

Kami telah beberapa kali membuat kenyataan sejak menjawat jawatan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan lagi dalam isu penghinaan terhadap agama dan Islam dan ianya berterusan sehingga kini. 

Antara penghinaan yang berlaku sama ada kepada al-Quran, menghina Nabi SAW serta ajaran Islam dengan tuduhan yang tidak sebenar. Seolah-olah tindakan seperti ini tidak berkesudahan dan umat Islam pula berada pada titik yang paling lemah. Tetapi siri-siri penghinaan masih berlaku, ini menyebabkan peri pentingnya umat Islam bersatu-padu dalam mengangkat martabat al-Quran.

Terdapat beberapa cara dan contoh bagaimana mereka menghina al-Quran al-Karim, antaranya:

  • Memperolok dan tertawa ketika mendengar bacaan al-Quran.
  • Rasa hairan kenapa al-Quran tidak diturunkan kepada mereka.
  • Tuduhan al-Quran sebagai propaganda dengan penuh kedustaan serta kisah dongeng orang terdahulu.
  • Menunjukkan reaksi anggota tubuh bagi memperlekeh dan menghina al-Quran.
  • Membakar al-Quran di khalayak ramai sebagai bentuk penghinaan.
  • Memijak-mijak al-Quran di khalayak orang ramai.
  • Mencari titik lemah al-Quran dengan andaian bahawa ia adalah palsu, bertentangan dengan fakta sains dan menidakkannya daripada Allah SWT.

Sebahagian kenyataan kami ini boleh dirujuk dalam dapatan kajian yang bertajuk menghina Al-Quran dan Hukumnya oleh Prof Dr Mahmud al-Dausari.

Antara nas yang menunjukkan sikap mereka dengan penuh bongkak dan batil menuduh al-Quran sebagai reka cipta dan kebohongan jelas dipamerkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا إِنْ هَٰذَا إِلَّا إِفْكٌ افْتَرَاهُ وَأَعَانَهُ عَلَيْهِ قَوْمٌ آخَرُونَ ۖ فَقَدْ جَاءُوا ظُلْمًا وَزُورًا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang kafir itu berkata: “(Al-Quran) ini hanyalah satu perkara dusta yang direka-reka oleh Muhammad, dan ia dibantu membuatnya oleh kaum yang lain”. Maka (dengan kata-kata itu) sesungguhnya mereka telah mendatangkan satu tuduhan yang zalim dan dusta.

Surah al-Furqan (4)

Syeikh Ibnu ‘Asyur berkata, “Dan tujuan dari penghinaan yang kufur ini adalah bahawa al-Quran yang hanya dibuat-buat dan dikarang itu tidak terlepas dari dua hal iaitu; ia dibuat-buat sebahagiannya oleh Rasulullah SAW lalu sebahagiannya lagi beliau dibantu oleh orang lain.” (Lihat Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 19/13-14)

Kami berpendapat dalam isu seperti ini perlulah diambil beberapa langkah, antaranya:

  • Protes dan surat bantahan oleh pihak kerajaan kepada kedutaan negara tersebut.
  • Tunjuk rasa tidak puas hati atas sikap biadap yang dilakukan oleh warganegara tersebut betapa caknanya kita kepada agama terutamanya mensucikan al-Quran.
  • Cerdik pandai hendaklah menjawab tohmahan dan salah faham mereka yang menuduh al-Quran dengan semberono agar ianya dapat memberi kefahaman kepada mereka yang al-Quran bukan sebagai mana yang mereka dakwakan.

Sudah sampai masanya negara umat Islam di bawah gabungan Organisation of Islamic Cooperation (OIC) untuk membincangkan isu ini secara serius dan perlu mengadakan sidang tergempar untuk mengambil satu langkah dalam bentuk kebersamaan kerana sesungguhnya tindakan bersama akan menggerunkan musuh. 

Dan kesatuan yang wujud kepada umat Islam serta tindakan yang rapi dan tersusun atas nama Islam akan menjadikan musuh benar-benar gementar. Saya teringat ucapan Jamaluddin al-Afghani kepada umat Islam India dengan berkata, “Jika sekiranya Allah jadikan kamu lalat, maka cukup atas nama Islam, kamu bersatu, terbang menuju ke pulau England dan dapat memekakkan penduduk England dengan jumlah kamu yang ramai ini. Jika sekiranya Allah jadikan kamu kura-kura, cukup atas nama Islam, kamu bersatu, berenang menuju ke pulau England dan dapat menenggelamkan pulau England dengan jumlah kamu yang ramai ini.” (Lihat Khatirat Jamaliddin al-Afghani, hlm. 33)

Umat Islam perlu peka dan kasih pada agamanya. Antara bentuk pembelaan kepada agama melalui media massa moden yang boleh kita gunakan. Perlunya kebijaksanaan, hikmah, dan akal yang disertai dengan mantik yang tinggi untuk menangkis hujah musuh dan mempamerkan keunggulan agama Islam itu sendiri termasuklah ketika kita mahu membela al-Quran al-Karim.

Saya dapati al-Quran sarat dengan hujah pembelaan akan perangai msuuh-musuh Islam yang tidak mahu mempercayai al-Quran dan beriman dengannya. Firman Allah SWT:

وَمَا تَأْتِيهِم مِّنْ آيَةٍ مِّنْ آيَاتِ رَبِّهِمْ إِلَّا كَانُوا عَنْهَا مُعْرِضِينَ

Maksudnya: “Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka dari keterangan-keterangan tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).

Surah Yasin (46)

Golongan seperti ini apabila ditekan dan kita serius membela agama Islam, al-Quran al-Karim dan Rasul-Nya SAW, nescaya mereka akan berkata, kami hanya bergurau. Benarlah firman Allah SWT: 

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ ‎﴿٦٥﴾‏ لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ ۚ إِن نَّعْفُ عَن طَائِفَةٍ مِّنكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ

Maksudnya: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.

Surah al-Taubah (65-66)

Golongan seperti ini yang menghina al-Quran ketika menuju ke Tabuk apabila ditekan mereka memohon maaf seraya berkata, “Kami hanya bergurau dan bermain-main. Ini bertujuan unutk melepaskan lelah musafir kami dan kami sekali-kali tidak bermaksud demikian.” (Lihad Zad al-Masir, 3/465 dan Tafsir al-Jalalain, 1/251)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *