Soalan

Adakah saya sebagai arkitek dibenarkan untuk membuat reka bentuk tempat maksiat ataupun rumah ibadah bukan Islam?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Setiap perkara harus yang dilakukan oleh seorang Mukmin dengan unsur niat, ia bertukar menjadi ibadah. Menyentuh tentang pekerjaan ia adalah sebahagian daripada kehidupan. Justeru, kerja adalah ibadah apabila diniatkan semata-mata kerana Allah dengan penuh keikhlasan dan pengharapan daripada-Nya.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلَالَا اسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ ، وَسَعْيَا عَلَى أَهْلِهِ ، وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ ، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ

Maksudnya:Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465)

Dalam menjawab isu ini, kami perincikan persoalan di atas dengan beberapa perkara yang berikut:

Pertama: Hukum Berkerja Dengan Orang Bukan Islam

Dalam membahaskan isu ini, para fuqaha secara majoriti mengatakan hukumnya adalah dibolehkan. Kebanyakan mereka berdalilkan dengan sebuah hadis daripada Ali bin Abi Thalib R.A beliau berkata:

فَمَرَرْتُ بِيَهُودِيٍّ فِي مَالٍ لَهُ وَهُوَ يَسْقِي بِبَكَرَةٍ لَهُ فَاطَّلَعْتُ عَلَيْهِ مِنْ ثُلْمَةٍ فِي الْحَائِطِ فَقَالَ مَا لَكَ يَا أَعْرَابِيُّ هَلْ لَكَ فِي كُلِّ دَلْوٍ بِتَمْرَةٍ قُلْتُ نَعَمْ فَافْتَحِ الْبَابَ حَتَّى أَدْخُلَ فَفَتَحَ فَدَخَلْتُ فَأَعْطَانِي دَلْوَهُ فَكُلَّمَا نَزَعْتُ دَلْوًا أَعْطَانِي تَمْرَةً حَتَّى إِذَا امْتَلأَتْ كَفِّي أَرْسَلْتُ دَلْوَهُ وَقُلْتُ حَسْبِي فَأَكَلْتُهَا ثُمَّ جَرَعْتُ مِنَ الْمَاءِ فَشَرِبْتُ ثُمَّ جِئْتُ الْمَسْجِدَ فَوَجَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِيهِ

Maksudnya: ‘’Kemudian aku pun melepasi seorang yahudi pada harta miliknya dalam keadaan dia sedang mengambil air dengan penarik air miliknya. Maka aku pun melihat ke arahnya di sebalik pagar. Lalu dia berkata: ‘’Apa kena dengan kamu wahai orang arab ? Hendakkah kamu untuk mendapat satu biji tamar bagi setiap bekas (untuk menimba air)’’. Maka akupun berkata: ‘’Ya, bukakanlah pintu supaya aku dapat masuk’’. Beliau pun membuka pintu dan aku memasukinya, lalu beliau memberikan kepadaku timba tersebut. Setiap kali aku lepaskan timba itu (keluarkan air) beliaupun memberikan kepadaku sebiji tamar. Sehinggalah telah penuh kantungku aku pun melepaskan timbanya dan aku mengatakan: Memadailah buatku, maka aku pun memakannya. Kemudian akupun mengeluarkan air itu dan meminumnya, dan aku pergi ke masjid lalu mendapati Rasulullah SAW berada di dalamnya’’.

Riwayat al-Tirmizi (2473)

Berdasarkan riwayat di atas, adalah dibolehkan untuk seorang muslim itu berkerja dengan orang bukan islam dan mendapat upah hasil perkhidmatan yang dia berikan.

Kedua: Hukum Membantu Orang Bukan Islam

Dalam isu seorang yang beragama Islam membantu orang yang bukan muslim, bantuan tersebut terbahagi kepada dua iaitu:

  1. Kebajikan sosial

Dalam isu kebajikan sosial, kita sebagai umat islam dituntut untuk berbuat kebajikan dengan mana-mana manusia tanpa mengira perbezaan agama, bangsa, keturunan, warna kulit, dan seumpamanya. Ini berdasarkan sebuah riwayat Abu Dzar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Maksudnya: Dan bergaullah kepada manusia dengan akhlak yang baik.

Riwayat al-Tirmizi (1987)

Kalimah manusia di dalam hadis dianggap sebagai lafaz umum yang meliputi keseluruhan manusia tanpa mengira siapa, dan termasuklah manusia itu orang kafir sendiri. Justeru, adalah wajib berbuat kebaikan dalam pergaulan seorang muslim dengan muslim.

Begitu juga firman Allah SWT yang menyebut:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: Allah tidak menghalang kamu terhadap golongan yang tidak memerangi kamu berkenaan agama dan mereka tidak mengeluarkan kamu dari tanahair kamu, dari kamu berbuat kebajikan kepada mereka dan berlaku adil kepada mereka. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

(Surah al-Mumtahanah: 8)

Dalam ayat ini, jelas menunjukkan bahawa hukum berbuat kebajikan kepada kumpulan bukan islam yang tidak memerangi umat islam adalah dibenarkan di sisi syarak.

Sebagai contoh, seorang muslim yang melihat orang bukan islam dalam keadaan lapar atau dahaga, maka dia dituntut untuk membantu orang bukan islam tersebut. Begitu juga sekiranya dilihat seorang bukan islam yang buta ingin melintas jalan, maka perlu untuk dia dibantu dalam keadaan ini. Inilah yang menzahirkan sifat bahawa agama Islam itu sebagai rahmat bagi keseluruhan alam.

  1. Pengibadatan Agama Lain Dan Maksiat

Dalam isu yang melibatkan amalan keagamaan agama lain, adalah tidak boleh untuk seorang yang beragama islam membantunya kerana ianya melibatkan syirik kepada Allah SWT. Ini jelas berdasarkan firman Allah S.W.T:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Janganlah kamu saling membantu di atas perkara dosa dan permusuhan.

(Surah Al-Ma’idah: 2)

Dalam hal ini, jelas menunjukkan bahawa Allah SWT mengharamkan bantuan dalam perkara-perkara dosa dan juga perkara yang melampaui batas yang telah Allah tetapkan.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami mengatakan bahawa hukum berkerja dengan syarikat yang diketuai oleh bukan islam adalah harus secara umumnya. Namun, jika pekerjaan tersebut bercampur dengan perbuatan yang haram seperti membantu mendatangkan kemudaratan kepada umat islam, memerah arak, membantu ke arah kesyirikan dan kemaksiatan, maka ia adalah dilarang dan ditegah.

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, kami mengatakan bahawa perbuatan tersebut hendaklah dielakkan. Ini kerana setiap wasilah untuk mencapai ke arah tujuan yang tidak baik adalah dianggap sebagai tidak baik juga. Ini seperti yang disebutkan dalam kaedah:

الْوَسَائِلُ لَهَا أَحْكَام الْمَقَاصِد

Maksudnya: Wasilah-wasilah mempunyai hukum yang sama dengan tujuan.

Justeru, melakukan reka bentuk (design) bagi tempat-tempat yang bertujuan untuk diadakan maksiat kepada Allah di dalamnya adalah suatu wasilah yang dilarang.

Kami mencadangkan agar saudara dapat berbincang dengan majikan secara berhikmah dan menjelaskan keadaan ini dengan sebaiknya agar mendapat keputusan yang terbaik di antara kedua belah pihak. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

Wallahua`lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *