Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, adakah benar Gautama Buddha itu seorang nabi?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Pertamanya, perbahasan mengenai isu ini timbul ekoran tafsiran surah al-Tin ayat 1 hingga 3 yang dibawakan oleh Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi di dalam tafsirnya Mahasin al-Ta’wil fi al-Quran al-Karim. Beberapa pendapat kontemporari yang dibawakannya mengindikasikan adanya simbol agama Buddha yang disebutkan di dalam kitab suci al-Quran. Penafsiran ini telah menimbulkan spekulasi dalam kalangan cendikiawan islam, terutamanya apabila ada pihak yang mengaitkan pengasas agama Buddha yang dikenali sebagai Siddhartha Gautama dengan Nabi Allah Zulkifli A.S.

Antara ulama’ Nusantara yang membahaskan pandangan ini di dalam tafsir mereka adalah Muhammad Quraish Shihab dan Prof. Dr. Haji Abdulmalik Abdulkarim Amrullah (HAMKA).

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami dahulukan pengenalan ringkas tentang individu utama yang menjadi perbincangan kita. Siddhartha Gautama atau lebih dikenali sebagai Gautama Buddha adalah seorang ahli fikir dari India dan juga pengasas agama Buddha yang lahir pada tahun 623 sebelum masihi. Dia dilahirkan di Kapilavastu (Kapil) yang terletak di negara Nepal. Dia merupakan anak kepada ketua kasta pahlawan Sakya dan dikenali sebagai Siddhartha pada masa mudanya, dan kemudiannya sebagai Sakyamuni, iaitu Orang Bijaksana Sakya. Gelaran Gautama Buddha sebenarnya merupakan kombinasi nama keluarganya ‘Gautama’ dengan perkataan ‘Buddha’, iaitu orang yang telah mencapai penerangan sempurna.[1]

Tafsir Ayat 1-3 Surah al-Tin dan Kaitannya dengan Agama Buddha

Allah SWT telah berfirman di dalam al-Quran:

وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ ‎﴿١﴾‏ وَطُورِ سِينِينَ ‎﴿٢﴾‏ وَهَٰذَا الْبَلَدِ الْأَمِينِ ‎﴿٣﴾‏

Maksudnya: “Demi buah Tin dan Zaitun, dan Gunung Tursina, Serta negeri (Makkah) yang aman ini.”

(Surah al-Tin: 1-3)

Syeikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi ketika menafsirkan ayat di atas, beliau membawakan pandangan kontemporari tentang maksud al-Tin (التِينِ). Mereka mengatakan bahawa ia merupakan nama pokok (Pokok Bodhi) bagi pengasas agama Buddha, yang mana ajaran dia akhirnya telah terpesong daripada kebenaran. Hal yang demikian kerana ajaran Buddha ini bukanlah secara bertulis, tetapi hanya dengan cara penyampaian melalui ucapan dan kata-kata sahaja, sama seperti hadith dan riwayat. Kemudian barulah ianya dicatit oleh para pengikutnya selepas mereka menerima apa yang dipelajari.

Pengasas agama ini dikenali sebagai Sakyamuni (سَكْيَامُونِي) atau Gautama (جُوتَامَا). Dia pada awalnya bersandar pada pokok buah tin yang sangat besar dan dikurniakan padanya wahyu di bawah pohon tersebut. Lalu Allah mengutuskannya menjadi seorang rasul, kemudian datang kepadanya syaitan untuk menyesatkannya akan tetapi dia tidak tertewas terhadap fitnah syaitan. Oleh sebab inilah pokok yang besar tersebut sangat dikenali dikalangan penganut agama Buddha, dan mereka menamakannya sebagai al-Tin al-Muqaddasah (Pokok Tin yang Suci) atau dikenali dalam bahasa mereka sebagai Ajapala Nigrodha. (Lihat Mahasin al-Ta’wil fi al-Quran al-Karim, 9/502)

Pokok Ajapala Nigrodha (Banyan Tree/Fig Tree) ini merupakan pokok buah tin yang besar, terletak di kota Gaya, di daerah Bihar, India.

Timbulnya persoalan, apakah perkaitan Gautama Buddha dengan Nabi Allah Zulkifli A.S?

Tempat kelahiran Gautama Buddha Kapilavastu (Kapil) disebutkan sebagai al-Kifl (الكِفْلُ) di dalam bahasa Arab. Oleh sebab itu, sebahagian pengkaji mengatakan bahawa Zulkifli (ذُو الْكِفْلِ) bermaksud The Man from Kifl, iaitu lelaki yang berasal daripada Kapil.[2] Ini merupakan pendapat Syeikh Ahmad Soorkati yang dinukilkan oleh Hamka di dalam tafsirnya. (Lihat Tafsir al-Azhar, 10/8049)

Berdasarkan kefahaman di atas, sebahagian mereka mengatakan bahawa nama Gautama Buddha disebutkan di dalam al-Quran sebagai Zulkifli. Sebagai mana di dalam firman Allah SWT:

وَإِسْمَاعِيلَ وَإِدْرِيسَ وَذَا الْكِفْلِ ۖ كُلٌّ مِّنَ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta Zul-Kifli; semuanya adalah dari orang-orang yang sabar.”

(Surah al-Anbiya’: 85)

Firman Allah SWT di dalam ayat yang lain:

وَاذْكُرْ إِسْمَاعِيلَ وَالْيَسَعَ وَذَا الْكِفْلِ ۖ وَكُلٌّ مِّنَ الْأَخْيَارِ

Maksudnya: “Dan (ingatkanlah peristiwa) Nabi lsmail, dan Nabi Alyasak, serta Nabi Zulkifli; dan mereka masing-masing adalah dari orang-orang yang sebaik-baiknya.”

(Surah Sad: 48)

Imam Ibn Kathir berkata: “Adapun Zulkifli (ذُو الْكِفْلِ) yang zahir di dalam nas, maka beliau tidaklah digandingkan bersama para nabi melainkan beliau sememangnya seorang Nabi. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/476)

Abu Hayyan al-Andalusi pula mengatakan bahawa majoriti ulama’ berpendapat Zulkifli adalah seorang nabi. (Lihat al-Bahr al-Muhit, 7/460)

Syeikh al-Maraghi pula mengatakan, Nabi Zulkifli A.S – digelar sebagai al-Kiflu yang bererti yang bertuah atau bertanggungjawab –, akan tetapi ulama’ berbeza pendapat dalam mengemukakan kisahnya. Ada yang menyebut bahawa beliau adalah seorang Nabi dan ini merupakan pandangan majoriti. Mereka berkata bahawa beliau adalah anak Nabi Ayyub A.S, diutuskan oleh Allah SWT sebagai nabi selepas kewafatan bapanya. Baginda diperintah oleh Allah SWT supaya menyeru manusia kepada mentauhidkan-Nya, kemudian Baginda bermukim di Syam sepanjang hayatnya.

Abu Musa al-Asy‘ari dan Mujahid berpendapat, Baginda bukanlah seorang nabi, bahkan hanya hamba yang soleh yang telah dilantik menjadi khalifah oleh Nabi Ilyasa’ A.S dengan syarat Baginda mampu berpuasa pada siang hari, mampu bangun pada waktu malam hari, dan tidak cepat marah. Lantas Baginda mengerjakan apa yang disyaratkan itu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4484)

Bagaimanapun, Hamka telah mengkritik pandangan mereka yang menganggap Gautama Buddha adalah Nabi Zulkifli A.S dengan mengatakan bahawa, berkemungkinan besar penafsir yang menafsirkan buah Tin di dalam al-Quran itu sebagai pokok Bodhi tempat Buddha bersemadi, belum mendalami benar-benar falsafah ajaran agama Buddha. Menurut kajian, Buddha itu lebih banyak mengajarkan falsafah bagi mendepani hidup ini, dan dia tidak menyentuh soal Ketuhanan. Lalu pengikut Buddha yang datang di selepas itu menurut gerak hati mereka dengan menuhankan Buddha itu sendiri. (Lihat Mahasin al-Ta’wil fi al-Quran al-Karim, 9/502)

Isu ini juga turut dibincangkan oleh ahli al-Lajnah al-Da’imah lil al-Buhuth wa al-Ifta’, mereka menyimpulkan bahawa Gautama Buddha bukanlah seorang nabi, bahkan dia seorang ahli falsafah yang bukan Islam, mengabdikan diri pada selain daripada agama samawi. Sesiapa yang mempercayai bahawa dia merupakan seorang nabi maka jatuh kufur. Pengikutnya telah ghuluw (melampaui batas) tentangnya, lalu mereka mempercayai ketuhanannya, menyembahnya dan bukan menyembah Allah, dan telah ramai umat manusia terdahulu dan kini yang memeluk ajarannya. (Lihat al-Lajnah al-Da’imah lil al-Buhuth wa al-Ifta’, 44/26)

Kesimpulan

Melihat kepada perbincangan di atas, dapat difahami bahawa terdapat sedikit persamaan antara Nabi Allah Zulkifli A.S dan pengasas agama Buddha, Siddhartha Gautama. Walau bagaimanapun, ini tidak melazimkan bahawa Zulkifli yang dimaksudkan di dalam surah al-Anbiya’ dan surah Sad merujuk kepadanya. Maka kami katakan, Gautama Buddha itu bukanlah Nabi Zulkifli A.S yang dimaksudkan di dalam al-Quran, akan tetapi kedua-dua mereka adalah insan yang berbeza.

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Gautama_Buddha. Diakses pada 4 Julai 2023.

[2] Lihat https://buddhism-guide.com/siddhartha-gautama/. Diakses pada 4 Julai 2023.

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *