Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah isteri qazaf suami dengan menuduh berzina?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Takrif Qazaf

Menurut kitab al-Fiqh al-Manhaji, qazaf (قذف) dari sudut bahasa membawa erti lontaran tuduhan. Dalam Mukhtar al-Sihah, qazaf (قذف) dengan menggunakan batu adalah melontar menggunakannya. Manakala dari sudut istilah, qazaf (قذف) adalah tuduhan berzina pada tempat celaan dan mengaibkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/427)

Manakala sebahagian ulama’ mendefinisikan qazaf (قذف) sebagai menuduh seseorang melakukan zina, liwat atau menafikan nasab.

 

Hukum Qazaf

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (3/427) menyebut: Haram ke atas seorang Muslim untuk menuduh saudara seislamnya dengn tuduhan melakukan perbuatan yang keji (الفاحشة) sama ada tuduhannya itu benar atau pun dusta dari pihak dirinya. 

Dalam keadaan dusta, sesungguhnya hal tersebut adalah suatu fitnah dan kezaliman dan pendustaan merupakan antara perkara haram yang paling keji. Manakala dalam keadaan tuduhan itu benar, seseorang itu membuka perkara yang tersembunyi serta mencemarkan maruah. 

Oleh yang demikian, Syarak menganggap perbuatan qazaf termasuk antara dosa-dosa besar. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ وَالسِّحْرُ وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَأَكْلُ الرِّبَا وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ

Maksudnya: Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Lalu para sahabat bertanya: Apakah perkara-perkara tersebut wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang Allah haramkan melainkan dengan adanya hak, makan riba, makan harta anak yatim, berpaling dari medan perang, dan menuduh wanita yang telah berkahwin yang beriman melakukan zina.

Riwayat al-Bukhari (2766) dan Muslim (89)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Imam al-Nasafi telah menyebut bahawa ayat tuduhan terhadap wanita dan juga ayat yang pertama menerangkan had qazaf sedangkan ayat yang kedua menerangkan qazaf termasuk dalam dosa besar. Ini kerana setiap perbuatan qazaf dijanjikan dengan balasan laknat atau azab atau dikenakan hukuman had. Justeru, ia (qazaf) termasuk dalam dosa besar. Inilah yang muktamad. Telah berlaku ijma’ bahawa hukum qazaf terhadap lelaki yang muhsan (yang memelihara maruah dan yang baik) sama seperti hukum qazaf terhadap wanita yang muhsanah (yang memelihara maruah dan yang baik). (Lihat Fath al-Bari, 12/181)

Bahkan perbuatan qazaf merupakan antara jenayah yang dikenakan hukuman hudud ke atasnya iaitu pelakunya disebat sebanyak 80 kali sebatan dan gugur penyaksiannya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya: Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamany”a; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.

Surah al-Nur (4)

Ibn al-Arabi berkata: Dua syarat pada yang dituduh daripadanya iaitu, bahawa dia menuduhnya dengan wati’ yang melazimi hukuman hadd sama ada zina atau liwat, atau menafikannya daripada ayahnya. (Lihat Ahkam al-Quran, 6/1)

Imam Ibnu Kathir di dalam menghuraikan ayat ini berkata bahawa maksud ‘al-Muhsonah’ ialah wanita yang merdeka, baligh dan terpelihara maruahnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/13) 

Menurut Imam al-Nawawi, para fuqaha telah bersepakat bahawa Qazaf berlaku sama ada yang dituduh itu perempuan atau pun lelaki. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 22/94)

 

Hikmah Pensyariatan Qazaf

Antara hikmah disyariatkan hukuman hudud terhadap perbuatan Qazaf adalah kerana Islam menggesa ke arah penjagaan maruah daripada perkara-perkara yang mencemar dan memburukkan maruah.

Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ menyebut bahawa pensyariatan hudud Qazaf adalah bagi memelihara masyarakat Islam dari terjebak ke lembah kehinaan akibat dari tuduh-menuduh dalam soal kelucahan dan begitu mudah mengungkapkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 22/94)

Bayangkan tanpa hukuman qazaf, sudah barang tentu dengan sewenang-wenangnya seseorang boleh menuduh seseorang yang lain sehingga mengaibkan maruah dan menjatuhkannya. Isu seperti ini amat sukar untuk dibuktikan atau disanggah oleh orang yang kena tuduh. Justeru, pada peringkat awal lagi, mereka diberi peringatan supaya tidak bermudah-mudahan dalam menuduh seseorang.

Isteri Qazaf Suami dengan Menuduh Berzina 

Al-Lajnah al-Da’imah pernah ditanya:

هَلْ يُعْتَبَرُ رَمْيُ الْمَرْأَةِ زَوْجَهَا بِالزِّنَا إِذا رَأَتْ مِنْهُ شَيئًا، وَإِذَا لَمْ تَثْبُتْ تُجْلَدُ أَمْ لَا؟

Maksudnya: “Adakah diambil kira tuduhan seorang wanita terhadap suaminya dengan berzina, jika dia melihat sesuatu daripadanya? Dan jika tidak terbukti, adakah dia disebat ataupun tidak?”

Lalu dijawab:

وُجُوبُ حَدِّ الْقَذْفِ عَامٌّ لِلرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ؛ لِعُمُومِ الْآيَةِ، وَلَا يُسْقِطُهُ عَنِ الزَّوْجَةِ إِلَّا الْعَفْوُ، وَلَا عَنِ الزَّوْجِ إِلَّا الْعَفْوَ أَوْ اللِّعَانَ. 

Maksudnya: “Kewajiban hadd qazaf adalah umum bagi lelaki dan wanita, berdasarkan keumuman ayat, dan tidak ada yang mengenepikannya bagi pihak isteri kecuali pengampunan, dan tidak bagi pihak suami melainkan dengan pengampunan atau li’an.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, no. 18911)

Walaupun begitu, perlulah bagi pihak isteri berhati-hati dalam menuduh suaminya kerana kesannya cukup besar dan termasuk dalam qazaf sebagaimana pendapat yang masyhur dalam kalangan ulama’. Justeru, dalam isu seperti ini, perlulah dibawa perbincangan dengan keluarga termasuk suami jika mampu dan selesailah dengan cara yang baik. Sesungguhnya, qazaf termasuk dalam salah satu hukum hudud yang telah ditetapkan hukumannya oleh Allah SWT sebagaimana yang telah kami nyatakan. 

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah agar dikurniakan rumah tangga yang bahagian. Amin. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply