Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya tentang isu Badal Haji murah dan difahamkan menggunakan saluran yang melanggar undang-undang. Pihak yang terlibat bermastautin di Mekah dan selok belok untuk masuk ke Mekah tanpa menggunakan permit. Harap dapat memberi pandangan. Sekian terima kasih.

Apa hukum dan keberkatannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mewakilkan ibadah haji atau mengerjakan haji untuk orang lain dinamakan sebagai Badal Haji (upah haji). Imam al-Nawawi dalam syarahnya menyatakan, jumhur ulama berpendapat boleh untuk mewakilkan Haji ke atas orang yang telah meninggal dunia dan uzur yang tiada harapan untuk sembuh. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/27)

Begitu juga, Dr. Wahbah al-Zuhaili ada menyebutkan bahawa dibolehkan bagi seseorang itu untuk melakukan ibadah haji ke atas orang lain yang berada dalam keadaan uzur yang berpanjangan iaitu tubuh badannya tidak mampu untuk melakukan ibadah haji. Hal ini berkemungkinan kerana keadaannya yang sudah tua dan sakit yang tiada harapan untuk sembuh. Sedangkan dia berkemampuan dari segi harta untuk melakukan ibadah haji. Selain itu, tidak sah badal haji sekiranya tidak mendapat keizinan daripada tuan badannya sekiranya dia masih hidup. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/2098)

Hal ini adalah berdasarkan hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَ الفَضْلُ رَدِيفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَجَاءَتِ امْرَأَةٌ مِنْ خَشْعَمَ، فَجَعَلَ الفَضْلُ يَنْظُرُ إِلَيْهَا وَتَنْظُرُ إِلَيْهِ، وَجَعَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَصْرِفُ وَجْهَ الفَضْلِ إِلَى الشِّقِّ الآخَرِ، فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ فَرِيضَةَ اللَّهِ عَلَى عِبَادِهِ فِي الحَجِّ أَدْرَكَتْ أَبِي شَيْخًا كَبِيرًا، لاَ يَثْبُتُ عَلَى الرَّاحِلَةِ، أَفَأَحُجُّ عَنْهُ؟ قَالَ: «نَعَمْ»، وَذَلِكَ فِي حَجَّةِ الوَدَاعِ

Maksudnya: “Al-Fadhl membonceng tunggangan Rasulullah SAW, lalu datang seorang wanita daripada suku Khath‘am, lalu al-Fadhl melihat ke arah wanita tersebut, dan wanita itu melihat ke arahnya. Nabi SAW memalingkan wajah al-Fadhl ke sisi (arah) lain. Lalu wanita itu berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah mewajibkan ke atas para hamba-Nya untuk menunaikan haji. Aku mendapati bapaku seorang yang sudah tua, sehingga tidak mampu untuk menunggang haiwan tunggangan. Adakah aku boleh melaksanakan haji untuknya?’ Baginda bersabda: ‘Ya (boleh).’ Demikian (perkara ini) berlaku ketika Baginda melaksanakan haji wada‘.”

Riwayat al-Bukhari (1513)

Hadith di atas mengandungi penjelasan bahawa dibolehkan untuk melakukan badal haji bagi orang yang masih hidup tetapi telah tua dan tidak mampu lagi untuk menunaikan fardhu haji dengan sendiri. Ini merupakan pendapat Ibn al-Mubarak dan al-Syafi‘i. Di samping itu juga, ia mengandungi penjelasan bahawa seorang perempuan boleh menunaikan fardhu haji untuk pihak lelaki atau perempuan dan begitulah juga sebaliknya. (Lihat Fiqh al-Sunnah, 1/637)

Oleh itu, jika wang yang dikumpulkan sudah mencukupi untuk menampung pembayaran ibadah haji, tetapi tidak dapat untuk melaksanakannya atas sebab keuzuran atau sakit yang tiada harapan untuk sembuh, maka dalam hal ini dia wajib untuk mengupah atau mewakilkan orang lain menunaikan haji bagi pihaknya. Begitu juga, disyaratkan kepada wakil atau orang yang hendak melakukan badal tersebut, mestilah sudah melakukan haji bagi dirinya. Hal ini adalah sebagaimana sebuah hadith daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ رَجُلًا يَقُولُ: لَبَّيْكَ عَنْ شُبْرُمَةَ، قَالَ: «مَنْ شُبْرُمَةُ؟» قَالَ: أَخٌ لِي – أَوْ قَرِيبٌ لِي – قَالَ: «حَجَجْتَ عَنْ نَفْسِكَ؟» قَالَ: لَا، قَالَ: حُجَّ عَنْ نَفْسِكَ ثُمَّ حُجَّ عَنْ شُبْرُمَةَ

Maksudnya: Nabi SAW mendengar seorang lelaki mengucapkan: “Labbaik ‘an Syubrumah (aku memenuhi panggilan-Mu, Ya Allah, atas nama Syubrumah.” Baginda SAW lantas bersabda: “Siapakah Syubrumah?” Dia menjawab: “Syubrumah ialah saudaraku.” — atau dia menjawab: “…kerabatku.” — Baginda SAW bertanya: “Adakah engkau sudah menunaikan haji untuk diri engkau sendiri?” Dia menjawab: “Belum.” Baginda SAW bersabda: “Tunaikanlah haji untuk diri engkau dahulu, kemudian barulah tunaikan haji bagi pihak Syubrumah.”

Riwayat Abu Dawud (1811) dan Ibn Majah (2903)

Dalam perbahasan fuqaha mengenai istita’ah, Syeikh Wahbah al-Zuhaili membawakan pandangan Mazhab Hanafi yang meletakkan antara syarat kemampuan atau istitha’ah dari sudut fizikal adalah tiada larangan daripada pemerintah yang zalim untuk keluar menunaikan haji. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 3/415)

Melakukan Haji Tanpa Tasrih (Permit)

Jika difahami kenyataan di atas secara qiyas al-awla, maka perintah larangan yang dikeluarkan oleh pemerintah yang adil adalah lebih utama untuk ditaati. Pemerintah yang adil sudah pasti tidak akan mengeluarkan larangan mengerjakan ibadat kecuali dengan alasan-alasan yang kukuh dan disokong oleh syarak berasaskan prinsip-prinsip Siyasah Syar’iyyah.

Syeikh Abdul Wahhab Khallaf membawakan beberapa tafsiran berkenaan Siyasah Syar’iyyah, antaranya ialah:

  • Pemberian kuasa kepada pemerintah untuk bertindak menurut maslahah, selagi mana tidak menyanggahi usul agama, meskipun tiada dalil khusus berkenaannya.
  • Pelaksanaan maslahah mursalah; ini kerana maslahah mursalah merupakan bab yang tiada dalil syar’ie yang menghukumnya sebagai mu’tabar (diambil kira) atau yang tertolak (mulghah).

Berdasarkan pandangan para ulama ini, beliau membuat kesimpulan bahawa ilmu Siyasah Syar’iyyah bermaksud suatu ilmu yang membahaskan urusan-urusan pentadbiran sebuah negara Islam dari sudut undang-undang, polisi dan sistem yang bertepatan dengan usul agama Islam, meskipun tiada nas syarak yang menyatakannnya secara spesifik. (Lihat al-Siyasah al-Syar’iyyah, 6-7)

Hukum-hakam dalam kategori ini bersifat fleksibel dan syara’ tidak memutuskannya secara terperinci. Sebaliknya hukum hakam dalam kategori ini diserahkan kepada ijtihad dan kebijaksaan pemerintah berdasarkan kepentingan dan keadaan umat Islam.

Dalam memutuskan sesuatu keputusan, pemerintah sentiasa akan mengambil kira kemaslahatan umum rakyat. Kaedah menyebut:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: Tindakan pemerintah terhadap rakyatnya hendaklah berasaskan maslahah.”

Para ulama menetapkan bahawa segala tindakan yang ditetapkan pihak pemerintah wajib didasari dengan maslahah dan kebaikan untuk masyarakat umum seluruhnya; iaitu rakyat yang berada di bawah tadbir urusnya. Sekiranya tindakan tersebut bertentangan dengan tujuan dan objektif yang asal, maka tindakan tersebut dianggap tidak sah dan tidak terpakai dari sudut Syarak. (Lihat Mausu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/308)

Justeru, dalam hal ini, kerajaan Arab Saudi tidak akan menetapkan peraturan yang ketat dalam hal ini melainkan terdapatnya maslahah yang lebih utama untuk dijaga, antaranya adalah untuk mengelakkan daripada kesesakan yang dahsyat di ketika menunaikan haji yang boleh menyebabkan kesukaran umat Islam lain menunaikan haji.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa haji atau badal haji yang dilakukan tanpa permit adalah sah, tetapi berdosa kerana melanggar peraturan yang ditetapkan oleh pemerintah setempat yang mengutamakan maslahah umum umat Islam. 

Selain itu, kami ingin menasihatkan sekiranya harga badal haji yang ingin dilakukan itu tidak masuk akal seperti terlalu murah daripada harga sebenar haji atau pembuat badal haji itu diragui oleh waris yang ingin mewakilkan haji tersebut, maka tinggalkanlah urusan tersebut sehingga waris benar-benar menjumpai orang yang amanah dalam menunaikan badal haji tersebut. Hal ini sesuai dengan kaedah yang diambil daripada riwayat Hasan bin Ali R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan.”

Riwayat al-Tirmizi (2708)

Ibn Daqiq al-‘Id berkata maksud yang meragukan kamu ialah: “Tinggalkan sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah kepada perkara yang tidak meragukan.” (Lihat Syarh al-Arba’in al-Nawawiah, hlm. 61)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *