#219 Beli Emas Guna Pos

Soalan

Adakah dibenarkan untuk membeli emas secara pos? Hal ini kerana saya sudah membayarnya dan emas itu tiba lambat kerana proses penghantaran melalui pos. Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Semua urusan jual beli dan muamalat adalah diharuskan di dalam syara’, namun terdapat urusniaga yang harus diberi perhatian yang melibatkan item ribawi (barang-barang yang dikira hukum riba jika tidak mengikut panduan syara’) supaya tidak terjerumus ke dalam kancah riba.

Emas merupakan item ribawi yang wajib kita waspada dalam urusan jual belinya sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah Bin al-Somit RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ

Maksudnya:Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta “[1]

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji[2] menyatakan: Apabila jual beli tersebut membabitkan dua jenis barangan berunsur riba yang berlainan jenis tetapi mempunyai illah riba yang sama (contohnya kedua-duanya dalam bentuk mata wang atau makanan), jual beli ini perlu memenuhi dua syarat bagi menjadikan jual beli tersebut sah dan bersih daripada unsur riba:

  • Akad berlaku secara lani. Akad tersebut mestilah tunai atau serta-merta, yakni akad tersebut tidak menyebut tempoh tertentu bagi penyerahan mana-mana barangan walaupun untuk tempoh yang singkat.
  • Penyerahan barangan berlaku di tempat memeterai akad.

Dalam keadaan ini, kedua-dua barangan tidak perlu mempunyai kadar yang sama. Bahkan dibenarkan jual beli secupak gandum dengan dua cupak barli, atau satu gram emas dengan lima gram perak.

Akad ini dan segala proses berikutnya adalah sah. Namun dengan syarat, tidak dinyatakan sebarang tempoh tertentu bagi penyerahan barangan dan penerimaan berlaku pada ketika itu.

Dalil bagi kes ini ialah hadith daripada Ubadah RA yang dinyatakan sebelum ini:

فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الأَصْنَافُ فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ

Maksudnya: “Jika barang-barang ini berbeza, juallah mengikut kehendak kamu selagimana ia dilakukan dengan tangan dengan tangan.”[3]

Apa yang dimaksudkan dengan barang-barang dalam hadith ini ialah barangan berunsur riba yang dinyatakan oleh hadith-hadith dan yang seumpama dengannya. Apa yang dimaksudkan dengan berbeza dalam hadith ini ialah barangan yang digunakan sebagai bayaran dalam jual beli ini tidak sama dengan barangan yang dijual.

Apa yang dimaksudkan dengan “juallah mengikut kehendak kamu” ialah kamu dibenarkan berurusniaga dengan barangan ini jika ia bukan barangan yang sama dan tidak disyaratkan barangan tersebut mestilah sama.

Berdasarkan persoalan di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa transaksi sedemikian jangan dilakukan. Hal ini kerana salah satu syarat perniagaan barang ribawi berbentuk emas ini ialah mewajibkan taqabudh, iaitu penyerahan antara kedua-dua item yang terlibat dalam transaksi sebelum kedua-dua pihak bertransaksi berpisah daripada majlis akad. Hal ini untuk mengelakkan riba nasiah. Penyerahan ini boleh dilakukan secara hukmi, seperti perwakilan dan juga hissi, iaitu secara pegangan fizikal.  Al-Barra’ bin `Azib dan Zaid bin Arqam pernah bertanyakan Rasulullah SAW tentang hukum pertukaran matawang. Baginda menjawab:

إِنْ كَانَ يَدًا بِيَدٍ فَلاَ بَأْسَ، وَإِنْ كَانَ نَسَاءً فَلاَ يَصْلُحُ

Maksudnya: Jika dilakukan secara tangan dengan tangan (saling mengambil) maka tidak mengapa, manakala jika secara bertangguh itu tidak baik (iaitu dilarang).[4]

Kami juga menyarankan agar mengelakkan diri daripada mencari khilaf-khilaf dalam perkara ini. Gunalah mimbar warak, dan pergilah ke daerah pegangan yang lebih yakin, selamat, betul dan tepat. Kami akhiri dengan satu hadith yang diriwayatkan daripada Abu Dzar RA dan Muaz bin Jabal RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْتَ، وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Maksudnya:Takwalah kepada Allah dimana kamu berada dan ikutilah kejahatan dengan kebaikan nescaya dia menghapuskannya dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.”[5]

Wallahua`lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

 

[1] Riwayat Muslim (1587)

[2] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/72

[3] Riwayat Muslim (1587)

[4] Riwayat al-Bukhari (2060).

[5] Riwayat al-Tirmidzi (1987) dan Ahmad (21392)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *