#220 Hutang Atau Nafkah

Soalan

Apakah yang perlu diutamakan antara nafkah dan hutang?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Nafkah dari segi bahasa mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu.[1]

Di dalam Sunnah, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah al-Qusyairi RA, bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:

أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”.[2]

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu, Makanan, Barang-barang dapur, Pakaian, Tempat tinggal, Alat-alat untuk membersihkan diri, Barangan rumah, Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu.[3]

Para ulama bersepakat (Ijma’) suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Malah, ianya termasuk juga sekiranya isteri mempunyai pendapatan, harta atau pekerjaan. Kewajipan nafkah tetap dipikul oleh suami. Hal ini bersandarkan kepada firman Allah SWT:

وَٱلۡوَٰلِدَٰتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِۖ لِمَنۡ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَۚ وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.[4]

Ibn Kathir menyatakan didalam tafsirnya bahawa wajib ke atas ayah untuk memberi nafkah dari sudut pakaiannya dengan cara yang sepatutnya iaitu apa-apa pakaian yang diterima oleh adat atau seumpama dengannya di negara tersebut tanpa berlaku pembaziran dan tidak menyusahkan. Ia sekadar apa yang termampu ketika dia (ayah atau suami) dalam keadaan senang dan bersederhana serta apa yang melaziminya.[5]

Dalam permasalahan nafkah, ianya perlu difahami dengan baik. Hal ini kerana, nafkah adalah suatu elemen yang penting dalam perkahwinan yang dimasukkan di bawah tanggungjawab suami ke atas isteri dan tanggungannya.

Di dalam perbahasan nafkah suami terhadap isteri, para fuqaha’ membahagikan kepada tiga golongan suami, yang senang, sederhana dan susah. Sekiranya suami merupakan orang susah, maka cukup sekadar mengeluarkan nafkah yang asas. Seperti mengeluarkan secupak beras berserta dengan lauk asas yang mengikut tradisi setempat. Kemudian, menyediakan pakaian asas untuk dipakai isteri mengikut pakaian yang dipakai masyarakat setempat sama ada ketika di rumah dan ketika keluar dari rumah, cukup sekadar menutup aurat serta mengikut budaya pakaian orang Islam setempat. Kemudian, menyediakan rumah mengikut kemampuan, tanpa disyaratkan untuk memiliki rumah tersebut, sudah memadai sekiranya menyewa. Sekiranya suami yang tidak berkemampuan ini menunaikan tanggungjawab dengan memberi nafkah asas ini, maka isteri tidak berhak untuk memohon fasakh.[6]

Sedarlah bahawa perkahwinan itu datang bersama dengan tanggungjawab seorang suami kepada isteri. Namun, yakinlah bahawa Allah SWT tidak sesekali membebankan para suami apatah lagi menzalimi. Yakinlah bahawa setiap yang Allah syariatkan itu mempunyai hikmah yang besar. Hal ini sepertimana yang dijelaskan Allah SWT di dalam al-quran:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّـهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّـهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا

Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.[7]

Berkenaan dengan hutang pula, dari segi bahasa, hutang ialah sebarang liabiliti (tanggungan) masa hadapan yang dipertanggungkan ke atas seseorang sama ada dalam bentuk wang atau sebagainya.

Dalam al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Menurut istilah para fuqaha’, hutang ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan.[8]

Sesungguhnya Islam telah menekankan tentang konsep berhutang menerusi Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu.” [9]

Selain daripada mengajarkan konsep berhutang di dalam Islam, turut ditekankan sekeras-kerasnya perintah untuk melangsaikan hutang. Hal ini jelas sepertimana yang berlaku ketika zaman Rasulullah SAW, berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Salmah bin al-Akwa’:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أُتِيَ بِجَنَازَةٍ، لِيُصَلِّيَ عَلَيْهَا، فَقَالَ ‏”‏ هَلْ عَلَيْهِ مِنْ دَيْنٍ ‏”‏‏.‏ قَالُوا لاَ‏.‏ فَصَلَّى عَلَيْهِ، ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى، فَقَالَ ‏”‏ هَلْ عَلَيْهِ مَنْ دَيْنٍ ‏”‏‏.‏ قَالُوا نَعَمْ‏.‏ قَالَ ‏”‏ صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ ‏”‏‏.‏ قَالَ أَبُو قَتَادَةَ عَلَىَّ دَيْنُهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ‏.‏ فَصَلَّى عَلَيْهِ‏.‏

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW dibawa kepadanya jenazah untuk baginda mengimamkan solat jenazah tersebut, maka Baginda SAW bersabda: Adakah dia ini menanggung hutang? Mereka menjawab: Tidak. Lalu baginda pun solat ke atas jenazah tersebut. Kemudian di datangkan jenazah yang lain, Baginda bersabda Adakah dia ini menanggung hutang, mereka menjawab:Ya. Nabi SAW, (menolak untuk mengimamkan jenazah tersebut) solatlah kamu ke atas sahabat kamu”[10]

Begitulah betapa syariat yang dibawa Rasulullah SAW bukan sahaja datang untuk mengajarkan manusia beribadat dan menjaga hubungan dengan Allah, tetapi mengangkat hubungan muamalat sesama manusia sebagai suatu perkara yang tidak dipandang enteng di dalam Islam. Selain daripada kejadian Baginda menolak untuk membiarkan sahabat lain sahaja yang melakukan solat jenazah, hal hutang ini turut ditegaskan berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

نَفْسُ اَلْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ, حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: Roh orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut).[11]

Begitulah besarnya kesan orang yang tidak membayar hutang, secara tidak langsung hadith-hadith di atas meletakkan hukum membayar hutang adalah wajib.

Berdasarkan nas dan penghujahan di atas, nafkah merupakan kewajipan ke atas seorang suami seperti yang kami terangkan. Maka, dalam keadaan ini, suami tetap wajib membayar nafkah sekalipun, mengikut kadar nafkah yang asas seperti di atas.

Kami juga menyimpulkan persoalan ini bahawa hutang dan nafkah adalah dua tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Namun begitu, sekiranya yang bertanya ini mempunyai keadaan yang sangat mendesak, maka Islam telahpun menyediakan talian hayat melalui sistem zakat yang senarai penerimanya merangkumi orang yang berhutang.

Hal Ini kerana hutang terbahagi kepada hutang yang perlu untuk diselesaikan segera dan hutang yang boleh ditangguh pembayarannya. Imam al-Nawawi berkata: Jika dia masih ada hutang yang perlu dilangsaikan dengan segera, sedangkan dia mampu melaksanakannya, maka pemberi hutang berhak menghalangnya daripada musafir. Sebaliknya jika dia termasuk daripada golongan yang sukar kerana kesempitan hidup dan tidak memiliki sesuatu yang dituntutnya. Ketika itu, ia harus bermusafir tanpa izinnya. Begitu juga jika hutang itu bersifat bertangguh malah boleh ia bermusafir tanpa menjelaskannya terlebih dahulu. Tetapi sunat baginya tidak keluar musafir sehingga diwakilkan kepada seseorang yang boleh melangsaikan hutangnya ketika ketiadaannya.[12]

Maka, kami turut menasihatkan agar semua yang terlibat dalam masalah hutang mempelajari teknik menguruskan kewangan. Ini penting dalam menguruskan dan meletakkan apa yang perlu didahulukan ketika dalam keadaan berkemampuan, seperti nafkah yang asas perlu ditunaikan segera kepada isteri.

Justeru, fiqh aulawiyyat adalah amat penting difahami dan dilaksanakan dengan cara yang terbaik. Melihat kepada peri pentingnya management kewangan dan juga urusan berkaitan perbelanjaan keperluan serta melangsaikan hutang mungkin dapat dilaksanakan dengan serentak, tetapi dengan kadar yang minimum agar dapat memberi setiap hak akan hak masing-masing. Ketika itu sebuah ketenangan dan pelan pengurusan kewangan yang tepat boleh meringankan pelbagai bebanan kehidupan yang sedang dipikul oleh kita semua yang terbabit atau terperangkap dalam isu yang diutarakan di atas.

Kami akhiri dengan mengemukakan sebuah doa yang terdapat di dalam sunnah sebagai amalan dalam melaksanakan hutang dan meringankan bebanan kehidupan yang biasa berlaku kepada seseorang. Hal ini sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri RA katanya:

“Rasulullah SAW telah masuki masjid. Tiba-tiba terdapat seorang sahabat bernama Abu Umamah RA sedang duduk di sana. Beliau bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan luar waktu solat?” Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!” Rasulullah menjawab: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.” Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Maka Baginda bersabda: “Ucapkanlah pada tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya:Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.”[13]

Semoga Allah memberi taufiq dan hidayah kepada semua umat Islam untuk memahami dan mengamalkan syariat-Nya. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

 

[1] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/274

[2] Riwayat Abu Dawud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013)

[3] Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349

[4] Surah al-Baqarah: 233

[5] Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/634

[6] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/283

[7] Surah al-Talaq:7

[8] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/121

[9] Surah al-Baqarah: 282

[10] Riwayat al-Bukhari (2295)

[11] Riwayat al-Tirmizi (1078)

[12] Lihat al-Idhah, hlm. 18

[13] Riwayat Abu Dawud (1555)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *