Soalan

Adakah anak yang lahir selepas kematian ayahnya berhak mendapat harta pusaka?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Harta pusaka menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud harta warisan (harta peninggalan si mati)[1]

Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).[2]

Melalui ayat ini, Allah SWT jelas menyatakan bahawa setiap waris mempunyai hak ke atas harta peninggalan ibu bapa dan kaum kerabat mereka.

Imam al-Tabari menukilkan bahawa Abu Ja’far berkata yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah bagi anak-anak lelaki ada bahagian mereka dari harta warisan tersebut, dan bagi anak-anak perempuan ada bahagian juga dari sumber yang sama, sama ada sedikit atau banyak, bahagian yang difardhukan, wajib, sedia maklum dan juga tertentu ke atas mereka (berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah). [3]

Ayat-ayat berkenaan pusaka di dalam al-Quran jelas mengesahkan bahawa pusaka adalah disyariatkan. Begitu juga hadith-hadith Nabi SAW berkenaan isu ini. Antaranya ialah, Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”[4]

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji[5] menyebut: “Pelaksanaan hukum pusaka adalah wajib. Sistem pusaka adalah suatu sistem yang sah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ ulama’. Ia sama seperti hukum berkenaan sembahyang, zakat, muamalat dan hudud. Ia wajib dilaksana dan diamalkan. Tidak harus diubah atau diabaikan sekalipun ia telah lama disyariatkan.

Ia merupakan syariat Allah yang Maha Bijaksana dan Terpuji. Ia memelihara kepentingan semua orang. Walaubagaimana sekalipun manusia merasakan pandangan mereka lebih baik, namun undang-undang Allah SWT tetap merupakan undang-undang yang terbaik.

Allah SWT berfirman:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ ۚ وَمَن يُطِعِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿١٣﴾ وَمَن يَعْصِ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُّهِينٌ

Maksudnya: Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.[6]

Berdasarkan soalan di atas, Indikasi kewujudan hayat bagi waris boleh ditentukan secara hakikat atau taqdiran (penetapan). Indikasi secara hakikat adalah dengan penyaksian, melihat fizikal, dan pemeriksaan kesihatan. Manakala indikasi secara taqdiran ialah penetapan wujudnya ruh bagi janin dalam kandungan semasa matinya pewaris. Justeru, bahagian pusaka bagi janin itu hendaklah diasingkan awal-awal sebagai langkah ihtiyat (berhati-hati) dan hanya akan berkuatkuasa dengan syarat janin itu lahir hidup.

Hal ini berdalilkan hadis riwayat Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا اسْتَهَلَّ الْمَوْلُودُ وُرِّثَ

Maksudnya: “Jika anak yang dilahirkan itu menangis keluar suara, maka sabit baginya harta pusaka.”[7]

Para ulama berkata syarat mesti istihlal atau menangis dengan jeritan dalam pewarisan adalah kinayah (kiasan) bahawa waris yang dilahirkan itu hidup. Justeru, jika bayi lahir tidak menangis, tetapi terdapat tanda-tanda hayat yang lain, maka tetap sabit hak waris.

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan:“Sekiranya kehamilan itu disebabkan oleh si suami yang meninggal dunia, maka anak yang dilahirkan itu sabit nasab dan hak pewarisannya, dengan syarat dia lahir dalam tempoh sepanjang-panjang kehamilan (yakni 4 tahun dari tarikh mati suami).”[8]

Kami berpendapat bahawa anak yang kematian bapa ketika dalam kandungan berhak mendapatkan bahagian faraid peninggalan arwah ayah. Ini sesuai dengan pendapat dalam mazhab al-Syafie bahawa syarat seorang waris itu hendaklah dia hidup secara pasti selepas kematian pewaris sekalipun satu lahzhah (sebentar). Ini kerana pewarisan itu ditetapkan bagi mereka yang hidup, maka tiada harta pusaka bagi waris yang mati.

Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agama ini.

Wallahua`lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

 

[1] Lihat: https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=harta+pusaka

[2] Surah al-Nisa’: 7

[3] Lihat Tafsir al-Tabari, 7/597

[4] Riwayat al-Bukhari (6351)

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/284-286

[6] Surah al-Nisa’: 13-14

[7] Riwayat Abu Dawud (2920)

[8] Lihat al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie 4/353-354 & 490-491

 

-17%
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
-58%
RM50.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM5.00

Kajian Ilmiah

Fiqh Banjir

Rated 0 out of 5
RM5.00

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *