Soalan

Berapakah kadar wasiat yang dibenarkan?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Amalan meninggalkan wasiat merupakan amalan yang dilakukan sejak zaman berzaman. Pada kebiasaanya, wasiat yang ditinggalkan adalah berkaitan dengan harta milik pemberi wasiat. Umat Islam diharuskan untuk meninggalkan wasiat dengan cara dan syarat yang tertentu sepertimana yang telah digariskan oleh syariat Islam.

Wasiat menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud kehendak yang penghabisan yg disampaikan oleh orang yang hampir meninggal dunia (berkenaan harta dan lain-lain) atau juga didefinisikan sebagai pesanan terakhir.[1]

Menurut Sayyid Sabiq, wasiat didefinisikan sebagai hadiah daripada seseorang kepada orang lain sama ada secara ‘ain, hutang, atau manfaat supaya ianya dimiliki oleh orang yang diwasiatkan sebagai hadiah selepas kematian pemberi wasiat.[2]

Firman Allah SWT:

مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ

Maksudnya: (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.[3]

Melalui ayat ini, Allah S.W.T telah menjelaskan bahawa pembahagian harta hendaklah dilakukan setelah selesai urusan hutang si mati serta setelah dilaksanakan wasiat si mati. Antara pelunasan hutang dan juga pelaksanaan wasiat, pelunasan hutang mesti dahulukan ke atas wasiat. Hal ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Ali RA, katanya:

 إِنَّكُمْ تَقْرَءُونَ هَذِهِ الآيَةَ: {مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ} «وَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَضَى بِالدَّيْنِ قَبْلَ الوَصِيَّةِ

Maksudnya: Kamu membaca ayat ini (Surah al-Nisa’ ayat 12) dan Rasulullah SAW melunaskan hutang sebelum wasiat (dilaksanakan).[4]

Namun begitu, Dr Wahbah Zuhaili menyatakan bahawa antara sebab Allah S.W.T mendahulukan penyebutan wasiat ke atas hutang adalah kerana ia sebagai dorongan dan perintah untuk memperhatikan dan memenuhi wasiat yang ada serta larangan mengingkarinya. [5]

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya al-Mu’tamad[6] bahawa Dalam hal wasiat ini, terdapat empat rukun yang perlu diraikan iaitu:

  • Pewasiat
  • Penerima wasiat
  • Perkara yang diwasiatkan
  • Sighah (ucapan)

Pengurusan harta pusaka perlu mengikut turutan sebagaimana yang ditetapkan oleh syara’:

  1. Pengurusan jenazah
  2. Hutang
  3. Wasiat
  4. Faraid

Maka, digunakan daripada harta si mati bangi pengurusannya yang wajib sahaja. Kemudian, dibayar hutangnya jika ada. Hutang di sini ada dua, hutang kepada manusia dan hutang kepada Allah. Hutang kepada Allah seperti zakat, puasa, haji, fidyah, qada’, kaffarah dan nazar yang wajib. Dalam mazhab al-Syafie, hutang kepada Allah lebih utama untuk dilunaskan. Sabda Rasulullah SAW:

فَدَيْنُ اللهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: Maka hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan.[7]

Kemudian, diuruskan harta pusaka selebihnya mengikut wasiat. Wasiat hanya boleh menggunakan 1/3 daripada harta pusaka, maka hanya 1/3 daripada harta si mati yang boleh disalurkan kepada masjid dan lain-lain. Hal ini sebagaimana pertanyaan Saad bin Abi Waqqas RA, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW:

 يا رَسولَ اللَّهِ، أُوصِي بمالِي كُلِّهِ؟ قالَ: لا، قُلتُ: فالشَّطْرُ، قالَ: لا، قُلتُ: الثُّلُثُ، قالَ: فالثُّلُثُ، والثُّلُثُ كَثِيرٌ، إنَّكَ أنْ تَدَعَ ورَثَتَكَ أغْنِياءَ خَيْرٌ مِن أنْ تَدَعَهُمْ عالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ في أيْدِيهِمْ

Maksudnya: “Ya Rasulullah, Bolehkah aku mewasiatkan kesemua hartaku?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan saparuh daripadanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan satu pertiga daripadanya?” Rasulullah SAW menjawab: “Maka (boleh berwasiat) satu pertiga (daripada harta), sedangkan satu pertiga itu pun banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya atau mencukupi, ia lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup, dengan menadah-nadah tangan meminta daripada tangan-tangan (bantuan) manusia”.[8]

Berdasarkan persoalan dan hujah-hujah yang dikemukakan, kami nyatakan bahawa Islam telah meletakkan syarat bahawa harta yang boleh diwasiatkan hanya 1/3 daripada hartanya keseluruhan, dan selebihnya atau 2/3 lain diberikan kepada ahli waris yang telah digariskan di dalam syara’. Semoga Allah memberikan kita kefahaman dalam agama ini serta menjadikan kita beramal dengannya. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

 

[1] Lihat: https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=wasiat

[2] Lihat al-Fiqh al-Sunnah, 3/583

[3] Surah al-Nisa’: 11

[4] Riwayat Tirmizi (2094)

[5] Lihat Tafsir al-Munir, 4/276

[6] Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’I, 4/601-606]

[7] Riwayat al-Bukhari (1953) dan Muslim (1148)

[8] Riwayat al-Bukhari (2742)

-17%
Rated 0 out of 5
RM25.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
-58%
RM50.00
Rated 0 out of 5
RM5.00
Rated 0 out of 5
RM5.00

Kajian Ilmiah

Fiqh Banjir

Rated 0 out of 5
RM5.00

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *