#225 Wali Nikah Fasiq

Soalan

Adakah wali fasiq boleh menikahkan anaknya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Wali ataupun dalam bahasa arabnya al-Wali (الوَلِي) dari sudut Bahasa bermaksud “dekat atau hampir”. Ia disebut “waliyyahu, walyan” iaitu hampir kepadanya. Dan “wali al-Amr”, apabila berurusan dengannya dan “Tawalla al-Amr” iaitu dilantik akan dia.

Dari sudut istilah, al-Wilayah digunakan sebagai ketua yang tertinggi, qadi, tentera dan selainnya. Terdapat pelbagai maksud yang digunakan pada kalimah Wali atau Wilayah, ia juga memberi maksud sebagai wakil atau penjaga seperti yang diibaratkan sebagai wali di dalam nasab keturunan, wakil dalam pembahagian harta dan lain-lain lagi.[1]

Selain itu, pada maksud yang lain al-Wilayah berlawan dengan al-A’dawah, secara asalnya ia bermaksud kasih sayang dan hampir. Dan maksud al-A’dawah ialah kebencian dan jauh.[2]

Wali pernikahan pula adalah orang yang menentukan sahnya akad. Akad nikah tidak sah dengan ketiadaannya. Wali itu seperti bapa, orang yang diwasiatkan, karib kerabat yang dekat ( al-Qarib al-Ashib) , orang yang membebaskan hamba, penguasa dan raja.[3]

Perkataan fasiq adalah berasal dari perkataan ‘فسَق يَفْسِقُ ويَفْسُقُ فِسْقاً وفُسوقاً’. Ibn Manzur menyebut: Al-Fisq iaitu kederhakaan dan meninggalkan perintah Allah Azza wa Jalla dan keluar dari jalan kebenaran.[4]

Fasiq pada istilah bermaksud seorang yang melakukan dosa besar atau sering melakukan dosa-dosa kecil.[5]

Imam al-Syaukani menukilkan pandangan Imam al-Qurtubi yang menyebut: “Adapun kefasiqan yang umumnya digunakan dalam Syariat ialah: (Perbuatan yang menyebabkan) keluar dari batas ketaatan kepada Allah SWT. Terkadang perbuatan tersebut boleh menyebabkan kekafiran dan boleh juga dianggap sebagai kemaksiatan.”[6]

Ini sepertimana disebut dalam hadis, Nabi SAW bersabda:

سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ، وَقِتَالُهُ كُفْرٌ

Maksudnya:Memaki orang muslim itu perbuatan fasiq dan memeranginya perbuatan kufur.”[7]

Kata Ibn Battal ketika mensyarahkan hadith ini, maksud dilarang mencaci orang muslim itu, kerana maruah diri seorang muslim adalah terpelihara (haram dicabul) sebagaimana haram darah dan hartanya. Kaedah fiqh juga menyebut:

الأَصْلُ بَرَاءَةُ الذِّمَّةِ

Maksudnya:Asal seseorang itu adalah suci maruahnya (bebas dari tuduhan dan tanggungan).” [8]

Rukun nikah sebagaimana yang diketahui mempunyai lima rukun. Salah satu rukun tersebut ialah hendaklah mempunyai wali. Kewujudan wali adalah wajib semasa aqad.

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji[9] menyebut: Seseorang perempuan tidak harus dikahwini, mengahwinkan dirinya sendiri atau mengahwinkan orang lain sama ada dengan izin atau tidak, walaupun terdapat ijab dan qabul daripada perempuan tersebut.

Hal ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ وَلاَ تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ نَفْسَهَا

Maksudnya:Seseorang perempuan tidak harus mengahwinkan perempuan lain dan tidak harus mengahwinkan dirinya sendiri.”[10]

Para sahabat R.Anhum menggelarkan perempuan yang mengahwinkan dirinya sendiri sebagai perempuan yang jahat, manakala dalam riwayat yang lain, dia disebut penzina.

Berdasarkan persoalan yang dikemukakan, wali yang fasiq ialah wali yang tidak adil. Maksud adil ialah tidak melakukan dosa besar, tidak mengekalkan dosa kecil dan tidak mencemarkan maruah diri, seperti kencing di jalanan, berjalan tanpa kasut dan seumpamanya. Wali yang fasiq, iaitu tidak adil tidak boleh mengahwinkan perempuan yang beriman, bahkan hak perwalian berpindah kepada wali adil yang seterusnya mengikut urutan.[11]

Hal ini berdasarkan kata-kata Ibn Abbas R.Anhuma:

لا نِكَاحَ إِلا بِوَلِيٍّ مُرْشِدٍ وَشَاهِدَيْ عَدْلٍ.

Maksudnya: “Tidak sah nikah melainkan oleh wali yang mursyid dan dua orang saksi yang adil.”[12]

Imam al-Syafie berkata: Maksud mursyid dalam hadith tersebut adalah adil. Hal ini adalah kerana fasiq merupakan kekurangan yang merosakkan persaksian dan ia menghalang perwalian dalam perkahwinan.

Begitu juga sebuah hadis yang merupakan dalil dalam menjadikan wali sebagai syarat sah bagi nikah adalah sabda Nabi SAW :

لَا نِكَاحَ إلَّا بِوَلِيٍّ وَلَا بِشَاهِدَي عَدْلٍ

Maksudnya: Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali dan juga dua orang saksi.[13]

Mazhab al-Imam al-Syafie dan selainnya berpendapat bahawa penafian yang terdapat di dalam hadis tersebut merupakan penafian terhadap kesahihan nikah, atau di dalam bahasa arabnya disebut نفي الصحة. Justeru, tanpa adanya wali mursyid ia membawa kepada implikasi tidak sahnya sesebuah pernikahan.[14]

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menyatakan: Ini kerana kewalian amat berhajat kepada pengamatan dan mentaqdirkan maslahat. Justeru, tidak layak seorang wali fasiq untuk mewalikan perempuan sama seperti kewalian harta. Inilah mazhab Syafi’e dan Hanbali.[15]

Pendapat lain menyatakan bahawa adil tidak menjadi syarat dalam perkahwinan. Hal ini kerana kelayakan menjadi wali adalah berdasarkan kepada pertalian waris yang menimbulkan perasaan kasih sayang untuk kebaikan orang di bawah jagaannya sama ada dia bersifat adil atau sebaliknya. Hal ini kerana meletakkan syarat adil kepada wali menyebabkan berlakunya kesulitan yang besar disebabkan orang yang adil sedikit sahaja bilangannya, lebih-lebih lagi pada masa ini. Pada zaman mana-mana sekalipun, tidak pula diketahui ada orang fasiq yang dilarang mengahwinkan anak-anak perempuan mereka.[16]

Sebagai penutup, kami menyimpulkan bahawa sahnya nikah yang dinikahkan oleh wali yang fasiq, namun kami mengesyorkan supaya memulakan upacara akad nikah dengan bersama-sama bersyahadah dan beristighfar. Begitu juga berlaku pengulangan istighfar dan taubat beberapa kali sebelum majlis akad nikah. Di samping itu, ambillah kesempatan untuk memberi nasihat agar para wali sentiasa bertaubat dan beristighfar. Hal ini kerana pada zaman sekarang, adalah sukar untuk mencari orang yang tidak fasiq mengikut nilaian fasiq pada zaman dahulu. Justeru, sekiranya wali itu merupakan wali mujbir, maka hendaklah diminta untuk bertaubat terlebih dahulu sebelum berlangsungnya majlis akad atau mereka boleh wakilkan kepada imam atau jurunikah.

Wallahua`lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

 

[1] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/135

[2] Lihat al-Furqan Baina Aulia’ al-Rahmah wa Aulia’ al-Syaitan, hlm 9

[3] Lihat al-Fiqh ‘ala al-Madzahib al-Arba’ah, 4/29

[4] Lihat Lisan al-‘Arab, 10/308

[5] Lihat Hasyiyah al-Qalyubi wa ‘Umairah ‘ala Syarh al-Mahalli, 3/227

[6] Lihat Tafsir Fath al-Qadir, 1/583

[7] Riwayat Bukhari (7076)

[8] Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 59

[9] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/558

[10] Riwayat Ibn Majah (1882), al-Bazzar (10085) dan al-Daruqudtni (3/227). Hadith ini di nilai sahih berdasarkan kitab Sahih Ibn Majah (1539)

[11] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/558

[12] Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Sughra (3/19), dan Imam al-Syafi’ei di dalam kitab al-Umm (8/611)

[13] Riwayat al-Tirmizi (1102)

[14] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/558

[15] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 9/6701-6702

[16] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/562

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *