#227 Air dalam Akuarium Ikan

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum air dalam akuarium ikan? Menjadi rutin saya setiap minggu untuk mencuci akuarium ikan dan setiap kali saya mencucinya pasti akan ada percikan air yang jatuh ke lantai rumah. Adakah percikan air tersebut dikira sebagai najis kerana air akuarium sudah bercampur dengan najis ikan dan jika ia najis bagaimana cara untuk saya mencuci percikan tersebut? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya:SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.[1]

Al-Syaukani menyatakan bahawa makna ayat di atas ialah Allah menyukai orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya dan mensucikan diri daripada junub dan hadas.[2] Dalam erti kata lain, Allah SWT menyukai para hamba-Nya yang banyak beristighfar dan bertaubat serta yang menyucikan diri dengan menjauhi segala perbuatan keji dan kotor.[3]

Mukadimah

Islam sangat mengambil berat dalam hal bersuci dan kebersihan. Begitu juga, manusia cenderung kepada kebersihan dan secara tabii manusia tidak suka serta menjauhkan diri daripada kekotoran. Oleh sebab Islam adalah agama fitrah, maka secara tabii ia memerintahkan manusia supaya bersuci dan menjaga kebersihan. Nabi SAW juga ada bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya:Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”[4]

Begitu juga memelihara haiwan ternakan seperti ikan merupakan suatu amalan yang diharuskan dan mulia. Namun di sana terdapat tanggungjawab yang perlu diberikan. Bahkan dalam kitab fiqh terdapat perbincangan yang disebutkan di bawah tajuk nafkah terhadap haiwan peliharaan seperti ikan dan seumpamanya, perlu diberi tempat tinggal dan makanan yang sesuai. Manakala haiwan yang lain (selain ikan) perlu diberi tiga perkara iaitu tempat tinggal, makanan dan minuman.[5]

Pembahagian najis

Najis terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu Najis Mukhaffafah (ringan), Najis Mutawassitah (sederhana) dan Najis Mughallazah (berat).

  • Najis Mughallazah ialah anjing dan babi serta apa daripadanya.
  • Najis Mukhaffafah merupakan air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih daripada dua tahun.
  • Najis Mutawassitah pula adalah selain daripada kedua-dua jenis najis di atas. Najis Mutawassitah adalah seperti air kencing, najis haiwan dan darah.[6]

Air akuarium ikan

Terlebih dahulu kita hendaklah mengetahui bahawa menurut mazhab al-Syafi‘i tahi, najis dan air kencing termasuk yang datang daripada haiwan adalah dikira sebagai najis. Hal ini adalah berdasarkan daripada riwayat Ibn Mas‘ud R.A, beliau berkata:

فأتيتُه بحجرَيْن وروْثةٍ فأخذ الحَجرَيْن وألقى الرَّوْثةَ وقال: إنَّها رِكسٌ

Maksudnya:Aku telah membawa dua biji batu kepada Nabi SAW dan satu kotoran (tahi binatang yang kering). Baginda mengambil dua biji batu dan membuang kotoran tersebut, lalu bersabda: ‘Sesungguhnya ia ialah kotoran haiwan.’[7]

Begitu juga al-Nawawi ada menyebutkan bahawa semua jenis tahi dan air kencing dikira sebagai najis sama ada haiwan itu boleh dimakan ataupun tidak. Hukum yang sama juga terpakai terhadap kotoran (tahi) ikan dan belalang serta haiwan yang tidak mengalir darahnya seperti nyamuk. Oleh itu, kotoran (tahi) dan air kencing kedua-duanya adalah dikira sebagai najis. Ini merupakan pendapat mazhab al-Syafi‘i dan telah diputuskan oleh ulama mazhab Syafi‘i dari Iraq dan sekumpulan ulama mazhab Syafi‘i dari Khurasan. Namun, terdapat satu pandangan yang lemah daripada ulama mazhab Syafi‘i dari Khurasan mengenai sucinya kotoran (tahi) daripada ikan dan belalang serta haiwan yang tidak mengalir darahnya.[8]

Justeru, air akuarium biasanya mengandungi tahi-tahi ikan. Mengikut pendapat yang muktamad, sekiranya air dalam akuarium itu sedikit (kurang dua kolah) dan mengandungi najis (tahi ikan), maka air itu dihukumkan sebagai najis dan tergolong dalam kategori najis mutawassitah.

Cara membersihkan Najis Mutawassitah

Mengenai najis Mutawassitah Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff ada menyatakan bahawa ia terbahagi kepada dua kategori iaitu hukmiyyah (حكمية) dan ‘ainiyyah (عينية). Hukmiyyah ialah yang tidak kelihatan najisnya secara jelas kerana tiada tanda-tanda seperti bau,rasa dan juga warna. Cara membersihkannya adalah cukup sekadar mengalirkan air pada tempat yang terkena najis tersebut. Manakala ‘ainiyyah pula ialah  najis yang kelihatan dan ada sifat-sifatnya sama ada bau atau rasa atau warna. Cara membersihkannya ialah dengan air sehingga hilang semua sifat-sifat tersebut (bau, rasa dan warna). Sekiranya najis tersebut dapat dihilangkan bersama sifat-sifatnya dengan sekali basuhan sahaja, ia sudah mencukupi. Akan tetapi sunat untuk dia membasuhnya pada kali kedua dan ketiga.

Begitu juga, sekiranya najis itu tidak dapat dihilangkan dengan sekali basuhan, maka wajib membasuhnya kali kedua. Dan sekiranya masih belum lagi hilang, wajib membasuhnya buat kali ketiga. Sekiranya najis itu masih belum lagi dapat dihilangkan sifat-sifatnya dengan tiga kali basuhan bersama bahan bantuan seperti sabun dan lain-lain, maka keadaan ini dinamakan sebagai keadaan yang susah (حالة التعسر).[9]

Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebutkan bahawa contoh najis hukmiyyah adalah seperti air kencing yang telah kering serta tidak dilihat padanya kesan atau sifat-sifatnya. Maka, cara membersihkannya, cukup dengan hanya mengalirkan air padanya sekali. Adapun ‘ainiyyah, maka wajib dihilangkan sifat-sifatnya yang terdiri daripada bau, rasa dan warna, melainkan ada kesukaran bagi menghilangkan salah satu antara dua sifat iaitu sama ada warna atau bau. Maka, dalam hal ini tidak wajib menghilangkannya, bahkan ia telah pun dikira sebagai suci. Akan tetapi, sekiranya terhimpun kedua-duanya sekali (bau dan warna) pada tempat tersebut, maka wajib untuk dihilangkan kedua-dua sifat tersebut kerana ia adalah merupakan bukti yang kuat bahawa ‘ain najis itu masih ada sepertimana ciri atau sifat yang ditunjukkan oleh rasa.[10]

Begitu juga, belum lagi dikira suci (masih najis), jika masih ada sifat najis daripada segi rasa kerana kebiasaannya ia mudah untuk dihilangkan. Oleh itu, sekiranya masih berbaki sifat rasa, maka wajib untuk dihilangkan sekalipun dengan mengikis atau menggosok sebanyak 3 kali. Cara mengikis adalah dengan mengikis tempat terkena najis itu menggunakan batu atau lain-lain, manakala menggosok pula adalah dengan menggunakan jari jemari dengan gosokan yang kuat dan kemudian menjiruskan air ke atasnya sehingga hilang ‘ain dan kesan najis itu. Selain itu, tidak disyaratkan menggunakan bahan bantuan seperti sabun dan usynan (sejenis pokok) bagi menghilangkan najis melainkan setelah terhimpun bau dan warna sekali atau hanya daripada segi rasa sahaja. Maka, dalam situasi ini wajib menggunakan bahan bantuan tersebut.[11]

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff telah meringkaskan berkenaan hukum bagi keadaan susah (حالة التعسر) kepada dua, iaitu:

  • Sekiranya hanya tinggal bau sahaja atau warna sahaja, hukumnya adalah dikira sebagai suci.
  • Sekiranya yang tinggal adalah bau dan warna atau hanya rasa sahaja, maka wajib membasuhnya bersama bahan bantuan seperti sabun sehingga hilang sifat-sifat tersebut.

Akan tetapi, sekiranya orang yang berkepakaran (Ahl al-Khibrah) menyatakan najis tersebut, tidak akan dapat dihilangkan melainkan hanya dengan memotongnya (membuangnya), maka dinamakan bagi keadaan atau situasi ini sebagai situasi yang ada keuzuran (حالة التعذر). Hukumnya, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan sah solat dengannya. Walau bagaimanapun, jika dia mampu untuk menghilangkannya pada masa akan datang, wajib untuk dia menghilangkannya.[12]

Sekalipun begitu, pengarang al-Fiqh al-Manhaji[13] ada menyatakan bahawa agama meraikan kemudahan dan menghilangkan kesusahan. Maka dimaafkan sebahagian najis disebabkan kesusahan untuk menghilangkannya atau kesusahan untuk menjaga daripada terkena najis tersebut, agar menjadi kemudahan kepada manusia, dan mengangkat kesusahan daripada manusia. Contohnya, percikan air kencing yang sedikit yang tidak dapat dikesan dengan penglihatan mata yang sederhana jika terkena pakaian ataupun badan, sama ada najis mughallazah ataupun najis mukhaffafah ataupun najis mutawassitah.”

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa pada asalnya air akuarium yang sedikit (kurang dua kolah) dan mengandungi tahi-tahi ikan adalah dikira sebagai najis dalam kategori mutawassitah (sederhana). Justeru, sekiranya air percikan yang terkena pada lantai banyak seperti tertumpah dan sebagainya, maka hendaklah dibersihkan kawasan yang terkena air itu sebagaimana cara membersihkan najis mutawassitah. Namun, jika air percikan itu terlalu sedikit yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar atau disebabkan kesukaran untuk menjaganya, lebih-lebih lagi ketika proses pembersihan, maka ia termasuk dalam najis yang dimaafkan oleh syarak berdasarkan kaedah Umm al-Balwa.

Sekalipun begitu, adalah lebih baik jika proses pembersihan dan penukaran air akuarium itu dilakukan di kawasan luar atau diletakkan terlebih dahulu kain atau seumpamanya sebagai alas (bagi mengelakkan terkena ke lantai) kerana keluar daripada khilaf itu adalah mustahab (digalakkan).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443H

[1] Surah al-Baqarah: 222

[2] Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 44.

[3] Lihat Tafsir al-Muyassar, hlm. 35.

[4] Riwayat Muslim (223)

[5] Lihat al-Iqna‘ oleh al-Khatib al-Syirbini, hlm. 637-640.

[6] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40-41.

[7] Riwayat al-Tirmizi (17); Ibn Majah (314); Ahmad (3685)

[8] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/550.

[9] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 135.

[10] Lihat Fath al-Wahhab, 1/25; Kasyifah al-Saja, hlm. 182-184.

[11] Lihat Kasyifah al-Saja, 182-183.

[12] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 136.

[13] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/43.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *