Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum pernikahan individu autisme?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami takrifkan terlebih dahulu definisi autisme.

Dalam Bahasa Arab, ia dikenali sebagai al-tawahhud (التَّوَحُّد) atau al-zatawiyyah (الذَّاتَوِيَّة). Perkataan autism berasal daripada perkataan Autismus dalam bahasa Jerman, dicetuskan pada 1912 oleh seorang pakar psikiatri, Paul Bleuler daripada perkataan Greek iaitu autos (sendiri) +ismos (pengakhiran bagi tindakan atau kondisi). Secara umumnya, ia berkenaan seseorang yang mempunyai minat, kecenderungan dan fokus yang melampau kepada aktiviti-aktiviti individu semata-mataز

Autisme menurut garis panduan Pendaftaran Orang Kurang Upaya masalah pembelajaran sehingga memberi kesan terhadap hubungan sosial dan komunikasi serta menunjukkan tingkah laku yang tidak normal. Terdapat pelbagai ciri yang boleh dikenalpasti bagi menentukan individu autisme, akan tetapi kriteria utama adalah masalah berkomunikasi, masalah dalam bersosial serta keterbatasan dalam aktiviti dan minat.

Jenis-Jenis Autisme

Terdapat beberapa jenis autisme yang perlu difahami:

  • Autistic Disorder

Individu dengan masalah autistik kebiasaannya mengalami masalah lambat dalam kemampuan berbahasa, sosial dan komunikasi, begitu juga sikap dan kecenderungan yang berbeza. Kebanyakan individu autistik juga mengalami ketakdayaan intelektual.

  • Asperger Syndrome

Mereka yang menghidap sindrom Asperger kebiasaannya mempunyai simptom autistic disorder yang sederhana. Mereka mungkin menghadapi masalah sosial dan perilaku serta kecenderungan yang tidak normal. Pun begitu, secara tipikalnya mereka tidak mempunyai masalah dengan bahasa dan ketakdayaan intelektual.

  • Pervasive Developmental Disorder – Not Otherwise Specified (PDD-NOS; juga dikenali sebagai atypical autism)

Mereka yang menyamai kriteria bagi autistic disorder atau sindrom Asperger, tetapi tidak kesemuanya, mungkin menghidap PDD-NOS. Mereka yang menghidap PDD-NOS biasanya mempunyai simptom yang sederhana ataupun lebih sedikit daripada yang menghidap autistic disorder. Simptom-simptom ini mungkin menyebabkan masalah dalam komunikasi dan sosial sahaja.

Menurut Durham Region Autism Services, individu yang menghidap ASD mungkin mempunyai pelbagai obsesi seperti rancangan TV tertentu tetapi kebiasaannya mereka tertumpu kepada perkara teknikal, akademik, set kemahiran mekanik seperti computer, keretapi, tarikh dan peristiwa sejarah atau sains. Ada juga yang obsess dengan nombor atau bentuk tertentu seperti no plat kereta, jadual perjalanan bas / keretapi,dan juga bentuk anggota tubuh atau batu-batu.

Terdapat tiga item yang menjadi pengukur dalam menentukan seseorang anak itu autisme iaitu ketidakupayaan dalam interaksi sosial, ketidakupayaan dalam komunikasi dan ketidakupayaan dalam tingkah laku (Lihat Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders). Ketidakupayaan ini membuatkan mereka tidak mampu untuk melakukan sebarang aktiviti dengan baik. Ketidakupayaan dalam interaksi sosial adalah seperti tidak mahu bertentang mata, tidak pandai menunjukkan ekspresi muka, tiada kemahuan spontan untuk berkongsi kegembiraan dan kebahagiaan serta gagal dalam mewujudkan hubungan rakan sebaya.

Tanda dan Gejala Autisme

Menurut portal MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia, autisme berasal daripada perkataan bahasa Greek iaitu ‘autos’ yang bermaksud sendiri. Dalam konteks ini, ia merujuk kepada seseorang yang hidup dalam dunianya sendiri. Dari sudut perubatan, autisme ialah keadaan di mana interaksi sosial seseorang terganggu akibat masalah kemahiran berkomunikasi, tingkah laku tidak wajar yang berulangan, pemencilan diri serta mempunyai keinginan terhad terhadap sesuatu benda.

Autisme ialah gangguan pertumbuhan tumbesaran seseorang dalam jangka masa panjang yang memberi kesan dalam pemikiran kanak-kanak dan dalam proses informasi. Ia berlaku kepada kanak-kanak di antara 1-2 orang dalam 1000 dan ia terjadi 4 kali lebih kerap di kalangan kanak-kanak laki-laki. Gejala – gejala ini selalunya berlaku sebelum kanak- kanak itu berumur 3 tahun tetapi ianya belum pasti lagi.

Autisme adalah salah satu bahagian dalam gangguan yang dipanggil “ Pervasive Developmental Disorders.“ dan satu lagi gangguan dari kumpulan ini ialah ‘Asperger’s Syndrome di mana pertuturan kanak-kanak dan kemahiran kognitif boleh jadi normal. Sebab-sebab Autism tidak diketahui tetapi kemungkinan berpunca dari faktor keturunan atau ketidakseimbangan kimia di dalam otak. Terencat akal boleh berlaku dalam 75% kanak-kanak autism.

Tanda dan gejala berlaku disebabkan oleh 3 faktor utama :

  1. Komunikasi
  • Lambat, tidak normal atau tidak boleh bertutur
  • Bahasa tanpa lisan yang tidak normal ; contoh, kurang pergerakan anggota badan.
  • Kurang cerdas semasa bermain
  • Kurang upaya bergaul atau berbincang dengan orang lain
  1. Tindak balas sosial
  • Hilang tumpuan dan kurang mimik muka
  • Tiada kesedaran perasaan terhadap orang lain
  • Suka bersendirian tanpa berkongsi pengalaman dengan orang lain
  • Suka bermain sendirian
  1. Tingkah laku yang berulang dari segi minat dan aktiviti
  • Menggerakkan anggota badan berulang kali seperti bertepuk tangan, menggoyangkan badan ke hadapan dan belakang, menganguk kepala
  • Menumpukan perhatian kepada satu objek sahaja seperti tayar kereta mainan
  • Tertekan ke atas perubahan kecil yang berlaku dalam persekitaran
  • Hanya berminat terhadap satu atau dua perkara sahaja.

Seseorang yang menghidap autisme akan mendapat gejala yang berlainan mengikut umur masing-masing.

  • Peringkat awal kanak-kanak – Hiperaktif, panas baran
  • Peringkat akhir kanak-kanak – suka menyerang, mencederakan diri sendiri
  • Peringkat remaja dan dewasa – kemurungan dan epilepsi.

 

Tanda-Tanda Austisme dalam Kalangan Dewasa

Autisme dicirikan oleh cabaran sosial dan tingkah laku termasuk:

  • Perbezaan bagaimana menyesuaikan diri dengan persekitaran dan orang sekelilingnya
  • Halangan berkomunikasi kesan daripada cara seseorang memproses dan menyatakan maklumat
  • Keperluan untuk kekal tegar dan kadang-kadang berulang. Corak dan ritual yang boleh mengganggu interaksi sosial dan kualiti hidup.

Tiada dua orang yang mengalami autisme mempunyai simptom yang sama. Ia dirujuk sebagai spektrum kerana pelbagai tanda dan simptom dan perbezaannya dalam tahap keterukannya.

Sesetengah orang dengan autisme mengalami simptom yang menyebabkan kehidupa seharian sukar. Lain-lain dianggap “high-functioning” hanya boleh merasakan sesuatu yang “berbeza” tentang mereka. Mereka mungkin merasakan seperti itu sejak zaman kanak-kanak, tetapi tidak dapat menentukan dengan tepat sebabnya. Mereka juga mungkin tidak menyedari bahawa perasaan atau sifat kelakukannya berbeza, tetapi orang lai di sekeliling mereka mungkin menyedari bahawa mereka berkelakuan atau bertindak secara berbeza.

 

Tanda Autisme “High-Functioning” Pada Dewasa

  1. Cabaran Berkomunikasi
  • Kesukaran membaca isyarat sosial
  • Terlibat dalam perbualan adalah sukar
  • Mempunyai masalah berkaitan dengan fikiran atau perasaan orang lain
  • Anda tidak dapat membaca bahasa badan dan ekspresi muka dengan baik. (Anda mungkin tidak dapat memberitahu sama ada seseorang gembira atau tidak berpuas hati dengan anda).
  • Anda menggunakan corak bercakap mendatar, nada yang sama (monotone) atau robotik yang tidak berkomunikasi dengan apa yang anda rasa.
  • Anda tidak suka melihat mata seseorang ketika bercakap dengan mereka.
  • Anda bercakap dalam corak dan nada yang sama, sama ada anda berada di rumah, dengan rakan-rakan, atau di tempat kerja.
  • Anda banyak bercakap tentang satu atau dua topik kegemaran.
  • Sukar membina dan mengekalkan persahabatan yang rapat.
  1. Perbezaan Emosi dan Tingkah Laku
  • Anda mempunyai masalah mengawal emosi dan tanggapan.
  • Perubahan rutin dan jangkaan menyebabkan kemurungan
  • Apabila sesuatu yang tidak dijangka berlaku, anda bertindak balas dengan keadaan emosi.
  • Anda akan kecewa apabila barang anda dipindahkan atau disusun semula.
  • Anda mempunyai rutin, jadual dan corak harian yang mesti dikekalkan tidak kira apa pun.
  • Anda mempunyai tingkah laku dan ritual berulang.
  • Anda membuat bunyi di tempat-tempat yang tenang.

 

  1. Tanda-Tanda Lain
  • Anda sangat berhati-hati dan berpengetahuan tentang beberapa bidang minat tertentu (seperti tempoh sejarah, siri buku, filem, industri, hobi atau bidang pengajian).
  • Anda sangat pintar dalam satu atau dua bidang subjek akademik yang mencabar, tetapi mempunyai kesukaran dalam perkara yang dilakukan dengan baik oleh orang lain.
  • Anda mengalami hypersensitiviti atau sensitiviti yang merosot kepada input deria (seperti sakit, bunyi, sentuhan, atau bau)
  • Anda berasa seperti anda kekok dan mengalami kesukaran dengan koordinasi.
  • Anda lebih suka bekerja dan bermain untuk diri sendiri, bukan dengan orang lain.

 

Individu Autistik dan Tanggungan Hukum

Berdasarkan definisi di atas, kami melihat ada sebahagian daripada kelompok autisme yang boleh dikategorikan dalam masalah lembam (al-‘atah).

Al-Jurjani mendefinisikan lembam (al-‘atah) sebagai kekurangan pada akal yang tidak sama dengan gila atau fikiran yang berkecamuk/keliru. Individu yang lembam adalah yang kurang akalnya. Bezanya dengan bodoh (al-safah) adalah ia merupakan penyakit kanak-kanak (yang cenderung) terhadap diri sendiri yang menyebabkan akalnya tidak berfungsi [dengan baik]. Maka, pesakit menjadi berkecamuk akalnya.

Sebahagian perkataannya adalah perkataan orang-orang yang berakal dan sebahagiannya adalah kata-kata orang gila. Ini berbeza dengan bodoh (al-safah) kerana ianya kecuaian yang sifatnya mendatangi bagi manusia dan bukan bodoh pada asalnya. (Lihat al-Ta’rifat, hlm. 119)

Berkenaan isu lembam, Syeikh ‘Abd al-Qadir ‘Audah ada menyatakan bahawa individu yang lembam adalah sesiapa yang tahap pemahamannya kurang, pertuturan yang bercampur aduk, pengurusan yang tidak efisien samada ianya lembam secara semulajadi atau kerana penyakit yang dihidapinya. Dapat difahami daripada definisi tersebut bahawa lembam adalah tidak mencapai tahap gila. Ada pandangan yang menyatakan bahawa gila membawa kepada hilangnya akal atau kecelaruan akal. Adapun lembam membawa kepada kelemahan akal yang berbeza tahapnya. Walaubagaimanapun, tahap kematangan individu yang lembam tidak mencapai kepada tahap kematangan golongan akil baligh yang normal.

Ulama’ berbeza pandangan dalam pembahagian bagi kategori lembam:

  1. Kebanyakan fuqaha’ mengkategorikan lembam sebagai satu jenis daripada penyakit mental kerana tahap kematangan yang berbeza-beza bagi golongan yang lembam. Tetapi, ianya tidak keluar daripada kondisi anak kecil yang sudah mumayyiz.
  2. Sebahagian fuqaha’ berpandangan bahawa tahap kematangan sebahagian golongan yang lembam adalah seperti kanak-kanak yang belum mumayyiz dan sebahagiannya pula seperti yang sudah mumayyiz.

Ulama’ yang memegang pandangan (ii) tidak membezakan antara penyakit mental dan lembam sekiranya individu yang lembam itu kurang dari tahap tamyiz (boleh membezakan sesuatu yg baik dgn yg buruk). Oleh itu, mereka membahagikan antara penyakit mental dan lembam di mana penyakit mental, fikiran pesakitnya terganggu dan bercelaru manakala lembam pula pesakitnya lazim dalam keadaan tenang. Akan tetapi, hakikatnya kedua-duanya dikategorikan di bawah penyakit mental. (Lihat al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami oleh Syeikh ‘Abd al-Qadir ‘Audah)

Jumhur fuqaha’ berpandangan bahawa lembam itu mengangkat hukum taklifi kepada individu terbabit kerana ianya berkaitan dengan masalah mental atau secara tepatnya, kecacatan neurologi. Apa yang dihukumkan kepada individu lembam, dihukumkan juga kepada individu yang bermasalah mental samada dari sudut ibadah, kewangan dan yang berkaitan, serta akad-akad lain seperti akad nikah, talak dan selainnya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/276) Adapun bagi kewajipan solat, puasa dan lain-lain, kami berpandangan bahawa ianya satu disiplin yang amat wajir dilatih kepada anak-anak autism yang beragama Islam.

 

Konsep al-Ma’tuh (المَعْتُوهِ) Dalam Hadis

Daripada Ali bin Abi Thalib RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ القَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَشِبَّ، وَعَنِ المَعْتُوهِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan: Orang yang tidur sehingga dia bangun, daripada bayi sehingga dia remaja (baligh) dan daripada orang yang cacat mental sehingga dia berakal.”

Riwayat al-Tirmizi (1423) dan Ahmad (956)

Berkaitan dengan status hadith ini, ia juga diriwayatkan oleh sahabat yang lain seperti Aisyah R.anha dan Abu Qatadah. Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib di dalam Sunannya. Selain itu, Imam al-Hakim menghukum sanad hadith ini sahih tetapi tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Adapun, Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai hasan li ghairihi dan perawi-perawinyanya adalah boleh dipercayai (thiqah) kerana perawi-perawinya adalah perawi al-Bukhari dan Muslim.

Syeikh al-Mubarakfuri, memahami maksud “المَعْتُوهِ” sebagai gila atau yang seumpama dengannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 570/4).

Kata Ibn Abidin di dalam hasyiahnya bahawa para ahli usul telah menjelaskan bahawa hukum bagi orang “المَعْتُوه” ini seperti bayi yang mumayyiz serta berakal pada kelakuannya dan terangkat tanggungjawabnya (terlepas daripada beban tanggungjawab). (Lihat Hasyiah Ibn Abidin, 426/2)

Tarjih: Berdasarkan pengamatan kami berkenaan autisme, kami cenderung untuk menyatakan bahawa autisme adalah hampir kepada penyakit mental dalam fiqh. Perbuatan mereka yang mungkin di luar tindakan manusia normal adalah dimaafkan dan terlepas daripada bebanan taklif.

Ini berdasarkan sebuah hadith daripada al-Janbi, beliau berkata: Dibawa kepada Umar seorang perempuan yang melakukan perzinaan. Lantas Saidina Umar memerintahnya untuk direjamnya. Kemudian Ali melalui kawasan tersebut dan mengambil perempuan tersebut, kemudian membebaskannya. Hal ini dikhabarkan kepada Umar, maka katanya, “Panggillah Ali untuk berjumpa denganku.” Kemudian, Ali datang dan berkata: “Hai Amir al-Mukminin, sesungguhnya kamu telah mengetahui bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: 

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ، عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ، وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ المَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ.

Maksudnya: “Diangkat qalam (dimaafkan) dari tiga golongan: Kanak-kanak sehingga dia akil baligh, orang yang tidur sehingga dia terjaga dan orang yang kecacatan mental sehingga dia sembuh.”

Ini kerana wanita yang ma’tuh ini daripada Bani Fulan. Boleh jadi yang menyetubuhinya itu, menyetubuhi perempuan tersebut dalam kondisi perempuan tersebut tidak sempurna akalnya. Jawab Umar: “Aku tidak tahu.” Maka jawab Ali: “Dan aku tidak tahu.”

Riwayat Abu Daud (4402), Ibnu Majah (4402), dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (17672)

Dalam ‘Aun al-Ma’bud menyebut perkataan ma’tuh ialah gila yang membawa hilangnya akal. Inilah yang dinyatakan dalam al-Majma’.  Boleh jadi yang mendatanginya itu orang yang berkeadaan tidak sempurna akal.

Adapun jawapan Saidina Umar, “aku tidak mengetahuinya,” bermaksud, beliau tidak mengetahui perbuatan zina tersebut berlaku ketika perempuan tersebut berada dalam keadaan tidak sempurna akalnya.

Saidina Ali berkata, “dan aku tidak mengetahuinya,” bermaksud beliau tidak mengetahui ketika berzina, perempuan tersebut dalam keadaan sempurna akalnya. Boleh jadi, perempuan tersebut gila yang mana sifat gilanya tidaklah berterusan tetapi sekali gila dan sekali yang lain sedar.

Dengan sebab itulah Saidina Umar berkata demikian dan dijawab oleh Saidina Ali dengan berkata demikian. Justeru, ia berada dalam keadaan syubhah. Oleh itu, hukuman hudud terlepas dan ditolak ketika wujudnya sebarang syubhah. (Lihat Aun al-Ma’bud, 12/51)

 

Berkahwin dengan Individu Autisme

Al-‘Ubadi al-Hanafi dalam al-Jauharah al-Nayyirah berkata: Disebut di dalam al-Nawazil: Orang yang ma’tuh adalah orang yang bercakap dalam keadaan bercampur kalamnya (tidak teratur) dan rosak pengurusannya. Akan tetapi, dia tidak memukul atau mencerca sepertimana dilakukan oleh orang gila. (Lihat al-Jauharah al-Nayyirah ‘ala Mukhtasar al-Quduri, 1/241)

Al-‘Allamah al-Syubramalisi al-Syafi’i dalam Hasyiyahnya ke atas Nihayah al-Muhtaj berkata: Dalam al-Mukhtar: al-Ma’tuh ialah orang yang kurang akalnya….Oleh itu, orang gila boleh dijelaskan sebagai orang yang hilang akal sepenuhnya. Manakala orang yang lembam (ma’tuh) boleh disebut sebagai orang yang ada asal akal, namun tidak sempurna. Maka ia (al-ma’tuh) adalah berbeza dengan orang gila. (Lihat Nihayah al-Muhtaj ‘ila Syarh al-Minhaj, 5/19)

Al-‘Adawi dalam Hasyiyahnya ke atas Syarh Risalah Ibn Abi Zaid al-Qairawani al-Maliki berkata: “Orang gila dan orang lembam (ma’tuh), yang lemah akalnya adalah tidak sah akad bagi salah seorang daripada mereka.” (Lihat Hasyiyah al-‘Adawi ‘ala Kifayah al-Talib al-Rabbani, 2/74)

Imam al-Jalal al-Mahalli berkata di dalam Syarh al-Minhaj:

لَا وِلَايَةَ لِرَقِيقٍ لِنَقْصِهِ (وَصَبِيٍّ) لِسَلْبِ عِبَارَتِهِ (وَمَجْنُونٍ) أُطْبِقَ جُنُونُهُ لِعَدَمِ تَمْيِيزِهِ أَوْ تَقَطَّعَ… (وَمُخْتَلُّ النَّظَرِ بِهَرَمٍ أَوْ خَبَلٍ) أَصْلِيٍّ أَوْ عَارِضٍ لِعَجْزِهِ عَنْ الْبَحْثِ عَنْ أَحْوَالِ الْأَزْوَاجِ وَمَعْرِفَةِ الْكُفْءِ مِنْهُمْ، وَفِي مَعْنَاهُ مَنْ شَغَلَهُ عَنْ ذَلِكَ الْأَسْقَامُ، وَالْآلَامُ (وَكَذَا مَحْجُورٌ عَلَيْهِ بِسَفَهٍ) بِأَنْ بَذَرَ فِي مَالِهِ (عَلَى الْمَذْهَبِ) ؛ لِأَنَّهُ لِنَقْصِهِ لَا يَلِي أَمْرَ نَفْسِهِ فَلَا يَلِي أَمْرَ غَيْرِهِ…

Maksudnya: Tiada hak perwalian bagi hamba kerana kekurangannya (dan kanak-kanak) kerana diingkari (tidak diambil kira) perkataannya. (Dan orang gila), yang terus menerus gilanya kerana dia tidak ada pertimbangan…(dan orang yang cedera pertimbangan kerana lanjut usia atau gangguan fikiran), sama ada sejak lahir atau baru terjadi. Hal ini kerana ketidakmampuannya untuk memeriksa hal ehwal suami/isteri dan mengetahui kafa’ah (kesetaraan) dari mereka. Semakna dengannya adalah orang yang tidak sempat memeriksa kerana bergelut dengan pelbagai penyakit dan penderitaan. (Begitu juga orang yang disita kerana safih) dengan pengertian dia memboroskan hartanya (menurut Mazhab); Kerana dia disebabkan kekurangannya tidak dapat menguruskan untuk urusan dirinya sendiri, serta urusan orang lain. (Lihat Hasyiyata Qalyubi wa ‘Umairah ‘ala Syarh al-Mahalli ‘ala Minhaj al-Talibin, 3/277)

Merujuk kepada persoalan di atas, kami nyatakan bahawa boleh dan tiada masalah untuk berkahwin dengan individu autisme. Begitu juga, adalah harus dan dibolehkan untuk menikahkan individu autisme oleh walinya sekiranya terdapat keperluan dan hajat kepada perkahwinan. Keperluan tersebut boleh diketahui melalui tanda-tanda seperti tertariknya dia kepada wanita dan seumpamanya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *