#231 Berniat Ihram dari Rumah

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ingin bertanya, adakah seseorang itu sudah dikira berada dalam ihram sekiranya dia berniat ihram di rumahnya walaupun dia tidak akan mengerjakan umrah atau haji dalam masa terdekat dan perlu menjaga larangan ihram? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ

Maksudnya:Dan sempurnakanlah Ibadah Haji dan Umrah kerana Allah.

(Surah al-Baqarah: 196)

Ayat di atas ditafsirkan bahawa sesiapa yang berniat ihram dengan salah satu daripada ibadah ini (haji atau umrah), maka wajib ke atas dirinya untuk menyelesaikan dan menyempurnakan ibadah berkenaan. Namun, terdapat pendapat lain menyatakan bahawa maknanya adalah menyempurnakan ibadah haji dan umrah secara berasingan — yakni satu persatu — bukannya dengan cara tamattu‘ dan qiran. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38)

Definisi niat

Niat menurut bahasa adalah mengarah diri kepada sesuatu perbuatan. (Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, hlm. 1021)

Manakala menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, niat ialah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm.  1080)

Dari segi istilah pula, terdapat beberapa definisi yang diberikan. Antaranya ialah:

  • Al-Nawawi menyebutkan bahawa niat ialah keazaman (tekad) di dalam hati atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/310)

  • Ibn ‘Abidin pula menyebutkan bahawa niat ialah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amal perbuatan. (Lihat Rad al-Mukhtar, 1/105)

Berdasarkan kepada definisi di atas, kita dapat simpulkan bahawa niat ialah lintasan dalam hati ketika adanya tekad dan keazaman untuk melakukan sesuatu perkara.

Makna Ihram

Ihram merupakan rukun utama bagi haji dan umrah. Ibn Ruslan menyebutkan dalam matan al-Zubad:

أركانه الإحرام بالنية قف # بعد زوال التسع إذ تعرف

                           “Rukunnya adalah berihram dengan niat. Juga berwukuf

                                                                                       selepas gelincir matahari pada 9 hari bulan jika diketahui.”

Habib Hasan al-Kaff menyebutkan bahawa ihram bermaksud ialah niat untuk memasuki (memulakan) amalan haji atau umrah dengan cara-caranya. Sekiranya seseorang itu berkeinginan untuk mengerjakan ibadah haji atau umrah, maka hendaklah dia berniat dalam hatinya dan melafazkan dengan mulutnya secara perlahan. Kemudian beliau menyebutkan beberapa contoh lafaz niat bagi umrah dan haji. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 475-476)

Di antara contoh lafaz niat bagi umrah:

نَوَيتُ العُمْرَةَ وَأَحرَمْتُ بِهَا لِلّهِ تَعَالَى ، لَبَّيْكَ اللّهُمَّ بِعُمْرَةِ

Maksudnya:Sahaja aku mengerjakan umrah dan berihram dengannya kerana Allah ta‘ala, Aku menyahut seruan-Mu Ya Allah untuk menunaikan umrah.”

Manakala contoh lafaz niat bagi haji pula:

نَوَيتُ الحَجَّ وَأَحرَمْتُ بِهِ لِلّهِ تَعَالَى ، لَبَّيْكَ اللّهُمَّ بِحَجَّةِ

Maksudnya:Sahaja aku mengerjakan haji dan berihram dengannya kerana Allah ta‘ala, Aku menyahut seruan-Mu Ya Allah untuk menunaikan haji.”

Berniat ihram di Miqat

Terlebih dahulu bagi menjawab persoalan yang dikemukakan, kita hendaklah mengetahui bahawa niat ihram perlulah dilakukan di miqat atau sebelum melintasinya. Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَّتَ لِأَهْلِ المَدِينَةِ ذَا الحُلَيْفَةِ، وَلِأَهْلِ الشَّأْمِ الجُحْفَةَ، وَلِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ المَنَازِلِ، وَلِأَهْلِ اليَمَنِ يَلَمْلَمَ، هُنَّ لَهُنَّ، وَلِمَنْ أَتَى عَلَيْهِنَّ مِنْ غَيْرِهِنَّ مِمَّنْ أَرَادَ الحَجَّ وَالعُمْرَةَ، وَمَنْ كَانَ دُونَ ذَلِكَ، فَمِنْ حَيْثُ أَنْشَأَ حَتَّى أَهْلُ مَكَّةَ مِنْ مَكَّةَ

Maksudnya:Sesungguhnya Nabi SAW menentukan Zulhulaifah sebagai miqat untuk penduduk Madinah, Juhfah untuk penduduk negeri Syam, Qarn al-Manazil untuk penduduk Najd, dan Yalamlam untuk penduduk Yaman. Miqat-miqat itu adalah untuk para penduduk negeri-negeri tersebut serta miqat untuk siapa saja yang datang ke negeri-negeri itu bukan daripada miqat-miqat itu yang berniat untuk melaksanakan haji dan umrah. Orang yang berada di selain miqat-miqat tersebut, maka dia melakukan ihram dari mana dia meniatkan haji ke Makkah, hingga penduduk Makkah melakukan ihram dari Makkah.

Riwayat al-Bukhari (1524)

Kesemua miqat tersebut ialah miqat bagi mereka yang mengerjakan haji dan umrah, yang datang dari luar Makkah. Sementara mereka yang ingin mengerjakan umrah semasa berada di Makkah sama ada mereka penduduk Makkah atau orang asing, mereka wajib keluar dari Tanah haram untuk berihram umrah ke tanah halal yang terdekat walaupun selangkah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/131)

Begitu juga sekiranya seseorang itu melalui jalan, yang mana dia tidak berhenti pada miqat yang telah ditetapkan sama ada melalui jalan darat, laut atau udara maka miqatnya adalah tempat yang berhampiran dengan miqat yang telah ditetapkan sama ada kanan atau kiri. Hal ini adalah berdasarkan hadith daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

لَمَّا فُتِحَ هَذَانِ المِصْرَانِ أَتَوْا عُمَرَ، فَقَالُوا: يَا أَمِيرَ المــُـؤْمِنِينَ، إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدَّ لِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنًا، وَهُوَ جَوْرٌ عَنْ طَرِيقِنَا، وَإِنَّا إِنْ أَرَدْنَا قَرْنًا شَقَّ عَلَيْنَا، قَالَ: فَانْظُرُوا حَذْوَهَا مِنْ طَرِيقِكُمْ، فَحَدَّ لَهـُمْ ذَاتَ عِرْقٍ

Maksudnya:Ketika dua kota (Basrah dan Kufah) ini dibuka (ditakluk), penduduk negeri tersebut datang menemui Umar, lalu berkata: ‘Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Rasulullah SAW telah menetapkan miqat untuk penduduk Najd ialah Qarn, sedangkan kedudukannya menyimpang dari jalan kami dan sungguh sekiranya kami ingin menempuh perjalanan dari Qarn, maka ia akan menyusahkan kami.’ Umar menjawab: ‘Lihatlah kesejajarannya dari jalan kamu.’ Lalu Umar menetapkan Zat ‘Irq sebagai miqat bagi mereka.

Riwayat al-Bukhari (1531)

Berniat ihram dari rumah

Seterusnya, jika seseorang berniat ihram di tempatnya atau di negaranya, adakah ia sudah dikira dan tertakluk dengan larangan-larangan ihram selepasnya?

Mengenai permasalahan ini, ada dua pandangan khususnya di dalam mazhab al-Syafi‘i iaitu:

Al-Nawawi berpendapat bahawa lebih baik untuk berihram di miqat yang telah ditetapkan. Ini juga merupakan pendapat tokoh besar lain dalam mazhab al-Syafi‘i seperti al-Buwaiti, al-Muzani dan al-Ghazali. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 7/200)

Hal tersebut adalah berdasarkan kepada riwayat Salim bin Abdullah, bahawasanya dia mendengar bapanya berkata:

مَا أَهَلَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا مِنْ عِنْدِ المَسْجِدِ يَعْنِي مَسْجِدَ ذِي الحُلَيْفَةِ

Maksudnya:Rasulullah SAW tidak melakukan talbiyah (setelah berniat ihram) kecuali ketika berada di masjid itu – iaitu masjid Zulhulaifah.”

Riwayat al-Bukhari (1542)

Dinukilkan dalam kitab al- I‘tisam (1/100), bahawa Malik bin Anas ditanya oleh seorang lelaki mengenai dari mana patut dia berniat ihram? Lalu Imam Malik menjawab: “Dari Zulhulaifah yang juga merupakan tempat Rasulullah berniat ihram.” Lelaki itu berkata lagi: “Sesungguhnya aku mahu berihram dari masjid yang berhampiran dengan kubur (yakni Masjid Nabawi).” Imam Malik menjawab: “Jangan lakukan kerana aku takut kamu akan ditimpa fitnah.” Lalu lelaki itu bertanya: “Fitnah apa? Ia hanya jarak yang aku tambah sahaja.” Imam Malik menjawab: “Fitnah apa lagi yang lebih besar, apabila engkau mendahului bagi memperoleh kebaikan dan kelebihan yang Rasulullah SAW sendiri tahan daripada mendapatkannya? Sesungguhnya Allah SWT berfirman:

فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya:Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

(Surah al-Nur: 63)

Manakala pendapat yang kedua menyatakan boleh untuk berniat ihram di negerinya. Ini merupakan pendapat yang dikemukakan oleh al-Rafi‘i, al-Qadi Abu al-Tayyib dan sebahagian ulama. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada Ummul Mukminin Ummu Salamah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَهَلَّ بِحَجَّةٍ أَوْ عُمْرَةٍ مِنْ الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى إِلَى الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ أَوْ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ

Maksudnya:Sesiapa yang berniat ihram (memulakan manasik) haji atau umrah daripada Masjid Aqsa sehingga Masjidil Haram, diampunkan dosanya yang lalu dan akan datang atau wajib baginya syurga.

[Riwayat Abu Dawud (1741); Ibn Majah (3002); Ahmad (26558); Al-Nawawi menyebutkan dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (7/199), sanad hadith ini tidak kuat.]

Selain itu, Mantan Mufti Besar Arab Saudi, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz juga pernah ditanya mengenai perkara ini. Beliau menjawab, sunnahnya adalah dengan melakukan niat ihram dari miqat-miqat dan bukannya dari rumahnya. Apabila kedudukannya dengan miqat sudah sejajar sedangkan ketika itu dia berada dalam kapal terbang atau kereta, atau kedudukannya sebelum sedikit dari miqat, maka lakukanlah niat ihram kerana berniat ihram dari miqat itu adalah lebih utama (afdhal). Namun, sekiranya dia berniat ihram dari rumahnya atau dari jalan (awal perjalanannya), maka tidak mengapa. Akan tetapi dia telah menyelisihi sunnah kerana sunnahnya adalah dengan berniat ihram dari miqat dan makruh hukumnya berniat ihram sebelum daripada itu (yakni sebelum sampai di miqat). Sekalipun begitu, jika dia tetap berniat ihram sebelum sampai di miqat, maka ihramnya itu adalah sah dan terikat dengan larangan-larangan ketika berihram.[1]

Sebagai tambahan, ibadah haji dilakukan dalam bulan-bulan tertentu sahaja. Ia tidak harus dilakukan dalam bulan-bulan yang lain, malah tidak sah niat haji kecuali dalam bulan-bulan yang tertentu, iaitu Syawal, Zulkaedah dan sepuluh hari yang pertama bulan Zulhijjah. Sementara, ibadah umrah pula, boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang tahun, selain daripada masa ibadah haji bagi sesiapa yang berniat mengerjakannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/113)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara:

  • Kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa adalah lebih baik (afdhal) untuk berniat ihram di miqat atau sebelum sedikit dari miqat. Walau bagaimanapun perbuatan seseorang berniat ihram dari rumah di negeri sendiri tetap dikira sah, tetapi ia menyalahi sunnah Nabi SAW dan tetap terikat dengan larangan-larangan ketika berihram
  • Begitulah juga, sekiranya seseorang itu terlintas dalam hatinya untuk berihram sedangkan sebenarnya tidak ada keazaman pun daripadanya untuk melakukan perkara tersebut, maka niat tersebut tidak dikira. Akan tetapi sekiranya dia melakukan niat itu untuk sekadar bermain-main, maka kami nasihatkan jauhilah kerana dikhuatiri ia termasuk dalam perkara bermain-main dalam hal agama.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 6 Januari 2022 bersamaan 3 Jamadil Akhir 1443H

 

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/13659/حكم-من-احرم-من-بيته

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *